Sunday, January 2, 2011

Mula bersekolah pada usia 5 tahun

Dalam sistem persekolahan sekarang, kanak-kanak mula wajib bersekolah pada usia tujuh tahun. Bagaimanapun, baru-baru ini, Makmal Pembangunan Belia menca- dangkan supaya umur persekolahan dimulakan seawal lima tahun seperti yang telah dilaksanakan oleh kebanyakan negara maju.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu jawatankuasa yang diterajui Ketua Pengarah Pelajaran akan meneliti perkara tersebut sebelum keputusan muktamad pelaksanaannya diumumkan.

Hakikatnya, di negara kita, kanak-kanak seawal usia empat tahun sudah dihantar mengikuti pendidikan prasekolah khususnya di kawasan bandar. Manakala di kampung dan kawasan pedalaman, kanak-kanak mula mengikuti pendidikan prasekolah pada usia lima tahun atau enam tahun. Bergantung kepada kemudahan prasarana untuk pendidikan tersebut.

Pendidikan prasekolah adalah sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1992. Malah, kini ia menjadi sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP) di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dengan sasaran sebanyak 87 peratus kanak-kanak di negara ini mengikuti pendidikan prasekolah pada 2012 dan 97 peratus menjelang 2020.

Melihat kepada senario ini jelas bahawa kanak-kanak berusia lima tahun sudah pun mula bersekolah. Bezanya mereka tidak memakai pakaian seragam yang sama dan tidak pergi ke bangunan bernama 'sekolah'.
Pendidikan prasekolah diadakan di premis yang berbeza infrastruktur bergantung kepada pengendalinya. Kebanyakan prasekolah swasta beroperasi di rumah atau ruang bangunan yang disewa. Manakala prasekolah kerajaa biasanya diadakan di balai raya atau bangunan sendiri. Namun begitu, dari aspek kurikulum kini telah diseragamkan. Semua pengendali pendidikan prasekolah - kerajaan dan swasta - menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (NPCS). Guru dan pembantunya juga wajib mengikuti kursus latihan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Semua guru prasekolah mesti memiliki ijazah. Sebelum ini, syarat minimum ialah mempunyai Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE). Itu sudah tidak mencukupi dan perlu dinaik taraf serta latihan semula.

KPM dalam satu kenyataan baru-baru ini menyatakan seramai 6,580 guru prasekolah swasta dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah selesai menjalani latihan bagi meningkatkan profesionalisme dan kualiti pendidikan awal murid di seluruh negara.

Daripada 6,580 guru yang telah dilatih, 3,299 guru dilatih oleh 10 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan pusat latihan swasta, sementara bakinya dilatih oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pendidikan guru (IPG).

Kerajaan akan melatih 21,000 guru prasekolah sepanjang tempoh 2010 hingga 2012 di bawah GTP untuk menampung 700,000 tenaga pengajar bagi pelajar prasekolah di seluruh negara.

Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment