Monday, January 31, 2011

Taklimat Permohonan Dan Pencalonan Guru Besar Cemerlang Tahun 2011

Adalah dengan hormatnya dimaklumkan terutama para sahabat Guru Besar Negeri Terengganu yang Gred DGA34 bahawa pihak KPM akan mengadakan operasi mengisi jawatan Guru Besar Cemerlang DGA38(KUP) bagi tahun 2011. Oleh yang demikian semua Guru Besar DGA34 (berdasarkan rekod kami Unit Sekolah Rendah) sama ada layak atau tidak layak memohon dijemput hadir ke majlis Taklimat Permohonan Dan Pencalonan Guru Besar Cemerlang DGA38(KUP) sebagaimana jadual berikut:
 Taklimat ini adalah sangat penting bukan sahaja untuk memberi kefahaman dan penyediaan borang serta dokumen permohonan kepada calon yang layak tetapi juga sebagai pendedahan awal kepada calon-calon yang masih belum berkelayakan supaya mereka boleh membuat persediaan awal dengan rapi dan sempurna bagi memenuhi kreteria pencalonan Guru Besar Cemerlang Gred DGA38(KUP).
  • Surat Taklimat klik di sini
  • Jadual Taklimat klik di sini
  • Senarai nama Guru Besar dan Sekolah klik di sini

Mesyuarat Permurnian Instrument Pemantauan Pengurusan Sekolah

Mesyuarat Pemurnian Instrument Pemantauan Pengurusan Sekolah telah diadakan pada 31 Januari 2011 di PKG Bukit Besar,Kuala Terengganu. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh En.Zakariah bin Ali,Ketua Sektor,Sektor Pengurusan Sekolah,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

Mesyuarat ini adalah kesinambungan kepada perbengkelan instrument berkaitan yang diadakan pada akhir tahun lepas. Ahli panel mesyuarat kali ini terdiri daripada pegawai di Sektor Pengurusan Sekolah,Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah dan Wakil daripada Majlis Pengetua Malaysia Cawangan Terengganu dan Wakil Majlis Guru Besar Malaysia,Cawangan Negeri Terengganu.

Adalah menjadi harapan kita terutama Sektor Pengurusan Sekolah apabila instrument ini siap nanti ianya bukan sahaja menjadi dokumen standard bagi pegawai-pegawai JPN Terengganu dan PPD dalam pemantauan pengurusan sekolah tetapi juga sebagai panduan kepada Pengetua dan Guru Besar mempertingkatkan kualiti pengurusan.

Apabila instrument ini siap sepenuhnya ianya akan dimuatnaik dalam blog ini dan web rasmi JPN Terengganu bagi memudahkan semua pihak berkaitan untuk akses.

Saturday, January 29, 2011

Semakan Penempatan Guru SR dan SM

  • Semakan Penempatan GSST SR  Bil 2/2011 Ambilan Januari 2007 (PISMP) klik di sini
  • Semakan Penempatan GSST SM Bil 1/2011 Sarjana Muda Pendidikan klik di sini
Jika nama ada tiada dalam semakan Sekolah Rendah,sila Semak Penempatan di ruangan Sekolah Menengah.

Tahniah dan Selamat Datang ke dunia sebenar pendidikan

Friday, January 28, 2011

Penempatan 1,950 Graduan Perintis Ijazah Pendidikan PISMP dari IPGM Diketahui 1 Feb 2011 Ini





Seramai 1,950 graduan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) boleh melapor diri di sekolah-sekolah yang ditetapkan pada 7 Feb ini selepas urusan penempatan tempat mereka mengajar diselesaikan sebelum akhir bulan ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menyelesaikan urusan pengiktirafan mereka semalam dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sedang dalam proses menguruskan penempatan mereka.

"Semalam Bahagian Pengurusan Sekolah Kementerian Pelajaran telah terima surat daripada MQA memaklumkan pengiktirafan itu dan mereka telah terus memaklumkan kepada KPM bagi menguruskan di mana graduan PISMP akan dihantar mengajar.

"Graduan boleh menyemak portal KPM mulai 1 Feb untuk mengetahui di mana mereka akan ditempatkan," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Labis.

Wee berkata 1,950 graduan terbabit merupakan kumpulan perintis lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPGM yang mengambil masa selama lima setengah tahun, termasuk satu setengah tahun kursus pra-universiti.

Mereka menamatkan pengajian akhir mereka di IPGM, yang dahulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan akhir tahun lalu.

Beliau berkata masalah tidak timbul melibatkan graduan lepasan PISMP daripada universiti tempatan memandangkan pengajian mereka tamat pada bulan Ogos atau September setiap tahun dan MQA mempunyai masa sehingga empat bulan untuk menguruskan pengiktirafan terbabit.

"Ini merupakan kes yang unik selepas kita meminda undang-undang sedia ada bagi membolehkan IPGM menawarkan PISMP enam tahun lalu dan mereka ini merupakan kumpulan pertama yang tamat pengajian akhir tahun lalu. Kita telah berusaha sedaya upaya untuk mempercepatkan urusan penempatan mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap tidak ada pihak yang akan mempolitikkan isu terbabit.

Dalam sidang media yang sama, Wee turut menafikan terdapat usaha oleh Kementerian Pelajaran untuk menyatukan kelas-kelas di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) apabila murid kurang daripada 35 bagi satu kelas.

"Saya telah mendapat laporan, kecuali sekolah-sekolah yang mendapat kebenaran JPM untuk pecah dua kelas. Apa yang berlaku adalah ada yang tak sampai 35, tetapi nak pecah juga dan pihak sekolah tidak mendapat kebenaran JPM terlebih dahulu. Ini menyebabkan mereka diarahkan dicantumkan semula," katanya.

Mengenai permintaan daripada pertubuhan-pertubuhan Cina di Labis dan Segamat untuk kerajaan membuka semula Sekolah Menengah Persendirian Cina Seg Hwa yang ditutup pada 1960, Wee berkata perkara itu sedang dikendalikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

"Timbalan Perdana Menteri akan berbincang dengan presiden MCA untuk mencari jalan penyelesaian. Ia merupakan satu proses yang berterusan. Kita perlu membuat kajian teliti dan perlu melihat daripada pelbagai sudut.

"Kita tidak mahu apabila sekolah ini dibuka, sekolah menengah persendirian lain diketepi disebabkan kekurangan pelajar," katanya.

- BERNAMA

Kecemerlangan sekolah bergantung pengetua

  
BANDAR SERI BEGAWAN 26 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan sistem pendidikan negara melahirkan modal insan berkualiti dan pelajar berprestasi tinggi sangat bergantung kepada kemampuan kepimpinan di peringkat sekolah terutama pengetuanya dalam menjalankan tugas dengan cemerlang.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ketika ibu bapa dan guru bertanggungjawab dalam pembentukan minda pelajar, pengetua sekolah pula berperanan untuk meningkatkan kemampuan guru bagi menentukan acuan generasi masa depan.

"Sebagai ibu bapa, kita sering memilih sekolah yang bukan sahaja kerana kualiti kemudahannya untuk anak-anak belajar tetapi juga kepimpinan sekolah itu yang melibatkan guru dan pengetua," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertemakan Perkongsian dan Menggunapakai Dinamisme Pemimpin Sekolah Asia Tenggara ke Arah Pembentukan Modal Insan dan Pendidikan Inovasi Abad Ke-21 pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN Kelima dan Forum Pengetua Sekolah ASEAN (SEASPF) Ketiga di sini hari ini.

Menurutnya yang juga Menteri Pelajaran, ibu bapa percaya sekolah yang mempunyai kemudahan, guru dan pengetua cemerlang akan dapat menyediakan peluang yang lebih baik untuk anak-anak mereka.
Sehubungan itu katanya, pengetua sekolah perlu mempunyai keupayaan yang tinggi dalam menjalankan tugas mereka termasuk mampu membawa perubahan positif di kalangan pelajarnya.

"Pengetua sekolah mesti responsif terhadap pertumbuhan yang dinamik dan pembangunan di sekeliling anak-anak dan mampu menyediakan masa depan untuk mereka.

"Ini menuntut pengetua sekolah mesti mempunyai wawasan untuk pelajarnya bagi menjadi apa dan apa yang mampu dilakukan oleh mereka," katanya.

Muhyiddin berkata, pengetua sekolah yang mempunyai wawasan baru bukan sahaja mampu mencapai aspirasi negara dalam bidang pendidikan tetapi juga dapat mengupayakan kehidupan pelajar selepas sekolah tanpa mengira kaum, status sosial dan jantina.

Timbalan Perdana Menteri berkata, para pengetua juga perlu diberi galakan dan sokongan terutama dalam menghadapi cabaran semasa agar mereka mampu menjadi peneraju yang baik.

Selain perlu mendapatkan idea baru tentang bilik darjah dan pendidikan, katanya, pengetua sebagai peneraju perubahan perlu diberi pendedahan mengenai pemikiran strategik dan kecekapan dalam organisasi.
Forum tersebut yang akan berakhir Jumaat ini bertujuan meningkatkan kerjasama antara persatuan-persatuan pengetua di rantau ini, mempromosikan globalisasi dalam pendidikan, mengukuhkan keupayaan kepimpinan dan mewujudkan sistem pendidikan yang lebih baik untuk ASEAN.

Pada akhir forum anjuran Sekretariat SEASPF itu, satu deklarasi akan dikeluar dan diserahkan kepada kerajaan masing-masing untuk tindakan lanjut.
Sumber : Utusan Malaysia Online

Renungan Jumaat - Lidah dan Hati





Pada suatu hari, Luqman disuruh oleh tuannya menyembelih seekor kambing. Tuannya meminta Luqman mengeluarkan 2 keping daging yang sangat besar khasiatnya. Setelah Luqman al-Hakim menyembelih seekor kambing, beliau mengeluarkan lidah dan hati kambing tersebut. Beliau memasak dan menghidangkan untuk tuannya

Pada suatu hari yang lain, tuannya menyuruh Luqman sekali lagi menyembelih seekor kambing. Kali ini dia menyuruh Luqman mengeluarkan dua keping daging yang paling menjijikkan. Sekali lagi Luqman yang bijaksana itu pun mengeluarkan lidah dan hati kambing. Beliau memasak dan menghidangkan kepada tuannya.

Tuannya berasa hairan dengan perbuatan Luqman itu, lalu dia memanggil dan bertanya kepada Luqman: "Wahai Luqman, bila saya meminta engkau mengeluarkan2 keping daging yang paling baik, engkau mengeluarkan lidah dan hati. Sekarang ini saya meminta engkau mengeluarkan dua keping daging yang paling menjijikkan, engkau mengeluarkan lidah dan hati nya juga. Bolehkah engkau terangkan apa maksudmu??"

Luqman al-Hakim menjawab: "Wahai tuan, memang lidah dan hati itu adalah dua bahagian yang paling baik jika seseorang itu pandai memeliharanya. Akan tetapi jika seseorang itu tidak pandai memelihara dan mengawalnya, maka kedua-duanya boleh membinasakan dirinya. Hati dapat menimbukan niat yang ikhlas dan baik. Ia boleh menimbulkan niat yang buruk dan jahat, curang dan dengki. Lidah pula boleh menuturkan kata-kata yang baik dan manis. Ia juga boleh memberi pengajaran kepada manusia. Sebaliknya ia juga boleh mengeluarkan kata-kata yang kotor dan keji. Ia juga boleh menyebabkan permusuhan sesama manusia. Disebabkan lidah, manusia boleh berperang dan bunuh-membunuh.

Wednesday, January 26, 2011

Sekitar Penyerahan Surat Pertukaran Dan Penawaran Pemangkuan Guru Besar dan GPK Kuatkuasa 1 Feb 2011

Seperti yang kita nyatakan terdahulu pertukaran atau penawaran pemangkuan mahupun pengisian jawatan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan dilaksanakan pada 1 haribulan dan 16 haribulan. Bagi excersice kuatkuasa 1 Feb 2011 lima pertukaran dan tiga tawaran pemangkuan Guru Besar (dua orang menolak) dan lapan belas GPK bertukar dan diberi tawaran pengisian hakiki. Kekosongan tempat yang menolak akan dicalonkan segera berdasar senarai KPM yang ada.

Kepada Guru Besar dan GPK baru selamat bertugas dan kepada Guru Besar dan GPK yang bertukar selamat berkhidmat di sekolah baru. Kepada Guru Besar dan GPK yang mohon bertukar bersabar,insyaalah akan tiba giliran anda.

Senarai Guru Besar bertukar atau ditawar pemangkuan di sini
Senarai GPK bertukar dan ditawar pengisian hakiki di sini

Sunday, January 23, 2011

Perhimpunan Bulanan Jabatan 1/2011

' Kepimpinan yang paling penting ialah keupayaan memimpin diri sendiri ', demikian kata Yang Berbahagia,En.Razali bin Daud,Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu. Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Jabatan Pelajaran Negeri Siri 1/2011.

Perhimpunan kali ini diurusetiakan oleh Sektor Pengurusan Sekolah yang bertemakan "Melestarikan Pengurusan Sekolah Terbilang". Semua Pegawai Pelajaran Daerah,KPP BTPN,YDP Majlis Pengetua dan Wakil Majlis Guru Besar Terengganu turut hadir di samping semua pegawai dan staf JPN Negeri.

Majlis perhimpunan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Akal Budi. Selepas itu diikuti bacaan Al-Quran oleh Ustaz Wan Mohd Hasbi Wan Jusoh dari Sektor Pendidikan Islam. Majlis diteruskan dengan ucapan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah,En.Zakariah bin Ali dan diikuti penyampaian mesej Ilmu oleh En. Zakaria bin Muda,Ketua Unit Prasekolah. Selepas ucapan Pengarah diadakan bacaan Ikrar Perkhidmatan dan penyampaian Sijil Penghargaan dan Hadiah Hari Jadi. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Ibrahim Ismail dari Sektor Pengurusan Sekolah.

Pengarah Pelajaran Negeri dalam  ucapannya juga menggariskan perkara-perkara berikut bagi memantap dan memperkasakan kepimpinan diri;
  • menetapkan visi dan misi diri supaya mempunyai perancangan dan pelaksanaan yang jelas dan berkesan
  • menghindari daripada "profesional trap" melalui pusingan kerja agar kemahiran sentiasa dipertingkatkan dengan perkembangan terbaharu
  • berani membuat keputusan dan bersedia menanggung risiko terhadap keputusan yang dibuat dan terlalu takut
  • komunikasi yang tegas dan efektif dengan pelanggan bukanya "musang" atau kasar
  • sentiasa amanah terutama dengan masa,diri,ketua
  • membina kepercayaan kepada diri sendiri sebelum melihat atau mempertikaikan ketua yang lebih atas
Talking point ucapan KS Pengurusan Sekolah dapat dibaca di sini dan Mesej Ilmu oleh KU PraSekolah dapat dibaca di sini

Saturday, January 22, 2011

1001 cabaran guru pendidikan khas

KOTA KINABALU 21 Jan. – “Sayalah Ultraman Gaia cikgu,” kata seorang pelajar dengan begitu bersungguh-sungguh sambil melakukan aksi watak adiwira kartun itu sebaik sahaja tiba ke sekolah hari ini.

Pelajar yang menghadapi masalah hiperaktif itu merupakan salah seorang pelajar pendidikan khas yang sering meluru masuk ke bilik Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Kolombong, Alizah Abdul Malek tidak kira masa.

Alizah bagaimanapun secara spontan terus melayan kerenah pelajar berkenaan tanpa sedikit pun menunjukkan rasa marah malah memujuknya masuk ke dalam kelas.

“Ya.. Cikgu tahu kamu Ultraman Gaia, tetapi sekarang waktu kamu belajar, jadi kamu kena masuk dalam kelas,” pujuk Alizah dengan lembut.

Itulah antara cabaran yang harus dilalui oleh guru pendidikan khas yang pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi dan menurutnya, tugas itu sebenarnya begitu unik dan menarik malah tidak terhad kepada di dalam kelas semata-mata.

“Saya bukan sahaja mengajar di sekolah, malah saya pernah diminta oleh ibu bapa pelajar supaya menelefon dan mengejutkan anak mereka yang enggan ke sekolah.

“Alhamdulillah selepas dia mendengar suara saya murid berkenaan bangun dan kemudiannya tidak berapa lama dia datang ke sekolah dan mengucapkan selamat pagi kepada saya,” cerita Alizah sambil tersenyum.
Beliau yang berpengalaman sebagai guru biasa sebelum ini memberitahu, tugas mengajar pelajar pendidikan khas ini amat berbeza dan lebih mencabar.

Alizah memberitahu, secara kesimpulannya tugas guru pendidikan khas ini sebenarnya mempunyai 1,001 macam cerita.

Katanya, selain berhadapan pelbagai tingkah laku pelajar mereka juga berhadapan tindakan agresif sesetengah pelajar yang perlu ditangani dengan baik.

“Ada pelajar yang terlalu aktif pernah hilang menyebabkan guru-guru terpaksa mencari hingga ke bandar Inanam.

“Ada juga yang memanjat pokok dan kita terpaksa memujuk supaya pelajar berkenaan turun dengan selamat,” katanya.

Tambah beliau, menjadi guru pendidikan khas juga memerlukan setiap guru melayani kerenah pelajar dengan penuh berhemah.

Katanya, kaedah memujuk adalah cara terbaik berbanding memarahi pelajar yang boleh menyebabkan mereka bertindak agresif.

Dalam pada itu, seorang lagi guru, Donny Chin berkata, mendidik pelajar kelas pendidikan khas bukan sahaja memerlukan kesabaran tetapi perlu pendekatan kreatif dan kritis dalam pembelajaran.

Katanya, ini kerana setiap pelajar pendidikan khas di dalam sesebuah kelas memerlukan kaedah pengajaran tersendiri.

“Selain itu kita kadangkala perlu berhadapan sikap sesetengah ibu bapa yang menaruh harapan yang begitu tinggi terhadap guru untuk mengubah anak-anak mereka.

“Kita tahu had anak mereka bagaimanapun kita mencuba sedaya upaya memberi yang terbaik,” ujarnya.
Sementara itu, seorang ibu, Dayang Kianhing, 40, berkata, prestasi yang ditunjukkan anaknya selepas mengikuti program ini amat memberangsangkan.

Malah katanya anaknya yang menghadapi masalah hiperaktif dan pertuturan juga telah menunjukkan minat belajar setelah dihantar ke SMK Kolombong.

“Saya lihat anak saya kini bukan sahaja boleh mengurus diri tetapi sudah pandai menghafal surah al-Fatihah dan bersolat.

“Saya juga bersyukur kerana anak saya lebih berminat ke sekolah berbanding sebelum ini semasa bersekolah di Labuan dan Sandakan,” ujarnya.

Kontrak 1,614 GSTT disambung

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menyambung kontrak 1,614 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di seluruh negara yang telah tamat tempoh pada 31 Disember lalu.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kesemua GSTT yang akan disambung kontrak itu adalah terdiri daripada guru sandaran yang terpilih memenuhi syarat utama kelayakan iaitu berpengalaman bertugas selama tiga tahun berturut-turut.

Menurutnya, syarat lain yang perlu dipenuhi ialah bersedia untuk ditukarkan ke sekolah lain.
"Kami telah menjalankan proses saringan dan mendapati 1,614 GSTT yang terdiri daripada 338 guru sandaran sekolah rendah dan 1,276 dari sekolah menengah memenuhi syarat tersebut. Jadi kami mengambil keputusan untuk menyambung kontrak mereka.

"Untuk tujuan itu, kementerian telah mengarahkan jabatan pelajaran di setiap negeri supaya mengambil semula guru-guru sandaran ini dengan segera dan berharap mereka akan mendapat surat tawaran dalam masa terdekat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini GSTT yang masih belum disambung kontrak setelah ia tamat tempoh pada 31 Disember lalu.

Sementara itu, berhubung permintaan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB) supaya GSTT yang berpengalaman lebih tiga tahun diberi keutamaan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan guru (IPG), Puad berkata, keutamaan sememangnya telah diberikan kepada golongan tersebut.
Bagaimanapun katanya, tidak semua guru sandaran itu boleh melanjutkan pengajian ke IPG kerana kebanyakannya tidak memenuhi syarat bidang pengkhususan dalam pendidikan di sekolah.

"Kami memberi keutamaan. Sebab itu wujudnya Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Dalam Cuti (KDC) tetapi masalahnya ialah kebanyakan guru sandaran ini tidak memenuhi syarat pengkhususan dalam mata pelajaran di sekolah.

"Sebagai contoh, guru sandaran yang mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan sukar untuk dipilih ke IPG berbanding mereka yang mempunyai kelulusan di dalam bidang bahasa dan sejarah kerana kurang pengkhususan terhadap bidang tersebut di sekolah,'' jelasnya.
Sumber :  Utusan Malaysia Online

Friday, January 21, 2011

Renungan Jumaat - Anak adalah anugerah Allah


Pagi Jumaat....

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?".
"Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada
pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih
ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari
siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di
rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar
dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun
sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,
mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini. Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat . Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang

Thursday, January 20, 2011

PAGE mahu PPSMI dijadikan opsyen di SK dan SMK

PUTRAJAYA, 19 Jan. - Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) mengulangi saranannya supaya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dijadikan sebagai opsyen di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Perkara itu dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan oleh Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, yang diterima oleh setiausaha sulit kanan Perdana Menteri, Mohamad Amir Harun di Pejabat Perdana Menteri tengah hari tadi.

Noor Azimah ketika ditemui pemberita berharap Najib akan membawa resolusi persatuan itu untuk dibincangkan semula oleh Kabinet kerana perkara itu adalah untuk kebaikan kanak-kanak.

PPSMI, yang diperkenalkan pada 2003 ketika era Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar dalam bidang sains dan matematik tetapi pada 2009, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan dasar itu berkuatkuasa 2012 manakala sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil menggunakan bahasa ibunda masing-masing bagi pengajaran dan pembelajaran dua subjek berkenaan. - Bernama

Wednesday, January 19, 2011

Mesyuarat Pengurusan Pengajian Tamil di Sekolah Kebangsaan

Pagi tadi satu mesyuarat mengenai Pengajian Tamil di sekolah kebangsaan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Anjung Ilmu,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu

Mesyuarat ini merupakan kali pertama bagi tahun ini bagi membincangkan beberapa aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh sekolah yang mempunyai pembelajaran Bahasa Tamil. Dalam mesyuarat ini guru-guru Bahasa Tamil dapat berkenalan di antara satu sama lain dan antara pegawai-pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu terutama En.Wahab bin Salleh,selaku desk officer Pengajian Tamil di sekolah kebangsaan (PTSK). Berdasarkan ABM Perjawatan yang diluluskan pada tahun 2011 sepatutnya empat buah sekolah di buka untuk program ini tetapi satu daripadanya iaitu SK Pelagat,Besut masih belum dibuka PTSK kerana ketiadaan guru
Kita berharap para pelajar SK dapat memanafaatkan program ini dengan sebaik mungkin.
Sekolah yang beroperasi dengan program PTSK kini ialah;-
  1. SK Lembah Jabor Kemaman
  2. SK Sultan Sulaiman 1,Kuala Terengganu
  3. SK Sultan Omar,Dungun

Tuesday, January 18, 2011

Sekitar Majlis Penyampaian Surat Pemangkuan Guru Besar Cemerlang

Pagi tadi telah berlangsung Majlis Penyampaian Surat Pemangkuan Guru Besar Cemerlang DGA38(KUP) bagi Terengganu yang telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia, En.Razali bin Daud,Pengarah Pelajaran Terengganu. Majlis berkenaan telah diadakan di Dewan Seminar,Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu. Seramai tiga puluh orang Guru Besar Cemerlang telah hadir di samping En.Zakariah bin Ali,Ketua Sektor Pengurusan Sekolah dan Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah . Turut hadir ialah En.Rosli Chik,Ketua Unit Naik Pangkat,En.Jelani Sulong,Ketua Unit Rendah dan juga Tuan Haji Yusof bin Karim,Pengerusi Majlis Guru Besar,Negeri Terengganu.

Pengarah Pelajaran Negeri dalam ucapannya merakam tahniah dan penghargaan kepada mereka yang telah berjaya. Beliau juga berharap akan lebih ramai lagi Guru Besar DGA34 akan memohon sebagai Guru Besar Cemerlang dan mereka perlu membuat persediaan terutama lagi bagi melengkapkan komponen 30% markah bagi kategori sumbangan dan penglibatan. Tegasnya saranan beliau agar guru terlibat dengan kegiatan masyarakat sangat relevan bagi memenuhi komponen berkaitan.

Selain dari itu, Pengarah Pelajaran juga mengingatkan Guru Besar Cemerlang bahawa pengesahan bagi pemangkuan mereka akan dibuat dengan teliti terutama berkaitan pengurusan dan keewangan. Beliau juga mahu semua Guru Besar Cemerlang sentiasa mengamalkan perkara berikut dalam pengurusan mereka:
  1. Berbicara dan bertindak dalam pengurusan selari dengan dasar yang ditetapkan dengan “government on the day' 
  2. Sentiasa mempertingkat ilmu dan kemahiran terkini 
  3. Memastikan GPS dan Pencapaian A sekolah dalam UPSR meningkat
  4. Memastikan tiada audit berteguran dan pengurusan kewangan yang optima
  5. Mendahului dan menepati masa pada program ajuran PPD,jabatan dan agensi berkaitan seperti penghantaran dokumen dan sebagainya
  6. Menjadi pengurus yang efaktif dan berkesan hingga tiada aduan dari dalam dan luar sekolah
Pengarah berharap dengan komitmen dan iltizam para Guru Besar cita-cita jabatan untuk
“Melestarikan Pendidikan Terbilang” akan tercapai.

Monday, January 17, 2011

Kunjungan Mesra Kasih ke SK Bukit Tumbuh

Pagi tadi saya,Ketua Unit Rendah,Ketua Unit PraSekolah, Penolong Pengarah Data dan ABM( Pegawai Perhubungan SKBT), Penyelia Kanan Data (SJKT) dan Penyelia Kanan Pengurusan Murid membuat Kunjungan Mesra Kasih ke SK Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu. Sepanjang kunjungan itu sempat saya rakamkan beberapa keping gambar dari beberapa sudut yang menarik dah boleh kita kongsikan dengan sekolah lain.

Saya sempat meninjau Bilik Kemahiran Hidup dan Perpustakaan yang saya kira boleh dijadikan "benchmarking" untuk sekolah-sekolah lawati dan pelajari sesuatu. Secara umumnya memasuki SK Bukit Tumbuh kita akan merasa kelainan kerana persekitaran yang menarik dan iklim persekitaran fizikal dan sosial yang merangsangkan minda kita. Tahniah kepada Guru Besar,GPK dan para guru serta murid SK Bukit Tumbuh. Seperti kata Ketua Unit Rendah dalam pertemuan dengan semua staf bahawa sekolah ini akan menjadi Sekolah Cemerlang jika sikap serta visi dan misi dimasyarakatkan dan dihayati semua warga.

Sunday, January 16, 2011

Tahniah dan Syabas !!!

Mesyuarat Penyelarasan Perjawatan Guru ,Kelas dan Murid

Mesyuarat berkenaan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Anjung Ilmu,.Jabatan Pelajaran Negeri yang melibatkan pegawai dari Unit Pengurusan Sekolah Rendah dan semua Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah seluruh negeri.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah,En.Zakariah bin Ali yang sempat hadir selepas mesyuarat Sektor Pengurusan Sekolah merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua yang hadir dan berpesan agar pengurusan data dan perjawatan rendah dapat dimantap dan dipertingkatkan lagi. Beliau berharap semua pegawai dapat melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran secukupnya supaya dapat membantu sekolah dengan berkesan serta sentiasa positif dengan kerjabuat masing-masing.

Mesyuarat hari ini amat penting bagi menyusun dan menstruktur semula kelas apabila kemasukan sebenar murid pada 3 Januari yang lalu.Kedudukan sebenar murid bakal menjadi penentu kedudukan pembukaan kelas dan perjawatan guru. Mana-mana sekolah yang memohon penambahan pembukaan kelas akan diteliti jawatankuasa kerana sebarang kelulusan buka atau tutup akan membawa implikasi kedudukan perjawatan.Jumlah waran perjawatan yang diluluskan oleh BPSM tidak boleh ditambah tetapi disesuai dalam lingkungan tidak lebih dari jumlah kelulusan tersebut. Mana-mana sekolah yang dilihat kritikal untuk diluluskan tambahan kelas akan diputuskan oleh jawatankuasa.

Pindaan kelulusan perjawatan mengikut sekolah jika ada akan dipanjangkan ke BPSM untuk perubahan sijil dan sekolah akan dimaklumkan mengenai kelulusan membuka atau menutup kelas secara bertulis oleh JPN. Perinciaan kedudukan kelas,murid dan guru berasaskan negeri akan diupload dan diletakkan di site bar untuk rujukan umum apabila semuanya selesai.

Mesyuarat Sektor Pengurusan Sekolah

"Guru adalah "social engineer" dan merupakan bidang kejuruteraan yang paling sukar dan penuh cabaran kerana tugasnya ialah untuk memanusiakan manusia. Walaupun pandangan umum melihatnya sebagai tugas yang ringan dan mudah...." demikian antara ucapan En.Zakariah bin Ali,Ketua Sektor Pengurusan Sekolah dalam Mesyuarat Sektor Sekolah di Bilik Mesyuarat Alamanda,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu pagi tadi.

Mesyuarat ini adalah Mesyuarat Sektor Sekolah yang pertama bagi tahun ini dan dipengerusikan beliau yang buat pertama kali setelah dilantik sebagai Ketua Sektor Pengurusan Sekolah.Beliau menyeru semua staf di bawah Sektor Pengurusan Sekolah sentiasa bersikap positif dalam kerjabuat mereka. Tegas beliau apabila kita bersikap positif maka kejayaan mudah dicapai kerana sikap (tanggapan) kita akan menentukan semangat serta kesediaan kita untuk bertindak. Tegas beliau lagi melalui kajian yang dibuat kejayaan seseorang ditentukan oleh sikap positif sebanyak 90% dan 10% lagi disumbang oleh bakat/kebolehannya.

Mengikut Ketua Sektor, sikap negatif yang ada dalam jiwa dan masyarakat kita telah lama dibicarakan oleh Allahyarham Zaaba. Mengikut Zaaba katanya orang Melayu ada empat jenis kemiskinan. Pertama ialah miskin ilmu,kedua miskin amalan dan nilai mulia,ketiga miskin harta dan keempat miskin cita-cita besar.Inilah cabaran besar pendidikan untuk merubah sikap dan tanggapan salah bahawa kita punyai kebolehan dan kehebatan.

Mesyuarat hari ini juga menyentuh beberapa perkara seperti perubahan fail meja,pemantauan sekolah,perhimpunan bulanan dan program-program kebajikan ahli

Permatapintar - Ujian Saringan UKM1

Pencarian Bakat Pelajar Pintar Cerdas Saringan Peringkat Pertama Dalam Talian UKM1 ,Tahun 2011.
Terbuka kepada semua Pelajar berusia 8 - 15 tahun dan mereka yang berminat menyertai;
  • Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar Negara 2011 (pelajar 9-15 tahun: di UKM)
  • Perkhemahan PERMATA Insan 2011 (Pelajar Islam 8 tahun : di USIM)
  • Program Pendidikan Menengah Tinggi PERMATApintar Sesi 2012 (15 tahun sahaja)
Ujian UKM1 boleh diambil di sekolah,rumah,kafe siber dan pusat komuniti berinternet.

Pendaftaran Ujian   : Mulai 2 Januari 2011
URL Untuk Daftar  : http://www.permatapintar.edu.my
a) Pelajar baru : masukkan Mykad / Mykid,maklumat pelajar,sekolah & ibu / bapa / penjaga
b) Pelajar lama : kemaskini Mykad / Mykid,maklumat pelajar,sekolah & ibu / bapa / penjaga

Tarikh dan Tempoh Ujian : 1 Februari  - 30 April 2011
URL Untuk Ambil Ujian  : http://www.permatapintar.edu.my

Friday, January 14, 2011

469,500 tempat untuk lepasan SPM lanjut pengajian

KUALA TERENGGANU 14 Jan. – Sebanyak 469,500 tempat disediakan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang setaraf melanjutkan pengajian mereka ke institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain daripada IPT awam (IPTA), pelajar juga berpeluang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi swasta (IPTS), Tingkatan Enam, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia dan program persediaan ke luar negara secara tajaan.

Katanya, bagi mereka yang tidak mencapai keputusan yang baik dalam SPM, mereka sewajarnya memilih untuk menyambung pengajian bagi mendapatkan sijil di institusi-institusi kemahiran sama ada awam, swasta mahupun di kolej komuniti.

"Apabila Kementerian Pengajian Tinggi melalui Unit Pusat Universiti diberikan tanggungjawab untuk mengkordinasi dalam soal permohonan kemasukan pelajar termasuk ke institusi latihan, kita boleh melihat dan membuat perancangan bagi mereka yang tidak mendapat keputusan baik dalam SPM, kita boleh tampung melalui penyediaan mereka untuk mendapatkan sijil kemahiran.

"Dengan demikian kita dapat mengatasi masalah yang dihadapi negara di mana ramai pelajar masuk pasaran kerja hanya berbekalkan SPM. Tetapi sekarang kita mahu buat perancangan supaya pelajar ini dibekalkan dengan sijil kemahiran,” katanya. – Bernama

Renungan Jumaat - Ubat Pelembut Hati


Seorang sahabat telah menghantar cerita ini melalui facebook saya. Agak menarik juga untuk renungan bersama di hari yang mulia ini. Saya telah mohon izin dengannya untuk disiarkan dalam blog ini. Beginilah ceritanya ..........
Saya sangat mengkagumi kerjaya sebagai guru sekolah. Sebuah kisah yang saya paparkan ini saya ulangi dari kisah benar seorang guru beberapa tahun lalu.

Ceritanya:

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.

Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untukdirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.

Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.

Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.

“Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?”

Dia terkejut dan wajahnya berubah.

“Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu.” Jawabnya

“Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”

” Mak pesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.”

Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, “Maafkan cikgu, …….”

Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Cerita-cerita begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara-perkara berikut;

i. Solat sunat
ii. puasa sunat
iii. berzikir
iv. bersedekah
v. mengusap rambut anak yatim
vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain
vii. membantu orang susah

Thursday, January 13, 2011

Sekitar Majlis Penyampai Surat Pertukaran & Penempatan Guru Besar dan GPK

" Kita hendaklah sentiasa positif dalam semua perkara kerana melalui sikap dan pandangan yang positif kita mengatasi cabaran serta menyelesai masalah dengan mudah..kadang-kadang Allah tidak beri apa yang kita harapkan tetapi Allah beri apa yang kita perlukan...." demikian antara intipati ucapan ringkas En.Zakariah bin Ali,Ketua Sektor Pengurusan Sekolah di Majlis Penyampaian Surat Pertukaran dan Penempatan kepada Guru Besar dan Guru Penolong Kanan kuatkuasa 16 Jan 2011, di PKG Durian Burung,Kuala Terengganu petang ini.

Tegas beliau lagi panel di peringkat PPD dan JPN telah membuat penelitian sebaik mungkin dengan melihat dalam pelbagai aspek sebelum membuat ketetapan dan keputusan. Seramai lima orang guru besar terlibat dengan pertukaran dan satu daripadanya ditawarkan Pemangkuan DGA34. Dua puluh enam GPK pula terlibat dengan excercise kali ini. Tujuh orang daripadanya terlibat sama ada pemangkuan ke DGA32 dan juga penghakikian dari DGA32(KUP) ke DGA32.Satu daripadanya menolak tawaran.

Wednesday, January 12, 2011

Pertukaran dan Penempatan Guru Besar Dan GPK Berkuatkuasa 16 Jan 2011

Tahniah kepada Guru Besar dan GPK serta bakal Guru Besar dan bakal GPK yang tersenarai dalam arahan bertukar,tawaran pemangkuan dan tawaran pengisian penghakikian. Semua keputusan telah dicadang dan dilulus oleh panel PPD dan disokong dan dilulus oleh  panel di peringkat Jabatan dengan justifikasi berikut:
  • atas kepentingan dan keperluan perkhidmatan
  • atas menstruktur semula organisasi
  • atas prestasi dan kebolehan yang ada
  • telah tiba senarai giliran pemangkuan dan pengisian
Sehubungan dengan itu,semua mereka yang terlibat dijemput hadir ke Majlis Penyerahan Surat Pertukaran dan Tawaran yang akan diadakan pada Khamis,13 Januari 2011,jam 2.30 ptg bertempat Pusat Kegiatan Guru Durian Burung,Jalan Cherung Lanjut,Kuala Terengganu.

Senarai mereka yang terlibat boleh dilihat di sini.

Keputusan Guru Besar Cemerlang DGA38 (KUP) - Tahniah kepada yang berjaya

Tahniah kepada 30 orang guru besar yang berjaya memperolehi pemangkuan DGA38(KUP) daripada 31 permohonan yang dipanjangkan ke KPM.JPN telah menerima 40 pencalonan daripada PPD seluruh negeri tetapi 9 daripadanya ditolak kerana tidak cukup tempoh tiga tahun berkhidmat atas gred DGA34 masa permohonan dan memperolehi markah keseluruhan kurang daripada 80% (40% prestasi + 30% pemantauan + 30% penilaian borang - anugerah,kursus dan kemahiran).Iklan permohonan  dan syarat-syarat telah diiklankan dalam blog ini pada 8 Mac 2010. Klik

Sehubungan dengan itu, satu majlis Penyampaian Surat Pemangkuan DGA38(KUP) oleh Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu akan diadakan pada 18 Januari 2011,jam 9.30 pagi, di Bilik Seminar,Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu. Semua penerima dikehendaki melapor diri di Bilik Seminar,BTPN Negeri Terengganu pada jam 9.00 pagi.

Senarai Guru Besar diluluskan Pemangkuan DGA38(KUP) kuatkuasa 1 Januari 2011 klik di sini

Tuesday, January 11, 2011

Pemantauan di Sekolah Kluster Kecemerlangan - SK Tengku Ampuan Intan

Hari ini saya,Ketua Unit dan Penolong Pengarah ABM dan Data sempat membuat pemantau di salah sebuah lagi Sekolah Kluster Kecemerlang ,SK Tengku Ampuan Intan,Kuala Berang di daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini mendapat Anugerah Sekolah Kluster lebih awal dari Sekolah Kluster Kecemerlangan,SK Sultan Sulaiman 1.

SK Tengku Ampuan Intan terkenal dengan kumpulan kombo D'Intan  dan menjadikan aktiviti muzik ini sebagai salah satu bidang kebitaraannya. Walau pun dua blok bangunan baru dan satu bangunan prasekolah sedang dalam proses pembinaan tetapi suasana pembelajaran tidak terganggu dan berjalan lancar sesuai dengan reputasinya sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Kita merakamkan ucapan tahniah kerana sekolah ini juga mendapat pencalonan "New Deals" dan kita berharap dan berdoa dengan barisan kepimpinan yang beriltizam dedikasi serta komitmen para guru dan juga sokongan ibubapa Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Tengku Ampuan Intan terus maju dan mencapai taraf Sekolah Berprestasi Tinggi suatu hari nanti