Friday, July 15, 2011

CUEPACS mohon kerajaan pertimbang bonus dua bulan

KUANTAN 15 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada seluruh penjawat awam tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, CUEPACS telah memohon secara rasmi mengenai perkara itu dan mengharapkan berita baik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet Oktober ini.

"Kami telah menghantar surat memohon dua bulan bonus bukan setakat sehingga gred 54 sahaja tetapi keseluruhan penjawat awam, namun ia tertakluk kepada kemampuan kerajaan.

"Penjawat awam harapkan sesuatu tahun ini kerana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ada yang mendapat sehingga lapan bulan bonus sedangkan kita penjawat awam yang betul-betul di bawah kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan hanya dapat bantuan khas RM500,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan kali ke-24 ANULAE cawangan Majlis Perbandaran Kuantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemberian bonus yang kali terakhir diberi pada dua tahun lepas perlu dipertimbangkan berdasarkan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini. – Bernama

No comments:

Post a Comment