Esok
kita bakal melangkah ke tahun 1434 Hijrah, permulaan tahun baru yang mengenang
sejarah besar Baginda SAW dan umat Islam seluruhnya. Justeru, penghayatan dan pengisian
kepada sambutan ini mestilah menjadi keutamaan. Tanpa penghayatan dan memahami
konteks hijrah sebenar akan membawa kegagalan kepada umat Islam. Dalam konteks
hari ini, sambutan kita bukanlah sekadar memperingati peristiwa penghijrahan
Rasulullah SAW dan sahabat dari Makkah ke Madinah. tetapi kita akan melihat intipati
hijrah kepada beberapa perkara yang perlu ditambah baik dalam kehidupan kita.
Antaranya, menghargai masa kerana orang mukmin akan sentiasa menjaga dan menggunakan masa dengan baik. Begitu tinggi nilai masa bagi seorang beriman kerana masa yang berlalu tidak akan berulang dan tidak boleh diganti.
Apabila fajar menyingsing mereka seolah-olah mendengar rintihan yang berbunyi: “Wahai manusia, aku adalah harimu yang baharu menjelma. Berilah penambahan padaku dengan amalan kebajikan kerana aku tidak akan kembali lagi untuk kali keduanya.”
Rasulullah SAW ada menyebut mengenai pembahagian masa. Sewajarnya setiap yang berakal akan membahagikan masa-masanya kepada empat iaitu masa untuk bermunajat (berzikir) kepada Tuhannya, bermuhasabah, berfikir dan menumpukan kepada keperluan seperti mencari rezeki.
Antaranya, menghargai masa kerana orang mukmin akan sentiasa menjaga dan menggunakan masa dengan baik. Begitu tinggi nilai masa bagi seorang beriman kerana masa yang berlalu tidak akan berulang dan tidak boleh diganti.
Apabila fajar menyingsing mereka seolah-olah mendengar rintihan yang berbunyi: “Wahai manusia, aku adalah harimu yang baharu menjelma. Berilah penambahan padaku dengan amalan kebajikan kerana aku tidak akan kembali lagi untuk kali keduanya.”
Rasulullah SAW ada menyebut mengenai pembahagian masa. Sewajarnya setiap yang berakal akan membahagikan masa-masanya kepada empat iaitu masa untuk bermunajat (berzikir) kepada Tuhannya, bermuhasabah, berfikir dan menumpukan kepada keperluan seperti mencari rezeki.
Kedua, memelihara akhlak yang mulia tanda dan hasil daripada iman sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak. Akhlak yang mulia adalah matlamat utama bagi ajaran Islam.
Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
Begitu juga keazaman untuk menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam dan esoknya akan lebih menyerlah daripada hari ini. Harapan supaya diwarisi dengan ilmu yang berguna, amalan berfaedah serta program yang membuahkan hasil kepada masyarakat pada masa akan datang.
Kita juga hendaklah berusaha meninggalkan dosa kecil serta menjauhi dosa besar yang mengundang kemurkaan Allah, diharamkan syurga atau azab neraka di hari akhirat.
Baginda SAW telah menggariskan tujuh perkara besar yang perlu dijauhi iaitu melakukan syirik, membunuh dengan cara tidak dibenarkan, sihir, makan riba, memakan harta anak yatim, tuduhan melulu terhadap seorang wanita suci dan lari daripada peperangan.
Kita juga perlu mempunyai perancangan baik untuk masa depan seperti dilakukan Baginda SAW kerana ia relevan untuk sepanjang masa lebih-lebih lagi di saat kita berada pada era kemajuan yang pesat dan pantas.
Baginda SAW sentiasa memikirkan bumi dan medan yang sesuai ketika mana menjalankan dakwah kepada kabilah Arab pada musim haji di Makkah. Apa yang tersemat di benak fikiran Baginda SAW ialah satu tempat yang dapat dibajai dengan benih keimanan serta agenda yang dapat menyuburkan seruan dakwah di bawah payungan syariat dan hukum Allah SWT.
Akhirnya, Allah SWT telah mengisyaratkan satu tempat yang paling sesuai iaitu Madinah Al-Munawarah (Gilang-gemilang) yang terkenal dengan nama “Yathrib” pada satu ketika dulu. Di sinilah destinasi hijrah Baginda SAW dan sejarah diingati setiap jiwa mukminin pada setiap tahun.
Hari ini kita melihat manusia semakin jauh dengan agama disebabkan pendekatan kurang tepat yang sudah diambil oleh umat Islam sendiri dalam menyampaikan dakwah. Keutamaan tidak diberikan kepada yang lebih utama.
Mereka jauh daripada sifat keterbukaan yang dilakukan oleh Baginda SAW sehingga dapat mendekati semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak yang masih kecil. Apatah lagi mereka yang dianggap sampah masyarakat yang perlu didekati dan disayangi.
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman ambillah perananmu masing-masing. Bergeraklah secara konsisten dan menyeluruh.” (An-Nisa’, ayat 71)
Dalam menelusuri peristiwa hijrah, kita hendaklah berani melakukan perubahan dalam jiwa dan masyarakat kerana ia amat sukar berbanding merubah alam semula jadi. Perubahan mesti bertolak daripada iman kerana kedudukan kita berbeza dari sudut keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Perubahan kepada kebaikan amat digalakkan dan ia menepati cita rasa hijrah sebenar berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (Riwayat Abu Daud)
Ini menunjukkan semangat hijrah difahami sebagai perubahan daripada suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik.
Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Hijrah telah berlalu, tetapi ikrar setia yang masih boleh dilakukan ialah terhadap Islam, jihad dan melakukan kebaikan.” (Riwayat Muslim)
Sempena sambutan hijrah, marilah kita menjadikan Allah SWT sebagai matlamat utama dalam semua tindakan yang dilakukan kerana inilah tugas utama Nabi dan Rasul.
Firman Allah SWT: “Sesiapa yang berhijrah kerana Allah, akan mendapat keuntungan serta kebaikan yang banyak. Sesiapa yang keluar kerananya kemudian mati, maka ganjaran pahalanya akan ditulis di sisi Allah SWT.” (Surah An-Nisa’, 100)
Selamat Menyambut Maal Hijrah
No comments:
Post a Comment