Thursday, March 8, 2012

SBPA Batal, SSM Yang Ditambah Baik Kembali

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.

Dalam pengumuman beliau pada satu perhimpunan khas dengan penjawat awam di sini, Najib turut menyatakan persetujuan kerajaan supaya Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250, dan bagi kawasan C, dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150.

Selain itu kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.

Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut kemampuan kerajaan.

Katanya struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Najib berkata kerajaan juga bersetuju supaya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP), dikekal pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.

Bagi guru-guru pula, menurutnya, kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumum dalam Bajet 2012.

"Saya harap keputusan ini dapat meredakan ketidakpuasan hati penjawat awam pelbagai peringkat. Bagi isu-isu lain yang berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan, perkara ini akan dikaji oleh suruhanjaya yang diumumkan tadi," katanya.

Najib berkata bagi menjayakan segala perubahan dalam perjalanan menuju matlamat untuk transformasi negara, peranan yang penting terletak di bahu penjawat awam keseluruhannya.

Beliau berkata SBPA yang diperkenalkan awal tahun ini mengundang keresahan, rasa terkilan dan perasaan tidak puas hati penjawat awam, dan oleh kerana kerajaan semasa adalah kerajaan yang prihatin serta mengenang jasa dan budi, ia mendengar keluh kesah rakyat.

"Kita bukan seperti puak-puak yang belum berjaya membentuk kerajaan sudah mahu membuang kakitangan awam," kata Perdana Menteri sambil menjelaskan bahawa ekoran rasa tidak puas hati itu, kerajaan pada 12 Jan lepas memutuskan supaya SBPA dikaji semula.

Sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam kemudiannya ditubuhkan dan diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti semua aduan serta maklumat balas yang dikemukakan. Ia diberi tanggungjawab mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan.

Pasukan petugas itu menerima 1,087 aduan serta maklumat balas di samping beberapa memorandum serta cadangan daripada 23 kesatuan.

Najib berkata kerajaan amat mengharapkan kefahaman dan kerjasama penjawat awam untuk sama-sama menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu, dan walaupun kerajaan berjaya membawa negara keluar daripada gelora ekonomi global ini, usaha perlu digandakan bagi memastikan negara terus bebas daripada belenggu gelora ini di tahun-tahun mendatang.

Katanya dalam membuat keputusan, kerajaan perlu memikir langkah terbaik, yang semasa ia mendahulukan kepentingan rakyat, pada masa yang sama ia tidak mengetepikan faktor-faktor lain, terutama daripada segi kelestarian kestabilan ekonomi negara, atau dalam erti kata lain keupayaan kewangan kerajaan mesti diambil kira.

"Ingatlah bahawa apa yang kita lakukan hari ini tentu akan mempunyai kesan jangka panjangnya. Kerajaan tidak rela Malaysia menjadi sebuah tragedi kewangan seperti Greece atau negara-negara lain," katanya.

Najib berkata untuk menjamin ekonomi negara tidak terkesan oleh senario ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan perlu meneruskan usaha mengurangkan defisit fiskal negara.

Beliau berkata pada 2010 defisit negara mencecah 5.6 peratus, manakala tahun lepas ia berjaya dikurangkan kepada lima peratus dan tahun ini ia diharapkan dapat dikurangkan lagi ke tahap 4.7 peratus.

Semakan gaji yang terakhir dilakukan pada 2007, yang menyaksikan penjawat awam menikmati kenaikan gaji antara 7.5 dan 35 peratus.

-- BERNAMA


1 comment:

  1. Dengan penghapusan SBPA kita berharap SPP Bil 15 Tahun 2011 berkaitan kemajuan PA dibawah SBPA juga dilenyapkan. Maka pelantikan DGA41 bagi gred asas PPPS bagi PPLD yang dapat ijazah juga dikembalikan kepada SPP seperti dulu bukan kepada LNP. Hidup PM !!!

    ReplyDelete