Tugas besar para guru dan ibubapa yang maha sukar dan maha penting ialah untuk membina "kehendak" murid-murid ini agar secara sedar bersengaja serta mahu kendiri untuk belajar dan berusaha mencapai yang terbaik. Kadang-kadang mereka hanya ada kemahuan tetapi tanpa daya usaha. Orang yang hanya mahu tetapi tiada usaha apa-apa hanyalah orang berada di alam mimpi. Kita mahu mereka sedar,ada kemahuan dan kehendak meluap-luap serta berusaha mencapainya. Persoalan, bagaimana caranya untuk menyemarakkan "kehendak" ini ?
Proses mempengaruhi manusia adalah "seni". Bermakna guru dan ibubapa yang hebat sebagai pemimpin mesti mempunyai kemahiran yang cukup tinggi kerana sebagai pemimpin menjadi tugas mutlak untuk "berkeupayaan mempengaruhi". Kadang-kadang sahsiah dan karektor kita juga sudah cukup menjadi kuasa mempengaruhi anak-anak. Apalagi ditambah dengan komunikasi yang berkesan,kecaknaan yang tinggi dan motivasi yang berterusan dengan halatuju jelas ke hadapan pasti memudahkan proses mempengaruhi mereka cara yang lebih efektif. Kadang-kadang anak-anak perlu diberi satu proses pengalamian sama ada pengalamian sebenar ataupun simulasi agar mereka merasai dan beroleh pengalaman itu.
Usaha strategik sekolah "berhijrah" dari kebiasaan kem bertempat di sekolah ke hotel adalah satu proses pengalamian untuk para pelajar beroleh pengalaman yang mungkin dengan suasana dan input baru mampu menerbitkan kemahuan/kehendak kendiri untuk berusaha gigih secara konsisten selepas keluar dari kem ini.
Tahniah kepada para guru kerana menunjukkan komitmen dan iltizam untuk bersama pelajar. Ini juga mungkin menjadi antara pintu keinsafan murid menyemarakkan kemahuan untuk belajar dan berjaya.
Dalam dunia ini tidak ada manusia yang luar biasa.Yang ada hanyalah manusia-manusia biasa. Yang menjadi manusia ini dianggap luarbiasa ialah manusia-manusia yang biasa ini berfikir,berusaha dan menghayati perkara yang biasa mereka buat selama ini secara bersungguh-sungguh dan luar dari kebiasaan yang pernah mereka buat. Lantas daripada perubahan itu melahirkan hasil-hasil luarbiasa yang tidak pernah dicapai dan diimpikannya sebelum ini.Keadaan ini menyebabkan mereka diberi gelaran "hebat dan luarbiasa". Peluang untuk menjadi hebat dan luarbiasa ada pada setiap orang murid termasuk calon-calon UPSR,SK Bukit Tunggal.
Tahniah anak-anak,selamat menempuh UPSR.Semoga menjadi yang TERBILANG di kalangan yang TERBILANG.
No comments:
Post a Comment