Sunday, March 25, 2012

HUTeC cetus kecemerlangan

Haji Shafruddin Ali Husin
PPD Hulu Terengganu

HULU TERENGGANU 23 Mac - Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) menggerakkan usaha terancang melalui Projek Hulu Terengganu Cemerlang 2012 (HUTeC-2012) bagi memperkasakan pendidikan daerah pedalaman ini seiring dengan perkembangan arus perdana.

Penyelaras projek, Mohd. Yuseri Che Din memberitahu, HUTeC yang melibatkan perkongsian pintar dengan pelbagai pihak bakal dilancarkan Ahad ini dan menyasarkan kecemerlangan kokurikulum dan sahsiah diri merangkumi semua aspek jasmani dan rohani.

"HUTeC-2012 merupakan lontaran idea Pegawai Pelajaran Daerah, Shafruddin Ali Husin yang cuba menggerakkan arus perubahan dengan lebih berkesan ke arah mencetuskan tradisi kecemerlangan dalam pendidikan di daerah ini," katanya di sini hari ini.

Katanya, projek itu turut berlandaskan 26 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) merangkumi pembentukan sahsiah para guru dan pelajar, kecemerlangan dalam bidang koakademik, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) melalui Bai'ah sekolah menengah dan rendah di samping program Literasi dan Numerasi (LINUS).

Selain itu katanya, ia juga melibatkan penggunaan ICT secara menyeluruh, penghayatan dalam bidang keagamaan, penyelenggaraan projek pembangunan secara pintar dan peningkatan profesionalisme warga pendidik.

"Harapan itu tidak mustahil dicapai sekiranya mendapat sokongan seluruh warga pendidik dan pelajar bersama penyertaan menyeluruh pihak lain termasuk ibu bapa, agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan, wakil rakyat, pemimpin masyarakat dan orang perseorangan," ujarnya.

Katanya, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd. Nor Othman akan menyempurnakan pelancaran projek selain turut memberikan peruntukan khas bagi menguruskan HUTeC-2012 dengan harapan ia menjadi nadi kebangkitan Hulu Terengganu dalam pelbagai bidang.

Projek ini turut mendapat sokongan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) yang menaja 10,000 naskah akhbar Utusan Malaysia selama setahun kepada sekolah menengah terpilih di daerah ini bagi memanfaatkan sisipan Akhbar Dalam Pendidikan (ADaP).

Sumber : Utusan Malaysia Online,24 Mac 2012


2 ulasan:

shafruddin said...

Unit rendah sentiasa menjadi pendengar yang baik, sentiasa terbuka dalam berbincang dan selangkah di hadapan unit lain di jpnt, syabas dan tahniah dan terima kasih atas sokongan dan kerjasama

USR BLOGGER TEAM said...

Terima kasih tuan, kami akan lakukan yang terdaya untuk membantu para guru dan menjulang pendidikan Terengganu yang terbilang bersama barisan pimpinan pendidikan hebat seperti tuan. Insyaalah.

Post a Comment