Tuesday, November 12, 2013

SK Padang Setengge, Hulu Terengganu mula dibuka Januari depan

HULU TERENGGANU - SK Padang Setengge yang tertangguh beberapa tahun bakal beroperasi mulai sesi persekolahan Januari 2014. Sekolah yang terdiri 12 bilik darjah, makmal, blok pentadbiran dan pelbagai kemudahan gelanggang permainan yang menelan belanja sekitar RM12 juta bakal menerima murid Tahun 1 hingga 5.



Majlis penyerahan sekolah berkenaan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama SK Padang Setengge. En. Zakariah Husin, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu dalam ucapannya merasa amat bersyukur kerana sekolah yang begitu lama tertangguh dapat disiapkan dan akan digunakan untuk pendidikan anak-anak. Beliau berkata pihak KPM dan juga kerajaan negeri sentiasa berusaha merapatkan jurang pencapaian dan kemudahan pendidikan bagi anak-anak negeri ini. Selain itu beliau berharap kontraktor Malaysia perlu menjaga kualiti agar kebolehan warga negara ini dihormati oleh mana-mana pihak dan dunia dan pelaburan besar kerajaan dalam bidang pendidikan memberi pulangan yang lumayan melalui kecemerlangan anak-anak belajar di sekolah yang sempurna dan berkualiti.

Turut hadir dalam majlis bersejarah itu Hj. Safruddin Ali Husain,  Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, pegawai JPN Terengganu dan PPDS Hulu Terengganu serta Perunding Arkitek dan kontraktor .Upacara penyerahan sekolah pagi tadi dilakukan oleh Kontraktor kepada Perunding Arkitek. Perunding Arkitek kepada Pengarah Pendidikan Negeri dan Pengarah Pendidikan Negeri kepada Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu.

Pihak jabatan akan menempatkan Guru Besar dan Guru-Guru Penolong Kanan secepat mungkin agar mereka mampu membuat persediaan awal menerima peralatan, perancangan dan pendaftaran murid den gan tersusun dan sempurna. Mereka yang terpilih ke sekolah ini sama ada sebagai pengurus dan pengajar mempunyai visi dan misi besar meletakkan sekolah ini ke tahap yang hebat dan disegani.

Semoga SK Padang Setengge menjadi salah sebuah mercu tanda kegemilangan daerah Hulu Terengganu.



No comments:

Post a Comment