Thursday, November 8, 2012

Guru Ijazah Secara Sepenuh Masa, PJJ Boleh Naik DG41 Tanpa Temuduga



SEREMBAN, 7 Nov (Bernama) -- Guru, guru besar dan pentadbir cemerlang yang memperoleh ijazah sama ada secara separuh masa atau di bawah program Pengajian Jarak Jauh akan dilantik terus ke Gred DG41 tanpa perlu menghadiri temuduga, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Rabu.

Timbalan Perdana Menteri berkata guru berkenaan boleh memohon terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dikecualikan daripada proses temuduga.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan calon guru yang berprestasi cemerlang pada tahap akademik dan ikhtisas selepas menamatkan pengajian juga akan dilantik terus tanpa proses temuduga sebagai guru pelatih mulai tahun depan.

Bulan lepas beliau mengumumkan bahawa calon guru yang bakal dipilih ialah 30 peratus dalam kalangan mereka dengan keputusan 9A dan berminat dalam bidang perguruan.

Beliau berkata seramai 2,960 orang kelompok pertama graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan sebelum 1 Julai, ditempatkan sementara oleh Kementerian Pelajaran mulai 16 Okt.

Mereka akan ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bermula hari ini hingga 6 Dis, katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2012 anjuran SPP di sini.

Beliau berkata bagi calon berijazah selepas Jun seramai 7,755, perlu mengemukakan permohonan kepada SPP bermula 1 Nov secara online, melalui portal SPP (untuk calon IPGM) atau JobsMalaysia (calon IPTA).

Bulan lepas Muhyiddin mengumumkan bahawa seramai 10,715 orang graduan IPGM dan IPTA yang telah dan bakal menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan sekiranya berjaya dalam temuduga, akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah(PPS) Gred DG41.

Beliau berkata kerajaan sedang berusaha melaksanakan pakej kerjaya guru baharu dalam beberapa fasa bagi meningkatkan kualiti keguruan yang merangkumi usaha meningkatkan standard kemasukan, meningkatkan peluang pembangunan profesional berterusan mengikut keperluan individu.

"Ini membolehkan guru maju dalam kerjaya berdasarkan prestasi dan kompetensi, serta mewujudkan budaya kecemerlangan profesionalisme berasaskan teladan rakan setugas," katanya.

Bagi mengukuh laluan kerjaya guru, Timbalan Perdana Menteri menyarankan SPP supaya mengambil langkah pragmatik untuk mengekalkan bakat terbaik dan antara langkah itu ialah guru mengajar mengikut opsyen bagi meningkatkan motivasi dan prestasi serta peluang kenaikan pangkat.

Sebaliknya bagi memastikan profesion keguruan adalah terdiri dari kalangan yang terbaik, dasar pemisah hendaklah dilaksanakan secara berkesan sejajar dengan transformasi keguruan sebagai profesion pilihan, katanya.

Muhyiddin berharap hasil persidangan ini dapat dipertimbang sebagai input ke dalam laporan pembangunan pendidikan 2012-2025 yang sedang dikemaskini.

"Saya juga ingin mencadangkan bahawa hasil persidangan ini dapat diperinci untuk dijadikan pelan tindakan yang bersepadu melalui pelaksanaan satu makmal khusus dianggotai anggota dari Kementerian Pelajaran, SPP, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), PEMANDU, MoF dan lain-lain yang difikirkan sesuai.

"Saya berharap agar persidangan ini akan menjadi medan terbaik untuk mengenal pasti idea-idea yang kreatif dan inovatif selaras dengan dasar transformasi negara bagi meningkatkan kualiti sistem pelajaran negara.

"Pengubahsuaian atau penambahbaikan dalam perkhidmatan pelajaran yang berterusan, terutama dalam aspek peningkatan kemahiran dan latihan adalah penting kerana ia kunci utama kepada kecekapan perkhidmatan pelajaran," katanya.

Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan pada persidangan tiga hari itu.

-- BERNAMA


3 comments:

  1. Lantiklah dulu guru yg telah ditemuduga, baru bg peluang kpd guru pelatih. Ni mcm kerja separuh jln. Sana nak lantik sini nak lantik. Akhirnya kami yg dah puluhan thn bekerja ni tak de apa2 keistimewaan pun. Bdk2 freshie ni jgk yg diutamakan. Adat dunia...yg tua ni mcm kain buruk.

    ReplyDelete
  2. Anoy,

    saya sangat menyokong kenyataan anda.grad tahun 2008 lagi tp belum di lantik...tengok status permohonan 'LENGKAP', tak tau apa masalah...

    ReplyDelete
  3. Ramai jgk rupanya yg senasib dgn sy. Sy grade thn 2009. Dah dilantik tp menolak sb tarikh DG41 lbh awal drp Lantikan DGA32. Dah mcm cara dah buat nak tkr tarikh lantikan. SPP mcm biasalah dgn berlagaknya srh sy tolak DG41.Online kali ke2. Dah tmdga. Sdg tgu lantikan. Msh x dterima. Hbgi SPP. Terus dgn kesombongan menyalahkan sy menolak. Alasan: nak lantik guru2 pjj yg x prnh menolak. Yg menolak ltk side.Tgu la smpai pencen. Moral kes sy, bila dpt DG41 jgn tolak dah. Rugi kr lps ni kt mcm mengemis dgn SPP.

    ReplyDelete