Kita baru sahaja mengetahui keputusan UPSR bagi 2013. Keputusan UPSR 2013 mengikut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Seri Abd. Ghafar Mahmud, merupakan yang terbaik sejak empat lalu. Seramai 42,646 daripada 466,167 calon telah mendapat 5A. Seluruh anak, ibubapa, para guru dan pimpinan masyarakat diceruk rantau seluruh negara masih meraikan kejayaan tersebut.
Tentunya bermacam-macam cara bagaimana kita meraikan rasa kesyukuran ini. Mungkin ada kalangan kita bersujud syukur setelah mendapat berita kejayaan anak-anak mereka. Ada yang menunaikan solat hajat ataupun mengadakan majlis-majlis kesyukuran di atas kejayaan anak didik dan anak-anak mereka.
Selain itu tentu ada pelbagai acara, hadiah dan seumpamanya bagi meraikan kejayaan dan menyatakan kegembiraan atas kejayaan ini. Islam tidak menegah umatnya untuk meraikan kejayaan sebagai penyataan syukur namun biarlah tidak membazir dan melanggar batas-batas sempadan yang ditetapkan.
"Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi
sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu
kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya
azabKu amatlah keras".( Ibrahim; 7)
Kepada anak-anak yang menerima kejayaan janganlah ego dan sombong. Kejayaan UPSR adalah permulaan dan banyak lagi cabaran dan rintangan yang terpaksa ditempuh. Pengalaman dan sejarah telah membuktikan ada calon-calon yang cemerlang UPSR tetapi bila sampai PMR dan SPM mereka tidak dapat mengekalkan momentum itu. Justru itu sewajarnya anak-anak yang berjaya mengali pengiktibaran dari usaha mereka bagaimana mereka boleh berjaya. Bukan sahaja usaha keras sebagai kunci tetapi juga strategi-strategi lain yang dilaksanakan termasuk tidak tinggal sembahyang serta doa yang berterusan. Inilah bekal untuk mereka terus melonjakkan kecemerlangan masa depan.
Sementara kepada ibubapa dan pelajar yang kurang berjaya jangan sesekali berputus asa. Tidak cemerlang UPSR bukan bermakna mereka telah gagal dalam kerjaya dan hidupnya. Bukan. Itu satu pegangan yang salah. Berdasarkan pengalaman penulis sendiri kadang-kadang anak-anak lelaki agak lambat "speed"nya. Anak lelaki penulis hanya mendapat 1A4B dalam UPSR, 1A5B2C dalam PMR, 2A5B1D1E dalam SPM dan 1B1D+2C+1D dalam STPM dan kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di salah sebuah pusat pengajian tinggi.
Sewajarnya jika anak kita kurang cemerlang kita bersabar dan redha serta mencari sebab mengapa mereka kurang cemerlang dan mendorong mereka. Kadang-kadang kita hanya nampak keputusan peperiksaan sebagai kejayaan. Kita tidak nampak anak kita sembahyang tidak tinggal, tidak hisap rokok, tidak berlumba motor dan berakhlak dan beradab sebagai kejayaan atau faktor-faktor kejayaan mereka kemudian hari. Natijah pendidikan bukan sekadar melahir insan bijak tetapi juga beradab tinggi. Sabda Nabi SAW; “ Addabani rabbi fa ahsana ta’dibi “ ( Tuhanku telah mendidiku dengan sebaik-baiknya pendidikan).
Sesungguhnya kita sewajarnya menyatakan kesyukuran atas nikmat dan kejayaan yang Allah kurniakan kepada anak-anak kita dengan membimbing dan memimpin mereka menjadi yang terbaik dan yang cemerlang berterusan. Sementara bagi anak-anak yang kurang cemerlang kita perlu bersabar dan redha menerima kegagalan itu dengan mencari pintu dan kunci yang mampu mencetuskan kejayaan pada masa depan. Berusaha dan bertawakkallah.
Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang
yang beriman. Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri
melihat dan memerhati apa yang ia telah sediakan untuk hari esok. Dan
bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat meliputi
pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr: Ayat
18)
No comments:
Post a Comment