Kebenaran itu dianggap tidak adil, berat sebelah dan mencetuskan rasa tidak puas hati kerana hanya golongan tertentu saja dibenarkan sementara yang lain masih tertakluk pada larangan.
Menganggapnya sebagai diskriminasi, ada pihak mahukan kebenaran itu ditarik balik atau pun diperluaskan kepada semua peringkat tanpa prejudis.
Persoalannya, perlukah pegawai pendidikan yang masih berkhidmat terbabit dengan politik? Tidakkah ia boleh mengkucar-kacirkan tanggungjawab sebenar yang lebih penting daripada melunaskan kehendak individu dalam senario politik tanah air.
Pensyarah Pendidikan Sastera dan Sains dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Ishak Sin berkata kehendak dan kepentingan terbabit dalam arena politik bagi golongan tertentu perlu dilihat daripada pelbagai sudut keperluan.
Bagi golongan guru, tiada halangan asalkan tahu batasnya dan tidak melupakan tanggungjawab hakiki yang wajib dilaksanakan supaya pembabitan dalam politik tidak dipandang serong.
"Politik adalah subjektif, ada melihatnya sebagai wadah penyebaran pelbagai maklumat, ada pula sebagai ancaman dan sebagainya. Namun asalkan ia masih berada pada paksi yang bersih, tiada salahnya mengambil tahu atau membabitkan diri.
"Malangnya tindakan ekstrem, tidak bermoral dan di luar batasan penerimaan masyarakat hingga boleh menggugat keamanan. Itulah yang menjadikan politik dipandang serong hingga hanya membenarkan golongan tertentu saja diberi kebenaran.
Pembabitan guru dalam politik bukanlah baru kerana mereka adalah antara barisan hadapan dalam memberi sokongan terhadap perjuangan mencapai kemerdekaan negara. Bagaimanapun sejak 1980-an, guru tidak dibenarkan lagi aktif dengan alasan mereka golongan 'berbahaya' dan berpengaruh yang boleh mencetuskan huru-hara. Dr Ishak berkata pandangan politik yang sempit boleh mengundang padah dan inilah yang cuba dielakkan pihak berkuasa supaya tidak timbul masalah dengan mengenakan beberapa sekatan bagi kebaikan bersama.
"Golongan ini sangat berpengaruh, suara lantang mereka dipercayai hingga ditakuti mampu membangkitkan ideologi yang tidak sesuai dipraktikkan di kalangan masyarakat.
"Atas faktor itu, golongan guru dilarang menyertai politik. "Bagaimanapun tidak boleh menuding mereka sebagai pencetus utamanya, wujud juga faktor yang menyokong, cuma dari segi populariti, golongan itu mendahului.
"Bagi setiap golongan, politik dilihat dari sudut berbeza, justeru, ada pro dan kontra apabila guru dibenar terbabit. "Paling ditakuti, mereka melupakan terus tanggungjawab mendidik anak bangsa hingga menggagalkan misi pencarian ilmu pada landasan yang betul," katanya tidak menafikan adalah satu ketidakwajaran menyekat guru berpolitik kerana mereka sentiasa mahukan kejayaan untuk masyarakat mahupun negara. Guru adalah golongan idealisme yang tulus memastikan kejayaan setiap generasi, justeru, tidak salah diberi peluang meluahkan pendapat asalkan tidak menggugat keselamatan. Tidak perlu takut pada bayang-bayang.
Sumbangan atau pendapat guru perlu dilihat dari sudut positif terutama dalam memberi motivasi kepada pelajar mengenai semangat cintakan negara. Itu juga satu kaedah pembelajaran yang baik.
"Tidaklah nanti generasi muda hari ini menjadi jumud mengenai politik, senang diperkotak-katikkan atau tidak kisah langsung mengenai masa depan negara. Itu adalah kebaikan yang boleh diperoleh jika guru dibenarkan berinteraksi mengenai politik tanpa sekatan, " kata Dr Ishak.
Beliau menegaskan pembabitan itu biarlah bersederhana kerana ditakuti membawa kesan negatif jika dicampur aduk dengan tugas dan tanggungjawab. "Guru berpolitik pasti sibuk dengan kerja luar, secara tidak langsung menjejaskan sistem pendidikan dan pembelajaran, sekali gus memberi impak buruk kepada pelajar khususnya pencapaian pelajar.
"Malah, sikap cuba mencampuradukkan politik dengan mencetuskan isu sensitif wajar dielakkan. Politik adalah untuk melahirkan semangat cintakan negara, bukan memusnahkannya.
"Justeru berhati-hatilah. Tidak kira sama ada guru atau masyarakat, politik perlu dilihat sebagai platform mewujudkan pencapaian positif bukan sebaliknya. Kita sudah tentu tidak mahu, hanya kerana ingin menegakkan kefahaman masing - masing, mereka yang tidak berdosa menanggung akibatnya," katanya.
>INFO GURU yang ingin berpolitik perlu akur dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 mengenai tatakelakuan yang berkaitan dengannya. Peraturan ini antaranya bertujuan mengawal pembabitan guru supaya tidak menjejaskan tugasan selain menjejaskan pencapaian pelajar di sekolah.
Sumber : Harian Metro Online
No comments:
Post a Comment