Pelajar yang menghadapi masalah hiperaktif itu merupakan salah seorang pelajar pendidikan khas yang sering meluru masuk ke bilik Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Kolombong, Alizah Abdul Malek tidak kira masa.
Alizah bagaimanapun secara spontan terus melayan kerenah pelajar berkenaan tanpa sedikit pun menunjukkan rasa marah malah memujuknya masuk ke dalam kelas.
“Ya.. Cikgu tahu kamu Ultraman Gaia, tetapi sekarang waktu kamu belajar, jadi kamu kena masuk dalam kelas,” pujuk Alizah dengan lembut.
Itulah antara cabaran yang harus dilalui oleh guru pendidikan khas yang pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi dan menurutnya, tugas itu sebenarnya begitu unik dan menarik malah tidak terhad kepada di dalam kelas semata-mata.
“Saya bukan sahaja mengajar di sekolah, malah saya pernah diminta oleh ibu bapa pelajar supaya menelefon dan mengejutkan anak mereka yang enggan ke sekolah.
“Alhamdulillah selepas dia mendengar suara saya murid berkenaan bangun dan kemudiannya tidak berapa lama dia datang ke sekolah dan mengucapkan selamat pagi kepada saya,” cerita Alizah sambil tersenyum.
Beliau yang berpengalaman sebagai guru biasa sebelum ini memberitahu, tugas mengajar pelajar pendidikan khas ini amat berbeza dan lebih mencabar.
Alizah memberitahu, secara kesimpulannya tugas guru pendidikan khas ini sebenarnya mempunyai 1,001 macam cerita.
Katanya, selain berhadapan pelbagai tingkah laku pelajar mereka juga berhadapan tindakan agresif sesetengah pelajar yang perlu ditangani dengan baik.
“Ada pelajar yang terlalu aktif pernah hilang menyebabkan guru-guru terpaksa mencari hingga ke bandar Inanam.
“Ada juga yang memanjat pokok dan kita terpaksa memujuk supaya pelajar berkenaan turun dengan selamat,” katanya.
Tambah beliau, menjadi guru pendidikan khas juga memerlukan setiap guru melayani kerenah pelajar dengan penuh berhemah.
Katanya, kaedah memujuk adalah cara terbaik berbanding memarahi pelajar yang boleh menyebabkan mereka bertindak agresif.
Dalam pada itu, seorang lagi guru, Donny Chin berkata, mendidik pelajar kelas pendidikan khas bukan sahaja memerlukan kesabaran tetapi perlu pendekatan kreatif dan kritis dalam pembelajaran.
Katanya, ini kerana setiap pelajar pendidikan khas di dalam sesebuah kelas memerlukan kaedah pengajaran tersendiri.
“Selain itu kita kadangkala perlu berhadapan sikap sesetengah ibu bapa yang menaruh harapan yang begitu tinggi terhadap guru untuk mengubah anak-anak mereka.
“Kita tahu had anak mereka bagaimanapun kita mencuba sedaya upaya memberi yang terbaik,” ujarnya.
Sementara itu, seorang ibu, Dayang Kianhing, 40, berkata, prestasi yang ditunjukkan anaknya selepas mengikuti program ini amat memberangsangkan.
Malah katanya anaknya yang menghadapi masalah hiperaktif dan pertuturan juga telah menunjukkan minat belajar setelah dihantar ke SMK Kolombong.
“Saya lihat anak saya kini bukan sahaja boleh mengurus diri tetapi sudah pandai menghafal surah al-Fatihah dan bersolat.
“Saya juga bersyukur kerana anak saya lebih berminat ke sekolah berbanding sebelum ini semasa bersekolah di Labuan dan Sandakan,” ujarnya.
Sumber :Utusan Malaysia Online
Kita mesti belajar barsungguh-sungguh.saya akan doakan semoga berjaya.....:)
ReplyDelete