Friday, November 1, 2013

SPPBS, SPS Akan Diintegrasikan, ringakan tugas guru..



MELAKA: Kementerian Pendidikan akan mengintegrasikan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dan Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) sebagai satu pengkalan data bagi meringankan beban guru di sekolah dalam tempoh dua bulan akan datang.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu Pengintegrasian 1Data.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Madinah Mohamad berkata melalui langkah itu, guru hanya perlu memasukkan maklumat pengoperasian harian sekolah menggunakan satu sistem.

"Kementerian sedang meneliti dan berusaha mengintegrasikan kedua-dua sistem ini dan guru tidak perlu menggunakan pelbagai sistem sehingga membebankan tugas mereka sebagai pengajar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis dialog Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal bersama kira-kira 2,000 guru dan pegawai pelaksana negeri Melaka dalam program Pemantapan Profesion Guru (PPG) di sini, Khamis

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Dr Madinah berkata usaha itu juga perlu dilaksanakan secara serius kerana guru berhadapan masalah mengakses kedua-dua sistem berkenaan disebabkan capaian sistem tersebut sering tergendala dan sukar diakses.

Beliau berkata pengintegrasian kedua-dua sistem tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama kementerian dan JPA sebelum diperluaskan di 10,091 sekolah seluruh negara, menjelang akhir tahun ini.

Mengulas lanjut, Madinah berkata bilangan maklumat yang perlu dimasukkan guru akan berkurangan daripada 130 maklumat kepada kira-kira 60 maklumat.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zabidi berkata Program Pemantapan Profesion Guru bertujuan memartabatkan profesion guru supaya golongan itu memberi fokus sepenuhnya kepada tugas pengajaran dan pembelajaran tanpa perlu melaksanakan tugas pentadbiran akan diperluas secara berperingkat di enam zon melibatkan Sabah, Sarawak, Utara, Selatan, Timur dan Barat.

"Pada masa ini, program ini sedang dilaksanakan di negeri Melaka sebagai negeri perintis melibatkan 313 sekolah yang telah bermula sejak Januari lepas," katanya.

Katanya kajian rintis itu memberi fokus kepada beban tugas guru khas meliputi guru penyelaras bestari, guru data serta guru perpustakaan dan media. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment