Wednesday, March 21, 2012

SPM 2011 - Terengganu kekal momentum cemerlang

KUALA TERENGGANU: Terengganu terus mengekalkan momentum keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cemerlang selama empat tahun berturut-turut, kata Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd Zin.

Beliau berkata, Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2011 negeri itu meningkat kepada 4.92 peratus berbanding 5.03 peratus pada 2010.

"Pencapaian itu mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) 5.04 peratus dan rekod pencapaian ini ADALAH yang terbaik dalam tempoh empat tahun seperti juga rekod pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011.

"Saya percaya peningkatan GPN ini antaranya disebabkan penumpuan calon terhadap mata pelajaran yang diambil setelah dasar menghadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran dan penambahan dua mata pelajaran tambahan dalam peperiksaan itu," katanya ketika mengumumkan keputusan SPM negeri di sini hari ini.

Hashim berkata, pencapaian calon SPM tahun lalu pada umumnya meningkat dari segi kualiti dan kuantiti apabila seramai 408 calon sekolah Kementerian Pelajaran memperoleh gred cemerlang iaitu A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Di KUALA LUMPUR seramai 41 calon mendapat A+ bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 25 calon pada 2010, dan dua daripada 55 calon istimewa mendapat keputusan cemerlang dengan masing-masing mendapat 4A+, 2A dan 3A- (calon rabun), dan 3A+, 4A, 2A- (calon kecacatan lain).

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Datuk Khairil Awang, berkata sebanyak 1,002 calon tahun lalu memperoleh gred cemerlang (A+,A, A-) berbanding 792 calon pada 2010.

"Ini adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun. Pencapaian calon SPM bagi Wilayah Persekutuan meningkat berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) iaitu 4.64 berbanding 4.71 pada tahun 2010 dan mengatasi GPN Nasional.

Di PULAU PINANG, seramai 57 calon mendapat gred terbaik A+ bagi semua mata pelajaran berbanding 25 pelajar pada tahun 2010, kata Pengarah Pelajaran negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin.

Seorang murid berkeperluan khas dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong yang mengalami masalah autisme, George Lee Kean Yan, berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh 2A, 4B+ dan 3B.

Beliau berkata, seramai 850 calon tahun lalu berjaya memperoleh gred cemerlang (A dan A-) berbanding 819 pada 2010.

"Keseluruhan pencapaian calon pada 2011 amat membanggakan dan ia melebihi pencapaian tahun sebelumnya. Pencapaian meningkat dari segi Gred Purata Negeri serta peratusan mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil," katanya.

Seramai 18,914 calon dari 21,383 calon yang hadir menduduki peperiksaan SPM 2011 layak mendapat sijil.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 755 calon di negeri itu cemerlang apabila memperoleh A+, A, A-, berbanding 620 orang pada tahun 2010, dengan 40 pelajar sekolah kerajaan mendapat pangkat A+ dalam semua pelajaran yang diambil.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Razak, berkata berdasarkan GPN, Negeri Sembilan menduduki tempat keempat di peringkat kebangsaan.

Di IPOH, seramai 1,064 calon negeri ini memperoleh gred cemerlang dan daripada jumlah itu 42 pelajar mendapat gred cemerlang tertinggi.

Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh muncul sekolah terbaik negeri apabila mencatat kelulusan 100 peratus dengan enam pelajarnya mendapat keputusan 9A+.

Pemangku Pengarah Pelajaran negeri, Mohd Idrus Ramli, berkata sebanyak 37 sekolah di negeri ini mencatat kelulusan 100 peratus.

Di KOTA BAHARU, seramai 18 calon dari sembilan sekolah memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil berbanding enam pelajar pada 2010, manakala 358 pelajar mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diduduki, meningkat 80 calon berbanding 278 orang pada tahun 2010.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang, berkata seramai 36,315 calon menduduki SPM di negeri ini tahun lalu.

Di IPOH, seramai 1,064 calon negeri ini memperoleh gred cemerlang dan daripada jumlah itu 42 pelajar mendapat gred cemerlang tertinggi.

Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh muncul sekolah terbaik negeri apabila mencatat kelulusan 100 peratus dengan enam pelajarnya mendapat keputusan 9A+.

Pemangku Pengarah Pelajaran negeri, Mohd Idrus Ramli, berkata sebanyak 37 sekolah di negeri ini mencatat kelulusan 100 peratus.

- BERNAMA

Lain-lain berita tentang SPM 2011 Terengganu .KLIK
Analisa Keputusan Penuh SPM 2011Terengganu KLIK

0 ulasan:

Post a Comment