Saturday, January 22, 2011

Kontrak 1,614 GSTT disambung

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menyambung kontrak 1,614 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di seluruh negara yang telah tamat tempoh pada 31 Disember lalu.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kesemua GSTT yang akan disambung kontrak itu adalah terdiri daripada guru sandaran yang terpilih memenuhi syarat utama kelayakan iaitu berpengalaman bertugas selama tiga tahun berturut-turut.

Menurutnya, syarat lain yang perlu dipenuhi ialah bersedia untuk ditukarkan ke sekolah lain.
"Kami telah menjalankan proses saringan dan mendapati 1,614 GSTT yang terdiri daripada 338 guru sandaran sekolah rendah dan 1,276 dari sekolah menengah memenuhi syarat tersebut. Jadi kami mengambil keputusan untuk menyambung kontrak mereka.

"Untuk tujuan itu, kementerian telah mengarahkan jabatan pelajaran di setiap negeri supaya mengambil semula guru-guru sandaran ini dengan segera dan berharap mereka akan mendapat surat tawaran dalam masa terdekat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini GSTT yang masih belum disambung kontrak setelah ia tamat tempoh pada 31 Disember lalu.

Sementara itu, berhubung permintaan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB) supaya GSTT yang berpengalaman lebih tiga tahun diberi keutamaan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan guru (IPG), Puad berkata, keutamaan sememangnya telah diberikan kepada golongan tersebut.
Bagaimanapun katanya, tidak semua guru sandaran itu boleh melanjutkan pengajian ke IPG kerana kebanyakannya tidak memenuhi syarat bidang pengkhususan dalam pendidikan di sekolah.

"Kami memberi keutamaan. Sebab itu wujudnya Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Dalam Cuti (KDC) tetapi masalahnya ialah kebanyakan guru sandaran ini tidak memenuhi syarat pengkhususan dalam mata pelajaran di sekolah.

"Sebagai contoh, guru sandaran yang mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan sukar untuk dipilih ke IPG berbanding mereka yang mempunyai kelulusan di dalam bidang bahasa dan sejarah kerana kurang pengkhususan terhadap bidang tersebut di sekolah,'' jelasnya.
Sumber :  Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment