Kesabaran seseorang muslim dalam
mempertahankan aqidah Islam ketika menghadapi suasana penindasan yang hebat
merupakan contoh kesabaran yang agung. Pegangan aqidah yang bertunjangkan
tauhid kepada Allah menjadi harta yang tiada ternilai bagi setiap muslim. Ia
adalah cahaya yang menyinari hidup insan dan penyelamat dalam mengharungi
sengsara kacau-bilau pada hari pembalasan.
Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W
pada peringkat awal banyak dibantu oleh kesabaran kaum muslimin dan muslimat
dalam mempertahankan pegangan aqidah mereka. Sikap inilah yang membuahkan hasil
yang amat berharga dalam sejarah perkembangan Islam hinggalah ke hari ini.
Islam masih kekal dan terus mekar dalam jiwa setiap umat Islam.
“Matamu jadi
taruhan
Gantian lara nilaian iman
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan derita ini
Terlindung sudah indahnya maya
Mata hatimu tetap menyala”
Gantian lara nilaian iman
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan derita ini
Terlindung sudah indahnya maya
Mata hatimu tetap menyala”
Kisah seorang muslimat sejati
bernama Zinnirah adalah antara contoh terunggul pengorbanan seorang muslimah
demi mempertahankan aqidah yang telah meresap ke dalam lubuk hatinya. Beliau
dipilih oleh Allah untuk menerima ujian yang cukup getir. Beliau menerima
hidayah Allah pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda
S.A.W berdakwah secara sembunyi-sembunyi di kalangan rakan karib baginda. Dalam
sejarah Islam, golongan yang pertama memeluk Islam inilah yang banyak menerima
ujian daripada Allah S.W.T
Zinnirah adalah seorang wanita
berketurunan bangsa Rom. Beliau telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di
Mekah. Akhirnya beliau telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba.
Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan seorang yang lemah, tetapi dari segi
spiritualnya beliau mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah.
Rasulullah S.A.W memulakan dakwahnya
secara sembunyi-sembunyi di kalangan orang-orang tertentu termasuk golongan
bawahan. Antara yang menerima cahya keimanan ini ialah Zinnirah. beliau telah
menerima dengan sepenuh hati. Pada peringkat awak keislamannya, Zinnirah
melakukan suruhan-suruhan islam secara sembunyi-sembunyi, takut diketahui
tuannya, Umar Al-Khattab. Beliau bersolat, berzikir, membaca Al-Quran, berdoa
kepada Allah dengan penuh syahdu dan keinsafan. Semuanya dilakukan secara
berhati-hati.
Penderitaan ke atas Zinnirah ini
bermula setelah tuannya Umar Al-Khattab mengetahui keIslamannya. Umar telah
dapat menghidu perubahan yang berlaku ke atas diri hambanya itu. Setelah
diselidiki, nyatalah bahawa hambanya meninggalkan agama nenek moyang dan
menerima ajaran tauhid yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W.
Umar Al-Khattab cukup terkenal
dengan sikap memusuhi Rasulullah S.A.W dan agama Islam sebelum keIslamannya.
Beliau selalu mencerca Muhammad S.A.W. Beliau mencabar sahabat-sahabat yang
telah memeluk Islam dengan sikap berani dan tegasnya itu. Beliau sanggup
menanam anak perempuannya hidup-hidup kerana malu dipandang masyarakat. Dengan
sifat keberanian inilah yang telah mendorong Rasulullah S.A.W berdoa agar salah
seorang daripada dua Umar di Mekah supaya memeluk Islam
Zinnirah menjadi mangsa awal di atas
sikap kebencian Umar Al-Khattab terhadap Islam dan kaum muslimin. Apalagi,
teruklah Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan
kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Pelbagai seksaan dikenakan
terhadap Zinnirah. Pukulan, hentakan, sepak terajang, dijemur di tengah-tengah
panas terik adalah rutin kehidupan biasa Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan
tenang dan sabar, di samping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada
pertolongan Allah S.W.T.
Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah
ialah apabila matanya dicucuk dengan besi panas. Beliau kehilangan kedua-dua
matanya dan terpaksa mengharungi hidup dengan penuh kegelapan. Matanya buta,
tetapi hati dan jiwanya penuh dengan cahaya keimanan. Iman menjadi penyuluh
hidupnya dalam kesengsaraan azab dari tuannya.
“Ini untukmu Ya Allah. Aku
mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak.
Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku
sedar untuk mendapat syurga. aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka
itu dipagari oleh pelbagai kesenangan.” Inilah rintihan hati Zinnirah kepada
Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah di setiap malam sebagai penawar jiwa
di atas segala kesusahan yang dia hadapi. Jiwanya semakin kukuh. Imannya
semakin teguh.
Pengorbanan Zinnirah mendapat
cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya. Mereka
mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh tuhan Latta dan Uzza. Mereka
mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri dengan mengatakan dirinya buta
bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar dan Allah mengizinkan
ianya berlaku.
Walaupun diuji dengan pelbagai rupa,
keyakinannya kepada Allah tidak berubah. Allah memberi karamah kepadanya.
Matanya yang buta itu dapat melihat kembali dengan karamah Allah S.W.T. Dia
dapat menikmati semula keindahan ciptaan Allah S.W.T. dengan penuh kesyukuran
kepada Allah dan imannya semakin tinggi.
Dengan taufiq dan hidayah
Allah, Umar akhirnya memeluk Islam jua.
No comments:
Post a Comment