Saturday, November 16, 2013

Sembang Sabtu : Derita dan pengorbanan di sebalik kejayaan



Kuala Lumpur: Mereka melangkah masuk ke sekolah masing-masing semalam dengan penuh debaran, tetapi beberapa ketika kemudian, beredar sambil tersenyum lebar.

Wajah masing-masing girang ketika melihat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013, namun di sebalik kejayaan yang dilakar, tersembunyi pelbagai kisah yang boleh dijadikan teladan.

Di Kota Bharu, Amir Zuhaidi Razali, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh yang menghidap penyakit saraf akibat dilanggar lari ketika berusia enam tahun, tidak menjadikan kekurangan fizikal dan kewangan penghalang untuknya mendapat 5A.

“Saya sangat bangga dan menghadiahkan kejayaan ini buat ayah yang sanggup berulang-alik menghantar saya ke sekolah,” kata anak tukang rumah ini sambil menambah, walaupun sukar menulis dan tidak dapat aktif seperti rakan lain, dia tetap menguatkan semangat apatah lagi hanya mampu memperoleh 3A 2B dalam percubaan lalu.

Di Shah Alam, kehidupan serba kekurangan dalam komuniti Orang Asli tidak menghalang Anisa Yahya dari SK Asli Bukit Cheding, muncul anak Orang Asli tunggal di Selangor mendapat 5A.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu tidak menyangka mampu cemerlang kerana jarang mengulangkaji di rumah.
“Untuk berjaya, saya mengamalkan sikap rajin bertanya apa yang tidak difahami, sentiasa memberi sepenuh perhatian apa yang diajar dalam kelas dan belajar secara berkumpulan,” katanya bercita-cita menjadi pereka fesyen.

Di Port Dickson, Choi Kee Fong, 12, mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi calon tunggal UPSR di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Siliau dan berjaya pula mendapat 7A, kali pertama dalam sejarah sekolah berkenaan yang ketika ini hanya mempunyai 11 murid dari Tahun Satu hingga Enam.

Anak kedua daripada empat beradik kepada pasangan pekebun sayur di Lukut ini, berkata banyak keistimewaan menjadi calon tunggal kerana dia yang diajar tujuh guru, mendapat tumpuan eksklusif dalam kelas walaupun tiada teman sekelas untuk belajar bersama.

Di Alor Setar, beban penyakit buah pinggang sejak usia dua tahun yang memaksa Muhammad Zaim Mohd Zaidi, 12, sering bercuti sakit, langsung tidak menghalangnya memperoleh 5A, sekali gus muncul antara 43 pelajar cemerlang di Sekolah Rendah Islam Darul Aman (SRIDA) di sini.

“Saya sering ponteng kerana sakit, terpaksa mengambil inisiatif sendiri mengulangkaji pelajaran sehingga lewat malam ketika di rumah. Saya bersyukur kerana rakan sekelas serta guru banyak membantu memberi tunjuk ajar.

Saya sebenarnya tidak mahu memberi alasan sakit dan gagal dalam UPSR,” kata anak sulung daripada enam beradik ini.

Demikianlah antara catatan wartawan akhbar yang membongkar penderitaan dan pengorbanan di sebalik kejayaan murid-murid yang kurang bernasib baik ini. Sewajarnya ibubapa dan anak-anak sempurna yang kurang berjaya mengambil pengiktibaran di atas kejayaan mereka. Sebagai manusia yang sihat dan sempurna kita sepatutnya rasa malu dan tercabar dengan kejayaan mereka. 

Kalau mereka yang bermasalah kesihatan boleh berjaya mengapa kita yang Allah beri kesihatan yang baik dan fizikal yang sempurna tidak boleh berjaya.Di mana silap kita ? Adakah pancaindera yang Allah kurniakan kita tidak manafaat secara maksima ?Ingat pesan orang tua, yang bulat tidak datang menggolek,yang leper tidak datang melayang, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat saguynya. Kejayaan boleh menjadi milik siapa sahaja yang rajin,bersemangat,sabar,cekal,gigih dan berusaha keras. 

Agenda memulakan kejayaan bagi anak-anak kita bukannya bermula tahun depan. Ia sepatutnya bermula sekarang. Anak-anak kita di Tahun 3, 4, 5 yang bakal naik Tahun 4,5,6 tahun depan sewajarnya memanafaatkan cuti panjang sekarang memulakan visi dan misi mereka. Kita sebagai ibubapa perlu menyokong dan mengawalselia anak-anak semasa cuti ini dengan menggunakan masa seoptima mungkin untuk pembelajaran. Jadikan kisah kejayaan anak-anak UPSR tahun ini sebagai pendorong mereka. 

Sementara itu anak-anak yang kurang berjaya UPSR 2013 mempunyai visi dan misi besar untuk menebusnya pada PMR dan SPM tahun-tahun mendatang. Buktikan bahawa anda sememangnya hebat. Jangan sesekali mengulangi kesilapan yang sama seperti UPSR tahun ini. Nabi SAW mengingatkan kita bahawa " Orang yang paling bodoh antara kamu ialah mereka mengulangi kesilapan yang sama lebih dari sekali".

Belajar merupakan pelaburan dan pengorbanan jangka panjang. Kita terpaksa berkorban masa seronok sekurang-kurangnya 16 tahun  dari sekolah rendah hingga berjaya keluar dari universiti. Kita terpaksa bersekang mata, menghadiri pelbagai aktiviti, buat assigment, menjawab soalan peperiksaan dan sebagainya. Namun pengorbanan itu amat berbaloi jika berjaya dan memperolehi kerjaya yang baik. 

Kita dan keluarga kita akan senang kemudiannya hingga selepas kita mati. Bayangkan jika kita berumur 24 tahun mula bekerja tahun-tahun selepas itu adalah masa seronok untuk hidup senang dan bermaruah. Namun jika masa belajar 16 tahun kita gunakan untuk seronok maka kita bersedialah memikul jerih-perih kehidupan selepas itu hingga kita mati.

Masa lalu sudah menjadi sejarah. Masa sekarang dan masa akan datang kita cipta sejarah diri kita. Rebut peluang dan ruang yang ada. Jadikan masa cuti permulaan gerakan membangunkan kecemerlangan diri. Insyaallah. Selamat bercuti....

1 comment:

  1. Sekalung tahniah buat wira-wira dan wirawati-wirawati negara. Dalam kesamaran dan kepahitan pasti muncul jua kemanisan dan keindahannya...... Teruskan menempa kejaaan biar pelbagai rintangan datang menghimpit.... Buat anak-anak bangsa calon-calon SPM 2013.... perjuangan anda belum lagi ternokhtah.... Namun, dengan segala berkat usaha saya yakin anda pasti berjaya!!!!!! Sejarah telah membuktikan segala-galanya.....

    ReplyDelete