Sesungguhnya anak-anak
merupakan anugerah dari Allah s.w.t. yang
cukup berharga kepada Ibubapa. Mereka juga merupakan amanah daripada Allah
untuk dijaga dan dipelihara dengan
sempurna dan memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini
akan ditanya oleh Allah diakhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan
sebaik-baiknya ataupun kita mengkhianatinya.
Justeru itu, Islam tampil sebagai model
terbaik memberi bimbingan dan panduan kepada manusia dalam melahirkan sebuah
keluarga bahagia dan dirahmati serta diredhai Allah s.w.t. Kita semua sebagai
ibu bapa atau yang bakal menjadi bapa sudah pasti berharap supaya dikurniakan
anak-anak yang baik dan soleh yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar
hati. Anak-anak bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan
diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat.
Sabda Rasulullah
s.a.w :
Maksudnya : “
Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga
perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang
mendoakan kepadanya”.
Oleh itu, sekiranya
kita berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat yang terbaik dan soleh,
maka kita mestilah memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka yang
berkaitan dengan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah.
Justeru itu, proses mendidik
anak agar benar-benar menjadi anak yang soleh merupakan suatu tugas dan
tanggungjawab yang besar serta mencabar kepada setiap ibu bapa, terutamanya dalam dunia hari ini
yang serba canggih sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak kehidupan
masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak. Maka dalam perkara ini, beberapa
faktor penting perlu diberi perhatian oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak
menjadi insan yang soleh dan terbaik serta mampu memberi manfaat kepada agama,
bangsa dan negara.
Diantara
perkara-perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dalam proses
melahirkan zuriat yang soleh ialah :
Pertama : Sentiasa
Berdoa Kepada Allah s.w.t.
Keinginan untuk
memiliki zuriat yang soleh dan cemerlang hendaklah dengan cara berdoa kepada
Allah s.w.t. kerana amalan ini merupakan amalan yang dilakukan oleh para nabi
dan rasul. Firman Allah dalam surah Ali - Imran ayat: 38
Yang bermaksud : Wahai
tuhan kami kurniakanlah kepadaku dari sisimu zuriat keturunan yang baik,
seseungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan.
Dalam ayat ini
menjelaskan kepada kita para nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang soleh
dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi mereka berdoa
kepada Allah s.w.t. agar dikurniakan
zuriat keturunan yang baik. Ini memberi gambaran dan contoh kepada manusia
untuk diamalkan. Di samping kita berdoa hendaklah kita memberi pelajaran yang
sempurna dari segi fardhu Ain dan Fardhu Kifayah semoga mereka dapat
membangunkan diri, masyarakat dan negara.
Kedua : Hendaklah
Menanam Akidah Didalam Diri Anak-Anak
Akidah merupakan asas
yang perlu diberi perhatian dan keutamaan, kerana akidah yang mantap sahaja
mampu menjamin kebahagian dan kecemerlangan hidup manusia di dunia dan di
akhirat. Selain itu, anak-anak yang mempunyai pegangan akidah yang mantap tidak
akan mudah untuk menyeleweng atau diselewengkan. Lebih-lebih lagi dapat
melahirkan insan yang sentiasa dapat menjaga iman mereka serta menjauhi
perkara-perkara syirik yang boleh menyesatkan mereka.
Ketiga
:
Hendaklah Diberi Penekanan Terhadap Tuntutan Syariah Khususnya Dari Sudat Ibadah
Penekanan dari sudut
ibadah yang sempurna melambangkan sifat kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Selain itu, sebagai tanda penyempurnaan
jalinan hubungan dengan Allah s.w.t sepanjang
masa dengan sentaisa menyerahkan segala jiwa dan raganya terhadap setiap
suruhan dan meninggalkan segala larangannya pada setiap masa.
Selain itu, dengan
melakukan ibadah kepada Allah dapat menyedarkan anak-anak tentang sifat-sifat manusia
sebagai hamba disisi Allah s.w.t. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam
surah al-Anam ayat 162 :
Yang bermaksud : “ Sesungguhnya
solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang
memelihara dan mentadbir sekelian alam ”.
Keempat : Hendaklah
Diberi Penekanan Dari Sudut Akhlak
Memiliki akhlak
terpuji merupakan lambang kecemerlangan dan keindahan terhadap keperibadian
seorang muslim sejati. Dengan memiliki akhlak yang terpuji menyebabkan
seseorang itu dihormati dalam sesebuah masyarakat berbanding dengan orang yang memiliki
akhlak yang tercela akan dibenci dan dikeji oleh masyarakat. Kerana itulah,
junjungan besar nabi Muhammmad s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak
manusia.
Selain itu, dengan
memiliki akhlak yang mulia merupakan amalan yang paling berat dalam timbangan
dihari akhirat berbanding dengan akhlak tercela yang akan melambatkan proses
hisab dihadapan Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang
diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ar-Tarmizi :
Maksudnya
:
“Tidak ada sesuatu yang lebih berat diatas neraca timbangan seseorang hamba
di hari kiamat selain dari akhlak yang mulia ”.
Kelima : Memastikan
Makanan Anak-Anak Dari Sumber Yang Halal
Setiap ibu bapa perlu
memastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak merupakan makanan dari sumber yang halal serta menjauhi
dari sumber-sumber yang subhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti
rasuah, riba, penipuan dan sebagainya.
Kerana makanan yang
bersumberkan dari rezeki yang halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi
sebenarnya dapat melahirkan zuriat yang pintar dan sehat. Dan akhirnya
mendorong seseorang kearah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat
Allah di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168 :
Yang bermaksud : “ Hai
sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi,
dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan
itu adalah musuh yang nyata bagimu ”.
Marilah sama-sama
kita memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita, demi melihat
generasi yang terbaik dimasa hadapan. Korbanlah sedikit masa dan harta untuk
mereka, berikan kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada mereka
serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak seperti
dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, jam berapa mereka keluar
rumah dan sebagainya. Ini semua membuktikan kita telah melaksanakan amanah
Allah s.w.t. terhadap anak-anak dengan baik dan sempurna.
“ Dan orang orang
yang berkata: " wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri
dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi
orang-orang yang bertakwa”.
( Surah al-Furqan :
74 )
disesuaikan dari Jakim.
No comments:
Post a Comment