Saturday, November 17, 2012

Sembang Sabtu : Kepantasan dan kesediaan membiasakan diri dengan perubahan

Malam semalam kita menyemak tindakan sekolah negeri Terengganu rendah dan menengah mengenai pengisian e-Perlu mengikut daerah. Kita amat terkejut kerana setelah perkara demikian dimaklum melalui blog ini pada 6 November 2012 dan web JPN pada 7 November 2012 dan juga makluman oleh pihak PPD, tindakan  mengemaskini e-Perlu oleh pihak sekolah amat mendukacitakan. Lihatlah data terkini seperti di bawah jumlah sekolah yang belum ambil apa-apa tindakan dan belum sempurna tindakannya:

Daerah PPD          SR           SM
Besut                       51              18
Setiu                        35              12
H.Terengganu          09             04
K.Terengganu          54              31
Marang                    13              08
Dungun                    19              12
Kemaman                14              12    

Kita tidak dapat bayangkan jika mana-mana wakil JPN yang bermesyuarat di peringkat tertinggi KPM lebih-lebih pemimpin utama JPN Yang Berbahagia Tuan Pengarah dimaklumkan mengenai kedudukan terkini e-Perlu setiap negeri. Sedangkan realiti kita mampu mengatasi perkara ini dengan mudah dan pantas. Hanya mengisi ruang data kedudukan terkini (bukan minta baru) dan klik kemaskini. Tidak sampai lima belas minitpun. Mungkin ada yang mendakwa masalah talian atau password. Tapi itu bukan alasan besar untuk kita tidak mengambil apa-apa tindakan.

Apakah kita masih terikat dengan stail dan caragaya pengurusan lama di mana sesuatu itu hanya menjadi "rasmi" jika dimaklumkan dengan surat sahaja. Pemakluman melalui blog, email, facebook atau web rasmi tidak boleh dipegang buku atau digunapakai ? Kalau inilah pegangan kita, saya pasti dalam era sekarang kita silap, bakal tercicir dan ketinggalan. Kita akan menjadi pengurus sekolah yang "daif" dan "miskin" dengan semua yang terpantas dan terkini justru KPM sendiri banyak perkara pemakluman dilaksanakan secara elektronik sama email dan juga web rasmi KPM.

Hendak tidak hendak kita mesti menerima perubahan yang berlaku dalam sistem pengurusan pendidikan kita. Kita mesti pantas membina kesediaan menerima perubahan. Apalagi bila sistem elektronik seperti e-Perlu dan yang lainnya kita boleh dipantau di mana-mana dan bila-bila masa. Kita tiada ruang untuk memberi alasan itu dan ini. Apalagi dengan perkembangan gajet komunikasi yang semakin canggih dan pantas semua "e" ini boleh diakses di mana sahaja selagi talian internet boleh dicapai.Sebagai pengurus sekolah yang telah menerima akujanji , kita mesti akauntebaliti terhadap setiap perkara di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab kita.

Dapatan kajian yang kita buat ramai dari respondan lebih kagum dan hormati kepada pengurus sekolah yang tahu tentang selok-belok ICT justru pengetahuan dalam bidang ini bukan sahaja kerja kita menjadi pantas dan cekap tetapi kita boleh memantau tindakan-tindakan anak buah kita kepada arahan-arahan kita melalui program secara online seperti e-Perlu ini.

Kita harap semua pengurus sekolah dapat mengambil tindakan segera terhadap isu yang kita bangkitkan dalam ruang Sembang Sabtu kali ini kerana selagi kita tidak selesai kita tiada alasan mengelaknya kerana ketidakselesaian itu berada dalam pengetahuan JPN dan KPM walau di mana jua berada selagi dapat dihubungkan dengan capaian internet. Kepada sekolah yang telah sempurna dan mengambil tindakan tahniah kita ucapkan. Semoga ianya menjadi kebiasaan dan budaya dalam pengurusan kita.


No comments:

Post a Comment