Wednesday, July 3, 2013

Pilih cikgu terbaik



GENTING HIGHLANDS: Mulai tahun depan, proses pelantikan pengetua dan guru besar akan dimantapkan lagi dengan memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, proses pelantikan itu akan dibuat berdasarkan latihan dan penilaian yang dilaksanakan untuk bakal pengetua dan guru besar melalui Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) yang dijalankan Institut Aminuddin Baki (IAB). Beliau berkata, selain itu, penilaian turut dibuat berdasarkan kemampuan bakal guru besar dan pengetua melaksanakan tanggungjawab mereka, sifat kreativiti dan inovasi mereka di samping mempunyai rekod cemerlang dalam kerjaya mereka sebagai guru.

 “Tahun depan, pelantikan guru besar dan pengetua berdasarkan penilaian. Bila ada kekosongan, jawatannya akan diisi guru terbaik, kami akan ambil kira soal ujian dan pencapaian dicapai guru ini berdasarkan kursus yang mereka jalani. “Tujuan kami supaya kami menempatkan kepemimpinan sekolah iaitu pengetua dan guru besar terbaik dalam kalangan terbaik, bermakna mereka haruslah melalui proses penilaian dari segi tahap kepemimpinan dan perkara lain yang berkaitan dengan kemampuan mereka melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-20 di IAB di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, ia dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara ini selaras matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia apabila antara anjakan paling penting dalam pelan itu ialah keupayaan guru dan kepemimpinan di sekolah. “Kalau sekolah itu berjaya, antara faktor utama ialah daya kepemimpinan di sekolah itu, iaitu pengetua dan guru besar, latihan bermula, tetapi proses penilaian itu dibuat berdasarkan kursus yang mereka lalui dan pencapaian lain,” katanya.


Beliau berkata, kemasukan untuk NPQEL dibuka sepanjang tahun dan IAB merancang melatih 1,000 guru tahun depan yang dipilih dalam kalangan guru terbaik.

Terdahulu, ketika berucap, Muhyiddin berkata, program itu melahirkan graduan yang mempunyai kepemimpinan berwibawa dan mampu meningkatkan prestasi sekolah yang dipimpin.


Beliau berkata, institusi sekolah memerlukan kepemimpinan berbeza daripada apa yang ada sebelum ini untuk menghadapi semua cabaran dengan berkesan.


“Sudah sampai masanya jawatan pengetua dan guru besar tidak boleh lagi disandang secara automatik, tetapi perlu melalui proses penapisan teliti dan melalui program latihan dan bimbingan komprehensif,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pertukaran guru yang sudah berkahwin, Muhyiddin berkata, kementerian akan membuat pertimbangan sekiranya permohonan guru itu sepadan dengan kekosongan yang ada.


“Kami tidak boleh tukar begitu saja kecuali tempat dimohon ada kekosongan. Ia mesti berdasarkan opsyen, kalau guru Bahasa Inggeris nak pindah ke sekolah yang ada ramai guru subjek itu, maka dia tidak akan ajar subjek itu, tetapi ajar subjek lain, ini akan menjejaskan pembelajaran dan pengajaran.

“Sebahagian permohonan munasabah kerana ada asas contohnya suami, anak di tempat lain, kami akan kaji permohonan kalau ada keperluan dan tempat itu ada kekosongan, itu boleh diterima,” katanya.- BERNAMA


No comments:

Post a Comment