Friday, March 23, 2012

Renungan Jumaat : Aku tidak mahu menjadi beban


Ketika Nabi Muhammad mengimankan solat pada suatu hari, beliau kelihatan seperti sukar melakukan pergerakan. Ini menimbulkan tanda tanya dan kerisauan di kalangan sahabat yang menjadi makmum. Mereka tidak dapat solat dengan khusyuk dan merasa terganggu. Setiap kali Nabi bergerak, kedengaran bunyi mengerutup seperti sendi-sendinya bergesel antara satu sama lain.

Umar yang risau melihat keadaan itu terus bertanya setelah mereka selesai solat. “Wahai Muhammad, kami perhatikan seolah-olah tuan sedang menanggung penderitaan yang amat berat sekali. Tuan sakitkah?”

“Tidak, Umar” jawab Nabi. “Alhamdulillah, aku sihat dan segar.” Namun Umar tidak berpuas hati dengan jawapan itu.

“Kalau sihat, mengapa setiap kali tuan menggerakkan badan, kami dengar seolah-olah sendi tuan bergesel. Kami yakin bahawa tuan sedang sakit.”

Tetapi Nabi Muhammad tetap mengatakan tiada apa-apa yang perlu dirisaukan. Namun setelah didesak berkali-kali, akhirnya Nabi Muhammad mengangkat jubahnya. Para sahabat terkejut kerana perutnya begitu kempis dan di liliti sehelai kain berisi batu kerikil bagi menahan rasa lapar. Batu-batu itulah yang mengeluarkan bunyi setiap kali Nabi Muhammad menggerakkan tubuhnya.

“Wahi Muhammad, adakah apabila tuan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak dapat menyediakannya?” Umar bertanya lagi dengan suara penuh belas kasihan kerana khuatir mereka tidak dapat menyempurnakan permintaan Nabi.

“Tidak sahabatku” jawab Nabi Muhammad.

“Aku tau kamu sanggup lakukan apa saja untukku. Tetapi apakah yang akan ku jawab di hadapan Allah nanti apabila aku sebagai pemimpin menjadi beban kepada umatNya?”

Kemudian Nabi menyambung, “Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah daripada Allah buatku agar umatku tiada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.”

No comments:

Post a Comment