Saturday, November 2, 2013

Sembang Sabtu : Menunggu perubahan

Barangkali ramai yang sudah tidak sabar-sabar menunggu apakah 81 penambahbaikan dalam perjawatan awam sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2014 yang lalu. Seluruh kakitangan awam sedang menunggu perincian dan impak perubahan terhadap masa depan kerjaya dan skim perkhidmatan mereka. Satu siaran Pekeliling menjelaskan perkara berkaitan dijangka akan dikeluarkan.

Bila kita membicarakan perubahan sama ada perubahan dasar, syarat , skim dan sebagainya ia mungkin mengambil masa bertahun , berbulan, berminggu atau beberapa hari sahaja. Ianya bukan sesuatu yang mustahil dan rigid. Mungkin sesuatu perkara tidak boleh pada minggu lalu tetapi menjadi boleh pada minggu ini dan  begitulah di sebaliknya. Banyak yang kita saksi dan alami perubahan dalam sistem perkhidmatan awam dan juga pendidikan kita. Ini adalah sesuatu yang normal dan dinamik sesuai dengan perubahan masa dan keperluan serta tuntutan kesempurnaan yang semua pihak mahukan.

Kita menjangkakan dalam konteks perkhidmatan pendidikan mungkin pelaksanaan gaji sebaris akan diperkenalkan. Secara mudahnya seseorang pegawai perkhidmatan pendidikan yang kompeten boleh terus bergerak menikmati faedah gaji secara berterusan sepanjang perkhidmatan hingga peringkat tertinggi tanpa sekatan melalui skim yang disepadukan setelah memenuhi keperluan dan syarat tertentu yang ditetapkan. Ini bermakna mereka akan menikamti faedah yang lebih baik.

Selain dari itu janji kerajaan untuk memperkasakan kepimpinan sekolah bakal dilaksanakan. NPQEL bakal menjadi syarat wajib bagi memenuhi syarat pemilihan Guru Besar dan Pengetua selain maknisma lain yang sedang dirancang. Soalnya bila bakal dilaksanakan ? Berasaskan prosuder urusan naik pangkat terdahulu dan muktakhir bagi Guru Besar tarikh akhir iklan ialah pada tahun ini dan senarai kelulusan gunapakai biasanya sahlaku dalam masa setahun iaitu bermula Julai 2013 hingga Jun 2014. Ini bermakna iklan baru jawatan Guru Besar yang mensyaratkan NPQEL sebagai syarat dijangka bakal dikeluarkan kemungkinan Feb atau Mac 2014 dan senarai bersih bakal digunakan pada Julai 2014. Ini hanya jangkaan dan jika kerajaan membuat keputusan bagi menyegerakan juga bukan menjadi masalah.

Sementara itu proses pembugaran kepimpinan melalui Prime telah mula dilaksanakan oleh IAB bagi menyediakan calon-calon kepimpinan sekolah yang lebih berpengetahuan, berwibawa dan berkemahiran. Pelan pengantian lebih awal untuk mengganti pimimpin sekolah yang bersara adalah pendekatan yang baik. Walau bagaimanapun justru prosidur sekarang jawatan Guru Besar misalnya diletak di bawah konsep "tawaran" bukannya "arahan" adakah mereka yang mengikuti Prime ini akan menerima "tawaran" jika ditempatkan di sekolah yang agak jauh apa lagi mereka sudah berada pada gred DGA34 atau menjadi Guru Besar dan sedang belajar untuk pensiswazahan di sekolah kekurangan murid. Jika mereka menolak bermakna program Prime ini akan menjadi sia-sia. Justru kerajaan atau kementerian perlu meneliti atau menilai balik kaedah dan tatacara penawaran agar mereka yang terpilih menyertai Prime adalah seratus peratus menerima jawatan sebagai Guru Besar di sekolah baru.

Selain itu apakah ada perubahan besar mengenai naik pangkat ini terutama mengenai gred hakiki naik pangkat Guru Besar dan GPK. Apakah peluang akan dibuka untuk siswazah DG41 yang semakin ramai di sekolah rendah dan juga kalangan GPK yang telah ada NPQEL dan mempunyai ijazah terutamanya. Atau satu sistem baru yang lebih flexible di mana gred hakiki untuk jawatan pengurus sekolah ini tidak perlu lagi kepada sesuatu gred. Ini adalah kerana jika gred hakiki lama DGA32 atau DGA34 dikekalkan maka GPK yang ada NPQEL dan bergred DG41 tidak dapat memanafaatkan NPQEL tersebut sebagai syarat menjadi orang nombor satu di sekolah rendah.

Sekiranya dilaksanakan gred hakiki Guru Besar dan GPK gred siswazah atau DG41 ke atas bagaimana dengan status dengan Guru Besar dan GPK yang tidak sambung belajar. Adakah mereka dibiarkan sehingga memasuki zon persaraan atau diberi satu gred lain yang setara dan munasabah. Kesatuan Guru telah lama mencadangkan agar DG42 dibuka kerajaan kepada kumpulan ini dan jika ianya berlaku bukan  sahaja ia menjadi penyelesaian terbaik tetapi juga menemukan dimensi baru bahawa dibawah skim siswazah ada gred naik pangkat baru. Harus diingat gred DG41 bukan gred naik pangkat tetapi gred permulaan PPPS.

Pihak kerajaan dan kementerian tentunya telah mendengar dan meneliti pelbagai rungutan dan isu-isu naik pangkat yang dikemukan oleh kaum guru. Tentunya sudah tidak logik dan sesuai guru yang menanggung amanah tanggungjawab melalui jawatan khas yang diujud berada di bawah atau sama taraf dengan naik pangkat secara TBBK dari segi grednya. Begitu juga isu pertembungan tarikh perlantikan hakiki dan TBBK pastinya ada penyelesaian jelas berasaskan perubahan dan keperluan semasa. Mungkin dasar dan peraturan yang tidak relevan perlu disemak semula. Kita merubah dan berubah ke arah yang baik tidak salah dan menepati prinsip asas kecemerlangan.

Kita juga berharap perubahan-perubahan ini memberi impak kepada warga guru untuk merubah dan bersedia mengubah pemikiran, iltizam, semangat dan kesungguhan memartabatkan profesion dan menghargai usaha murni kerajaan untuk menjadi kakitangan kerajaan yang setia dan dedikasi. Apa lagi guru adalah arkitek merekacorak anak bangsa bagi mewarnai nasib bangsa,agama dan negara.Tidak ada maknanya pelbagai perubahan telah dibuat tetapi cara berfikir dan bertindak berada di takuk lama. Kita perlu berhijrah. Kita perlu tranformasi. Keberhasilan murid kita dan pendidikan kita bergantung sejauhmana kita bergerak dan berubah secara menyeluruh...


3 comments:

  1. Semoga segala bentuk perubahan yang dilakukan itu memberikan natijah kebaikan dan keadilan kepada semua pihak.

    ReplyDelete
  2. Gred 41 dan ke atas setakat ini untuk Skim Siswazah. Gred Tertinggi untuk BS ialah 40. Namun apa nasib Guru Besar DG 32 yang masih tak pernah selesai, lepas tu nak lompat terus 42?

    ReplyDelete
  3. Kumpulan yg terlebih dahulu mendapatkan npqh dari IAB sterusny
    a mendapatkan ijazah pengurusan sekolah rendah diIPTA , juga tidak harus dilupakan

    ReplyDelete