Friday, January 28, 2011
Kecemerlangan sekolah bergantung pengetua
BANDAR SERI BEGAWAN 26 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan sistem pendidikan negara melahirkan modal insan berkualiti dan pelajar berprestasi tinggi sangat bergantung kepada kemampuan kepimpinan di peringkat sekolah terutama pengetuanya dalam menjalankan tugas dengan cemerlang.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, ketika ibu bapa dan guru bertanggungjawab dalam pembentukan minda pelajar, pengetua sekolah pula berperanan untuk meningkatkan kemampuan guru bagi menentukan acuan generasi masa depan.
"Sebagai ibu bapa, kita sering memilih sekolah yang bukan sahaja kerana kualiti kemudahannya untuk anak-anak belajar tetapi juga kepimpinan sekolah itu yang melibatkan guru dan pengetua," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertemakan Perkongsian dan Menggunapakai Dinamisme Pemimpin Sekolah Asia Tenggara ke Arah Pembentukan Modal Insan dan Pendidikan Inovasi Abad Ke-21 pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN Kelima dan Forum Pengetua Sekolah ASEAN (SEASPF) Ketiga di sini hari ini.
Menurutnya yang juga Menteri Pelajaran, ibu bapa percaya sekolah yang mempunyai kemudahan, guru dan pengetua cemerlang akan dapat menyediakan peluang yang lebih baik untuk anak-anak mereka.
Sehubungan itu katanya, pengetua sekolah perlu mempunyai keupayaan yang tinggi dalam menjalankan tugas mereka termasuk mampu membawa perubahan positif di kalangan pelajarnya.
"Pengetua sekolah mesti responsif terhadap pertumbuhan yang dinamik dan pembangunan di sekeliling anak-anak dan mampu menyediakan masa depan untuk mereka.
"Ini menuntut pengetua sekolah mesti mempunyai wawasan untuk pelajarnya bagi menjadi apa dan apa yang mampu dilakukan oleh mereka," katanya.
Muhyiddin berkata, pengetua sekolah yang mempunyai wawasan baru bukan sahaja mampu mencapai aspirasi negara dalam bidang pendidikan tetapi juga dapat mengupayakan kehidupan pelajar selepas sekolah tanpa mengira kaum, status sosial dan jantina.
Timbalan Perdana Menteri berkata, para pengetua juga perlu diberi galakan dan sokongan terutama dalam menghadapi cabaran semasa agar mereka mampu menjadi peneraju yang baik.
Selain perlu mendapatkan idea baru tentang bilik darjah dan pendidikan, katanya, pengetua sebagai peneraju perubahan perlu diberi pendedahan mengenai pemikiran strategik dan kecekapan dalam organisasi.
Forum tersebut yang akan berakhir Jumaat ini bertujuan meningkatkan kerjasama antara persatuan-persatuan pengetua di rantau ini, mempromosikan globalisasi dalam pendidikan, mengukuhkan keupayaan kepimpinan dan mewujudkan sistem pendidikan yang lebih baik untuk ASEAN.
Pada akhir forum anjuran Sekretariat SEASPF itu, satu deklarasi akan dikeluar dan diserahkan kepada kerajaan masing-masing untuk tindakan lanjut.
Sumber : Utusan Malaysia Online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment