Tuesday, September 13, 2011

Program Menitis Ilmu SK Pasir Raja

HULU DUNGUN,12 September – SK Pasir Raja telah mengadakan Majlis Menitiskan Ilmu UPSR 2011 di Balai Raya Kg. Pasir Raja. Majlis itu dihadiri oleh semua murid Tahun 6 bersama ibu bapa masing-masing, Guru Besar Encik Hashim Ali, Guru-guru Penolong Kanan dan guru-guru yang megajar Tahun 6. Turut hadir Yang Dipertua PIBG SK Pasir Raja, Tuan Haji Ramli Yunus dan Penolong Pengarah Data dan ABM Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Mat Lin bin Mohd Nor yang merupakan pegawai Perhubungan Sekolah Pasir Raja. 

Antara aturcara majlis ialah bacaan perutusan daripada Pengarah Pelajaran Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Negeri dan Menteri Besar Terengganu. Majlis juga mendengar ucapan Tuan Guru Besar, YDP PIBG dan Pen. Pengarah Data dan ABM. Antara intipati ucapan-ucapan yang disampaikan ialah harapan daripada semua pihak - Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Pelajaran Negeri, sekolah dan ibu bapa agar semua calon yang akan menghadapi peperiksaan UPR akan memperoleh kejayaan cemerlang agar dapat memartabatkan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu dengan Melestarikan Pendidikan Terbilang Negeri. 

Murid-murid juga diingatkan bahawa insan yang sebenar-benarnya berjaya ialah insan yang tidak menyusahkan orang lain malahan dia mampu untuk membantu orang lain samada bantuan tenaga atau kewangan. Seterusnya semua guru yang mengajar murid-murid Tahun 6 tersebut telah “menitiskan ilmu” mereka dengan menghalalkan semua ilmu yang dicurahkan dan seterusnya memohon maaf daripada murid-murid dan ibu bapa atas apa saja kesalahan dan kesilapan yang dilakukan. Majlis diakhiri dengan alunan Salawat dan bersalam-salaman. 


No comments:

Post a Comment