SETELAH sebulan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berlalu dan para calon telah mencongak keputusan yang bakal diterima, negara dikejutkan satu dengan kejadian boleh dianggap memalukan dalam pendidikan nasional.
Sungguh mengejutkan bilamana kita sedang melakukan transformasi dalam pendidikan negara namun masih terdapat segelintir golongan yang menidakkan hak anak-anak kecil ini untuk memperoleh pendidikan yang sempurna.
Alasan yang diberikan golongan ini adalah pelajar-pelajar tersebut tidak memiliki tahap kepandaian yang baik dan kesan daripada pelajar ini menduduki UPSR, ia akan menjejaskan prestasi sekolah.
Inilah akibatnya apabila terlalu mengejar penghormatan dan kedudukan sehingga tergamak menghalang anak-anak ini daripada menduduki UPSR.
Sungguh memalukan apabila golongan yang diamanahkan menjadi pendidik sanggup bertindak sedemikian terhadap anak bangsa sendiri. Pelajar-pelajar ini mungkin tidak sepandai pelajar-pelajar yang ditatang oleh pihak sekolah. Namun harus diingat bahawa mereka juga rakyat Malaysia yang telah diperakukan hak mereka dalam Perlembagaan.
Adakah golongan yang bertindak sedemikian ini tidak memikirkan implikasi yang bakal diterima oleh pelajar-pelajar ini akibat kegagalan mereka dihalang menduduki UPSR?
Pelajar-pelajar ini mungkin berterusan mengalami kesulitan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sekolah menengah. Adakah kita mahu melihat pelajar-pelajar ini terus tenggelam dalam arus pemodenan negara?
Adakah golongan yang menidakkan hak pelajar-pelajar ini sanggup menggalas tanggungjawab atas kegagalan mereka?
Tiada gunanya jika prestasi sekolah menjadi kebanggaan tetapi pada masa yang sama sesuatu terpaksa menjadi korban akibat desakan mengejar nama dan populariti.
Seperkara lagi yang harus diingat ialah, kuantiti 'A' peringkat UPSR bukan jaminan yang pelajar tersebut akan terus berjaya di masa hadapan. Tidak mustahil pula pelajar-pelajar yang dahulunya mungkin lemah di zaman sekolah, mampu muncul menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Oleh yang demikian saya mengharapkan kerajaan bertindak secara bijaksana dalam menangani isu. Jika ada sesetengah pihak yang beranggapan ini adalah isu terpencil, mereka silap kerana isu terpencil inilah yang bakal merosakkan program transformasi dalam pendidikan negara.
Jaminan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa pelajar-pelajar ini akan diberikan peluang untuk menduduki semula UPSR adalah langkah yang amat wajar.
Kesimpulannya, setiap anak yang lahir di bumi bertuah ini berhak mendapat peluang pendidikan yang sempurna. Namun akibat terlalu mengejar penghormatan dan kedudukan, segelintir pelajar dinafikan hak mereka.
UPM, Serdang, Selangor.
No comments:
Post a Comment