Saturday, March 10, 2012

Ulasan Isu : SBPA dibatalkan maka semua bersangkutan SBPA tidak sah digunapakai

Beberapa hari lepas YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pembatalan SBPA dan mengekalkan SSM dengan beberapa penambahbaikan sehingga satu suruhanjaya ditubuh bagi mengkaji keseluruhan sistem perkhidmatan awam negara. Tahniah dan terima kasih YAB Perdana Menteri kerana menamatkan kemelut hasil dari tindakan perancangan dasar yang tidak selari dengan aspirasi kerajaan. Ada suara-suara,pendapat dan tulisan sinikal  yang mengatakan kerja-kerja penggubalan SBPA dilaksanakan oleh "mafia" atau "litle nepolien" dalam perkhidmatan awam.Walahualam.

Kita percaya majoriti penjawat awam lega dan berpuashati dengan pengumuman YAB Perdana Menteri dan kita juga percaya terdapat segelintir dari mereka yang tidak berpuashati apalagi kalau jenis yang tidak tahu bersyukur, besar nafsu dan juga lupa ukuran baju sendiri. Kadang mereka lupa kesenangan dan kebahagian dalam hidup bukan diukur besar atau kecil gaji seseorang tetapi diukur dan dinilai sejauh mana mereka pandai mengurus kewangan mereka sendiri. Ada pegawai gaji puluhan ribu tetapi setiap bulan menerima gaji bersih lebih rendah dari pembantu pejabatnya. Mereka "kaya" dengan hutang-piutang kerana mengejar prestej dan status hidup moden. Tepatlah kata ahli ekonomi John Adam bahawa masalah ekonomi timbul bila "manusia yang mempunyai nafsu tiada had berusaha memenuhinya dengan sumber-sumber yang terhad". Akibat tidak mampu mendidik hawa nafsu maka berlakulah penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan.

Berbalik tentang isu pembatalan SBPA warga guru terutamanya patut bersyukur dan berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri. Bukan sahaja isu naik pangkat secara "time base" untuk KUP diperluaskan mungkin ke gred DGA34 KUP tetapi juga ada isu lain yang tidak dibongkarkan sebelum ini.

Hampir sebulan yang lepas Setiausaha Agung NUTP telah mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat 15,000 guru lepasan PPLD yang sambung belajar, memiliki ijazah dan setengahnya telah ditemuduga oleh SPP hampir dua tahun belum dilantik ke gred DG41. Justru itu ujudlah pelbagai perdebatan dan YAB Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran telah memberi respon bahawa kerajaan akan selesaikan. Timbalan Menteri Pelajaran juga buat kenyataan. Apa yang ditulis dan disebut telah menimbulkan kekeliruan sama ada ke DG41 naik gred atau naik pangkat. Sebelum ini semua umum mengetahui gred DG41 bukan gred naik pangkat tapi gred asas perjawatan PPPS. Kami ada tulis DI SINI.Tradisinya Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaranlah taukeh besar yang diputuskan untuk mengurus pelantikan ke DG41 melalui proses-proses tertentu tetapi apabila SBPA hendak diperkenalkan maka berlaku pembekuan perlantikan dengan pelbagai alasan sama ada tiada perjawatan atau tiada wang untuk bayar gaji dan tunggakan. Logikkah KPM yang meluluskan guru sambung belajar tidak tahu perjawatan ada atau tidak. Mana dasar semua SM 100% guru siswazah dan SR 50% guru siswazah ?

Dua minggu yang lepas barangkali rentetan apa yang disebut oleh YAB Timbalan Perdana Menteri maka BPSM, KPM mengarahkan JPN Negeri Urusan Kenaikan Pangkat PPLD yang mendapat ijazah semasa berkhidmat ke DG1-1. Sekali lagi kami dihujani panggilan, sms dan email serta pelbagai media sosial oleh guru-guru terutama yang telah temuduga SPP kerana bimbang pelaksanaan urusan ini menyebabkan mereka yang sepatutnya dilantik pada 2 Oktober 2010 mengikut Pekeliling Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Bil 1,2010 akan hilang senioriti atas gred DG41, tunggakan serta peluang-peluang naik pangkat. Sekali lagi istilah naik pangkat ke DG41 dipersoalkan. Apa tidaknya rakan-rakan sama-sama belajar, sama-sama graduate tapi awal sehari atau seminggu dua temuduga dari mereka telahpun dilantik ke DG41 dan menikmati gaji baru serta tunggakan gaji. Barangkali sangat tidak adil jika mereka dilantik pada tahun semasa sekarang kecuali tiada seorang pun dari kohort terbabit terlepas atau dilantik.

Kami mencari-cari sumber kuasa mana yang digunakan oleh BPSM untuk menghalalkan istilah naik pangkat kepada gred DG41. Kami tidak salahkan BPSM kerana BPSM melaksanakan arahan dari JPA. Namun tugas kami untuk menjelaskan kepada guru sangat besar. Pertama biar mereka faham dan kedua jangan mereka membina persepsi kerajaan hendak menipu mereka. Akhirnya, kami temui sumber kuasa itu. Sumber kuasa yang menghalalkan "naik pangkat" ke DG41. Sumber kuasa yang memindahkan kuasa pelantikan gred DG41 daripada SPP ke Lembaga Naik Pangkat. Barangkali sumber kuasa itu ialah Pekeliling Perkhidmatan Bil 15 Tahun 2011 yang bertajuk : Kemajuan Kerjaya Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Saraan Baru Perkhidmatan Awam. Pada permulaan perenggan di bawah tajuk Tujuan : Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan menjelaskan mengenai kemajuan kerjaya pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang dilaksanakan di bawah Saraan Baru Perkhidmatan Awam.

Justru pembatalan SBPA maka kita berharap semua pekeliling yang berkaitan SBPA juga batal dan urusan dibawahnya tidak valid untuk digunapakai. Oleh yang demikian ramai yang meminta urusan pelantikan guru PPLD yang sambung belajar sama ada sepenuh masa dan pjj dikembalikan mengikut kaedah asal di mana diuruskan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. Kadangpun kita yang di bawah ini pun hairan macam mana SPP boleh membenarkan JPA melalui LNP mengambil alih tugas ini. Kita tidak faham kedudukan hiraki antara SPP dan JPA ini. Walau bagaimanapun isu pelantikan ke DG41 bagi PPLD ini  patut disegerakan . Jangan ianya menjadi polimek atau dipolimek hingga sukar bagi kita yang cintakan kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri menghadapinya.

Sesungguhnya para guru terutama PPLD yang sambung belajar perlu menyokong penuh dan berdiri teguh di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri kerana membatalkan SBPA dan mengembalikan hak-hak mereka. Kita percaya KPM menyedari  hakikat ini dan akan menyelesaikan isu ini segera.

Terima kasih YAB Perdana Menteri.

1 ulasan:

Anonymous said...

Harap akan ada jalan penyelesaian bg isu perlantikan guru2 PPLD yg sambung belajr ke DG41....Semoga tiada lagi isu tarik tali antara pihak yang bertanggungjawab menidakkan hak guru2 terlibat.

Post a Comment