MELAKA 4 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pelajaran dan agensi di bawahnya agar proaktif mengenal pasti mana-mana sekolah cemerlang di seluruh negara.
Kata Timbalan Perdana Menteri itu, langkah tersebut bertujuan bagi membolehkan bantuan disalurkan supaya sekolah terlibat mampu menyediakan kemudahan pendidikan lebih berkualiti.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sekolah yang dipilih itu mestilah cemerlang namun masih belum layak diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) disebabkan terdapat kelemahan dalam bidang-bidang tertentu.
''Di bawah usaha ini, kita akan ambil langkah proaktif untuk tentukan kekurangan bidang yang dihadapi sekolah terlibat, umpamanya tiada konsep antarabangsa atau tiada jalinan kerjasama antarabangsa sekolah itu dengan sekolah luar negara lain atau tiada pertukaran pelajar.
''Jika sekolah terlibat mengalami kekurangan dalam bidang seperti itu, kita akan usahakan untuk bantu sekolah tersebut meningkatkan kualiti kemudahan pendidikan sekolah mereka'' katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Warga Pendidik yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di sini hari ini.
Lebih 2,000 warga pendidik terdiri daripada guru besar, pengetua dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dari seluruh negeri menghadiri majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh.
Kata Timbalan Perdana Menteri, usaha itu diharap mendorong warga pendidik khususnya guru besar dan pengetua untuk menentukan hala baru sekolah masing-masing sekali gus menepati keperluan kualiti pendidikan negara.
''Saya sebut begini agar kita dapat mencabar keupayaan kita, setidak-tidaknya pengetua dan pimpinan sekolah ada sasaran baru untuk tentukan hala tuju sekolah yang kita pimpin sekarang ini sehingga ia boleh mencapai tahap pendidikan bertaraf dunia," katanya.
Selain itu, mengenai rancangan kementerian menjadikan mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya, perkara itu hanya akan dilaksanakan setelah keperluan tenaga guru mata pelajaran itu sudah mencukupi dan cukup terlatih.
''Mungkin tidak berapa lama lagi saya akan umumkan mengenai perkara ini kerana sekarang kementerian tidak cukup lagi untuk sampai ke tahap itu, nanti bila kita sudah ada guru bahasa Inggeris yang mencukupi dan sudah menguji dasar itu, barulah boleh kita laksanakan ia dengan baik," katanya.
Berhubung pendidikan pra sekolah, beliau meminta kerjasama pihak swasta agar tampil membantu kerajaan menyediakan kemudahan sekolah di peringkat itu dengan kerajaan bersedia menampung pembiayaan modal sejumlah RM10,000 kepada mereka yang berminat.
Sumber : Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment