Saturday, November 30, 2013

Sembang Sabtu : Jangan sesekali sabotaj diri sendiri

Semasa Perhimpunan Jabatan Pendidikan Terengganu Kali 11 minggu lepas saya cukup tertarik dengan satu istilah yang disebut oleh YB Exco Pendidikan Negeri , En. Ghazali Taib dalam ucapan beliau berkaitan prinsip kejayaan iaitu "jangan sesekali sabotaj diri sendiri".

Kita mungkin telah terlalu biasa dengan istilah "sabotaj". Dalam bahasa mudah sabotaj ialah pengkhianatan atau kerosakan yang sengaja dilakukan kepada orang lain atau organisasi  melalui berbagai tindakan lisan atau perbuatan dengan niat untuk menggagal atau menyusahkan. Menifestasi perbuatan itu dapat kita perhatikan berlaku dalam semua bentuk rutin hidup sama ada dalam bidang politik, ekonomi, kehidupan sosial dan sebagainya. Mereka yang melakukan sabotaj sama ada dengan niat diri sendiri ataupun diupah atau disuruh oleh orang lain.

Bagaimanapun kita jarang mendengar rangkaikata "mensabotaj diri sendiri" walaupun bagi sesetengah motivator perkara ini sangat biasa dengan mereka. Secara mudah untuk kita memahaminya sebotaj diri ini dapatlah kita katakan semua pemikiran negatif yang ada dalam jiwa dan minda kita. Suara-suara hati yang negatif sering berguman di dalam jiwa dan pemikiran menjadi laskar yang seringkali meranapkan bukan sahaja impian dan harapan malah menjadi pembunuh kepada potensi diri yang ada.

Intermonolog seperti di bawah seringkali didengari oleh mereka yang lemah dan sediakan diri untuk disabotaj oleh diri mereka sendiri:

" buat apa kerja rajin gaji camtu juga"
" malu aku kalau gagal nanti"
" aku mana ada kebolehan"
"ah payah nak buat benda ni, malas aku"
" kan orang kata aku mengada-ngada pulak"
 "minta maaf tuan, saya tidak pandai"
"kalau salahkan nanti kena marah"
"minta buat apa tak dapatpun"
"ngajar bagus-baguspun bukan orang pandangpun........."

Malah lebih kronik lagi hingga mencapai asertif diri yang sangat rendah. Bakat, kebolehan dan potensi yang Allah anugerahkan disia-siakan. Mereka tidak mempunyai keyakinan kepada diri sendiri. Hidup dalam keraguan dan ketidakpastian dan sentiasa menjauhkan diri apalagi melakukan perubahan dan tranformasi.

Ini tanda-tanda orang gagal. Mereka awal-awal tewas disabotaj oleh diri mereka sendiri. Walhal kalau mereka yakin dan berusaha mereka mampu membuat lonjakan luar biasa. Potensi yang ada tidak dipugar secara maksima. Bahkan mereka tiada inisiatif untuk bebas dari ikatan dan rangkulan sabotaj itu. Manakala mereka yang bebas dari disabotaj oleh diri sendiri sentiasa yakin dan bergerak kehadapan.

Sebagai perbandingan dan seingat saya dahulu Penilaian Darjah Lima daerah Hulu Terengganu pernah mencatat sejarah hebat semasa Dato' Cg Rahim bin Tahir menjadi PPD Hulu Terengganu. Selepas itu pencapaian UPSR Hulu Terengganu agak malap. Namun setelah Tn Haji Safruddin Ali Hussain memegang PPD Hulu Terengganu kita lihat prestasi UPSR Hulu Terengganu sangat hebat biarpun dari sekolah SKM ataupun sekolah kecil. Kedua-dua pemimpin pendidikan Hulu Terengganu ini telah berjaya "membunuh" rasa rendah diri, rasa tidak mampu Guru Besar, guru-guru dan murid Hulu Terengganu untuk menjadi manusia hebat. Perkongsian semangat dan kecaknaan tinggi telah  berjaya melenyapkan pensabotaj diri ini. Hari ini bukan sahaja warga pendidik malah masyarakat Hulu Terengganu merasa bangga menjadi orang Hulu Terengganu.

Kita mengambil contoh daerah Hulu Terengganu bukan bermakna daerah lain tidak bagus tetapi kita selalu dimomokkan bila ada sesuatu yang tidak kena atau terkebelakang ditempelak dengan "dari hulu mana ?"  Serupalah pada tahun 70an kita sebagai rakyat Terengganu agak malu dan segan untuk mengakui kita orang Terengganu kerana kemunduran dan kemiskinan. Namun berkat dan dayausaha kita membunuh pensabotaj yang bermaharajalela dalam diri hari ini kita merasa bangga mengakui kita adalah rakyat Terengganu justru kita juga hebat dan tersohor dalam pelbagai bidang sperti pendidikan.

Begitulah juga kalau kita ingin melihat sekolah yang kita pimpin maju dan berjaya kita mestilah berupaya membunuh pensabotaj yang ada dalam diri kita. Kita mesti yakin dengan kemampuan dan kewibawaan kita. Kita mesti mempunyai visi dan misi yang jelas. Ada keberanian untuk membuat tindakan. Kita mesti mengamalkan sikap positif yang mampu menyakinkan diri dan ahli organisasi yang kita pimpin. Kita mesti mempunyai kemahiran dan kecekapan mengurus yang tinggi. Kita mesti cekap dan tepat membuat tindakan dan keputusan. Kita mesti "knowlageable" dalam bidang tugas kita dan yang bersangkutan dengan ruang lingkup dunia kerjaya kita. Keupayaan melatih diri dengan sifat dan sikap positif ini adalah satu strategi bagaimana kita membunuh pensabotaj yang datang dari diri kita sendiri.

Sebenarnya orang yang gemar mensabotaj atau sentiasa memperlekehkan orang lain juga adalah orang yang sangat sinonim dengan "penyakit" atau gerombolan laskar sabotaj yang berumah dan berhuma di dalam diri mereka. Orang yang bebas dan positif pada diri sendiri pastinya akan positif terhadap persekitarannya justru kerana mereka hidup dengan menserasikan alam diri dengan alam nyata secara yang amat hormonis. Mereka yang berjaya pasti merasa kenikmatan dari makna kehidupan yang sebenar.

Jadilah manusia yang merdeka, bahagia dan berjaya menikmati hidup dengan penuh makna. Bebaskan diri dari mensabotaj diri sendiri.


2 comments:

  1. Sikap mensabotaj diri sendiri inilah yang menjadi batu penghalang kepada guru-guru untuk berkerja lebih keras bagi meningkatkan kecemerlangan mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid sekolah. Sebenarnya murid-murid Terengganu mampu menjadi pemegang kuasa Bahasa Inggeris di Malaysia, khasnya di pantai timur sekiranya guru-guru Bahasa Ingeris sentiasa atau terus-menerus menanam sikap positif ke dalam minda muid-murid. Buangkan rasa rendah diri yang menebal seperti 'give up' dengan pencapaian murid-murid kita kerana kita mempunyai ramai guru yang hebat dalam P&P Bahasa Inggeris dan mampu berujar dengan baik seperti penutur jati Bahasa Inggeris. Keupayaan Bahasa Inggeris murid-murid kita mampu berada setanding dengan murid-murid dari negeri lain seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dll sekiranya kita membuang perasaan negatif dan menyuburkan rasa positif ke dalam diri kita. Wake up Terengganu...... Bravo....Bravo....Bravo....Terengganu Boleh!!!

    ReplyDelete
  2. Guru kaki sabotaj tak patut ada dalam sistem.jangan terlalu menjaga hati.kementerian seharusnya mewujudkan satu saluran untuk mereka yang akhirnya boleh membawa ke arah penamatan perkhidmatan mereka

    ReplyDelete