Friday, September 30, 2011

Renungan Jumaat : Menantu yang menyejukkan pandangan mertua

Selesainya akad nikah, bermakna kita kini telah bergelar isteri dan anak menantu. Sebagai seorang perempuan, kita selalunya diselubungi perasaan bimbang memikirkan cara untuk menyesuaikan diri dengan ibubapa mertua, terutama ibu kepada suami kita. Dari itu, persediaan diri harus dimulakan sebelum berumahtangga iaitu sebaik-baiknya sewaktu petunangan agar dapat menjadi menantu kesayangan. Berikut adalah beberapa tips untuk menjadi anak menantu yang disayangi.

Berkenalan dengan keluarga mertua.
Apabila datang berkunjung sewaktu pertunangan, anda boleh mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga dengan bertanya khabar dan sebagainya. Berkongsi minat dengan ibu mertua anda adalah salah satu cara mengenalinya dengan lebih rapat.

Mengenali sikap sebenar mertua anda.
Tanya kepada pasangan anda kegemaraan dan tidak kesukaan bakal mertua anda. Ini dapat membantu anda menyesuaikan diri dengan cara kehidupan mereka apabila anda menjadi ahli keluarga mereka nanti.

Menjaga keperibadian
Berhati-hatilah ketika berbual di hadapan mertua. Harus diingati juga agar jangan sesekali meninggikan suara terhadap suami anda di hadapan mereka. Ini kerana ia boleh membuat mertua merasa tersinggung dengan sikap anda yang ‘berterus terang.' Berterimaskasihlah di atas nasihat yang diberi kerana keprihatinan mereka walaupun anda tidak bersetuju. Bersikap jujur jika perlu dengan diplomatik agar tidak menguris perasaan mereka.

Berikan layanan yang mesra.
Jika mertua bertandang ke rumah anda, sambutlah kedatangan mereka dengan mesra. Cuba ‘sembunyikan' keletihan anda atau kesibukan anda. Tampilkah wajah yang ceria agar mereka merasa selesa bertamu di rumah anda.

Saling bantu membantu.
Bila bertandang ke rumah mertua, anda boleh menolong apa yang patut di dapur terutama sekali.  Jika majlis kenduri diadakan, pastikan anda membantu menguruskan dan mengemaskan apa yang perlu. Bila semuanya telah ‘beres' , barulah anda meminta diri untuk pulang!

Memupuk kemesraan
Ketika berkunjung ke rumah mertua bawalah buah tangan sepeti kuih muih. Dan apabila tiba hari penting seperti hari lahir dan ulang tahun perkahwinan, anda boleh memberi mereka cenderamata bagi mengenang jasa mereka membesarkan suami anda. Pasti mertua anda akan gembira dengan pemberian anda.

Menyayangi mertua seperti ibubapa anda
Hubungan anda akan lebih mesra jika anda menganggap mertua sebagai ibubapa anda. Dari itu, anda tidak mudah merasa kecil hati atau bejauh hati jika ada perkara yang tidak ‘kena' pada pandangan diri anda. Jestru, anda akan lebih bersifat toleransi untuk kebaikan semua pihak - "Buang yang keruh, ambil yang jernih."

Pendekata, anak menantu yang arif sudah pasti dapat menawan hati mertua dengan keperibadiannya yang luhur dan ikhlas.



Sumber : Kawin-kawin.com

No comments:

Post a Comment