Saturday, July 6, 2013

Sembang Sabtu : Sudah terantuk baru terngadah.

Sama ada sedar atau tidak. Sama ada setuju atau tidak perubahan besar dan menyeluruh atau tranformasi dalam pendidikan telah merubah banyak perkara. Perkara barangkali yang tidak pernah terfikir oleh sesetengah guru yang sememangnya dah malas berfikir. Bila tersadung dan terkena batang hidung baru tersedar dan gelabah macam kucing jatuh anak. Baru rasa tergugat dan terancam. Mulalah menyalahkan orang itu, orang ini. Padahal diri sendiri mencipta masalah.

Seingatkan saya tahun-tahun 2007 dan 2008 jawatan GPK mudah sangat diisi. Sampai bulan Mac calon yang dibekalkan dah habis. Cepatnya habis kerana menerima ataupun menolak tawaran. Bagi memenuhi ABM dan kekosongan kita terpaksa menyenaraikan mereka daripada DGA32 (KUP) ke Bahagian Sumber Manusia, KPM untuk perakuan. Bila nama mereka diluluskan tawaranpun dibuat. Sayang ramai yang menolak kerana mereka sayang hendak lepas BISP ataupun malas berpindah. Banyak siri kita laksanakan bagi mengisi kekosongan jawatan yang banyak.

Mulai 2010 selain calon pemangkuan daripada DG29 peluang untuk menjawat jawatan GPK dibuka kepada mereka yang berada digred DGA32(KUP) dengan diberi kuasa oleh KPM agar JPN menguruskannya. Proses permohonan dan temuduga dilaksanakan. Alhamdulillah pengisian GPK pada tahun 2010,2011,2012 tiada masalah. Semua daerah dan sekolah dapat diisi segera jika ada yang bersara. Namun masalah mula timbul pada tahun 2013 bilamana calon yang ditemuduga telah mendapat DGA34(KUP) melalui TBBK. Ramai calon yang ditemuduga telah mendapat DG34(KUP) TBBK sudah tidak boleh ditawar lagi mana yang tertawar terpaksa ditarik balik bila TBBK datang kemudian.

Walaupun kita ingatkan PPD supaya menyemak semula senarai calon kerana perubahan ini ada juga yang terlepas . Perubahan ini menyebabkan kita semakin sukar memperolehi calon dan proses pemilihan terpaksa dibuat banyak kali. Bila situasi ini berlaku golongan senior yang merasa layak kurang berpuas hati justru yang akan naik sebagai GPK adalah mereka yang lebih muda. Mungkin pihak KPM perlu melihat semula dasar perjawatan hakiki GPK ini dan sekaligus dasar perjawatan hakiki Guru Besar. Kalau gred untuk GPK dinaikkan ke DG34 maka gred asas hakiki Guru Besar mestilah DG38 ke atas. Kalau tidak nanti tiada siapa yang akan memohon untuk jadi GPK dan Guru Besar.

Berilah peluang kepada guru-guru senior yang berkelayakan dan sampai seru ini menjadi pengurus sekolah. Masa mereka muda dulu mereka tidak nampak seronoknya jadi GPK dan Guru Besar ini. Kita juga hairan kenapa masa kita buat iklan sebelum ini mereka tidak memohon ? Apapun kita minta semua guru peka dengan perubahan. Banyak membaca. Yang belum menjadi ahli kesatuan, jadi ahli segera. Takut nanti keluar syarat siapa tidak menjadi ahli kesatuan tidak boleh memohon jawatan naik pangkat . Baru pada dengan muka. Melalui kesatuan anda akan disalurkan pelbagai maklumat.

Kalau diperhatikan pemarkahan pemangkuan Guru Besar dari DGA32 ke DG34, NPQEL dahulu hanya untuk bonus sebanyak 2 markah. Namun pada masa depan NPQEL akan menjadi syarat khusus dalam permohonan untuk Guru Besar. Bila disebut sebagai syarat, jika kita tidak ada benda tersebut maka kita tidak layak untuk memohonnya. Justru itu kita berharap kepada mereka yang bercita-cita menjadikan laluan kepimpinan ini sebagai kerjaya agar melengkapkan diri dengan syarat-syarat ini. Jangan kerana tidak faham, tiada ilmu kita asyik mengomel menyalahkan orang atas kedangkalan kita. Zaman telah berubah,pandangan juga perlu berubah dan tindakan juga bukan mengikut rutin biasa.

KPM mengemukan dasar-dasar baru dalam pemilihan Guru Besar dan Pengetua agar seperti kata Timbalan Perdana Menteri hanya guru terbaik dan paling layak menjadi Guru Besar dan Pengetua. Tujuannya kerana mereka yang terbaik dan terasuh ini mampu melaksanakan tranformasi dan PPPM secara berkesan. Agenda besar ini mesti mampu dipikul oleh pemimpin yang berjiwa besar. Maka sebab itulah pemilihan dan latihan kepada bakal Guru Besar dan Pengetua dirancang dan dilaksanakan begitu rupa. Zaman isi borang dan hantar dokumen memohon jawatan Guru Besar dan Pengetua telah berlalu. Jalan semakin sukar. Hanya yang hebat sahaja sampai ke destinasi.

Kita berharap guru-guru baru dan muda terutamanya akan dapat merancang laluan kerjaya mana yang mereka mahu pilih. Melalui pemilihan awal mereka mampu merancang dan membuat persediaan apa yang diperlukan. Zaman yang bulat datang menggolek dan yang pipih datang melayang telah berakhir. Semuanya perlu pecahkan ruyung untuk mendapatkan sagu. Jangan bila dah terantuk baru terngadah. Sesal kemudian tidak guna bro....


No comments:

Post a Comment