Pengurusan sekolah yang baik dan cekap seringkali dikaitkan dengan tahap "kepedulian" atau "kecaknaan" pengurusan sekolahnya. Pengurus sekolah yang mempunyai digri kepeduliaan atau kecaknaan yang tinggi mampu menyerlahkan auranya untuk diikuti dan dihayati oleh ahli-ahli organisasi yang dipimpinnya. Begitulah juga jika pengurusan sekolah jenis "lepas tangan" dan "sambil lewa" maka ianya juga menjadikan ahli organisasinya "lepas tangan" dan "sambil lewa". Dalam bahasa lain banyak tugas-tugas pengurusan yang penting dan wajib dikonsultankan kepada anak-anak buah hingga menjadi "kucar-bimba" sekali.
Pemerhatian saya dalam beberapa urusan berkaitan pengurusan melibatkan unit kami beberapa minggu ini membuktikan fenomena tersebut. Beberapa urusan penting berkenaan ialah berkaitan dengan e-Gtukar,Urusan Penghakikian DG32 (KUP) ke DGA32 hakiki dan Permohonan dari guru dari aliran perdana ke Pendidikan Khas Integrasi. Walaupun hanya segelintir tetapi ianya cukup menggambarkan dakwaan-dakwaan para guru sebelum ini bahawa ada Guru Besar atau Guru Penolong Kanan yang tidak layak menduduki jawatan tersebut kerana "performance" sangat mendukacitakan. Barangkali apa yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan Tahun 2012 mengenai Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang penilaian pegawai awam berasaskan prestasi dan yang tidak perform boleh ditamatkan maka pengurusan sekolah yang seperti ini mungkin boleh dimasukkan dalam senarai menunggu.
Kadang-kadang kita memandang remeh kepada bilangan yang kecil serta melontar helah bela diri "biasalah dalam ramai-ramai ada sorang dua". Pemikiran ini adalah merbahaya seolah-olah kita membenarkan atau memberi lesen serta mengiktiraf kepada segelintir ini mencemarkan nama baik insitusi pengurusan sekolah secara berterusan. Apabila ketidakcekapan dan kemungkaran dianggap perkara biasa ianya adalah lambang keruntuhan tamaddun bangsa sebagaimana kita seakan merestui muda-mudi berdua-duaan tanpa nikah ke hulu ke hilir sebagai satu kebiasaan.
Dalam isu e-Gtukar pada musim lepas beberapa sekolah telah dikenakan surat tunjuk sebab dan saya menulis dalam blog ini dengan tajuk "Kerja Gila Atau Gila Kerja" sebagai peringatan bahkan kerana itu ada segelintir pengurus sekolah marahkan saya kerana tulisan tersebut. Namun dalam melaksana e-Gtukar tragedi yang sama berulang. Telefon tidak berhenti berbunyi samaada talian pejabat atau telefon bimbit. Pegawai meja e-Gtukar bagai kucing jatuh anak hendak menyelesaikan masalah "data guru" tidak up date dan tersangkut dengan talian internet yang nazak dan tenat. Walhal surat dan makluman telah diberi agar sebelum pertukaran dibuka "data" guru perlu dikemaskinikan tetapi ada segelintir yang tahap "kepeduliaan atau kecaknaannya" berada di bawah paras beku tidak berbuat apa-apa. Apabila ditanya guru berkaitan kenapa data tidak up date, mereka kata Guru Besar tidak beritahu apa-apa. Ke mana hilang surat peringatan itu ?
Begitu juga dalam Permohonan Penghakikian DGA32(KUP) Time Base ke DGA32 hakiki dalam surat siaran jelas permohonan dari sekolah hendaklah dihantar ke PPD masing-masing iaitu senarai sepadu,borang dan dokumen permohonan. Namun ada pengurus sekolah menghantar dokumen berkaitan ke unit kami dan satu tugas baru pula kami perolehi mengirim kepada PPD yang berkaitan. Selain itu permohonan guru aliran perdana ke Pendidikanm Khas Integrasi atau borang permohonan pertukaran guru cemerlang datang secara "bogel" tanpa sebarang surat iringan daripada Guru Besar sekolah walhal urusan berkaitan adalah urusan rasmi. Kita percaya jika kita ada harga diri sebagai orang paling berkuasa di sekolah tentunya kita merasa aib jika sebarang urusan rasmi tanpa "cop mohor" kita.
Kita berharap semua pengurus sekolah sama ada Guru Besar atau Guru Penolong Kanan selepas ini mesti mempunyai tahap kepedulian atau kecaknaan yang tinggi dalam urusan-urusan pengurusan melalui konsep TASK (target,attitut,skill,knowlage) bukan kepeduliaan atau kecaknaan kepada perkara yang bukan-bukan seperti beri makan arnab,beli makanan ikan atau burung dan sebagainya yang boleh dikonsultankan kepada tukang kebun.
Kita sangat tidak senang jika ada komen dan aduan tentang salahlaku atau stail pengurusan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan kerana bila terdapat isu berkenaan unit kami akan difokus kerana kami yang membuat tawaran pelantikan dan bertanggungjawab dalam urusan semua perjawatan sekolah rendah.Justru itu kita berharap di kalangan rakan pengurusan dapat saling membantu melalui rangkaian Majlis Guru Besar atau secara personel rakan-rakan yang rendah tahap "kepeduliaan atau kecaknaan". Unit Rendah akan mempertingkatkan tahap pemantauan terhadap pengurusan sekolah yang seumpama ini supaya kita dapat melahirkan pengurusan sekolah yang tinggi integriti dan tahap kepedulian atau kecaknaanya maksima secara total.
No comments:
Post a Comment