Sunday, July 7, 2013

Sekolah perlu peka isu dera



KUALA TERENGGANU - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan mengeluarkan surat peringatan kepada semua sekolah di negeri itu agar lebih peka dengan masalah murid, terutama dalam mengesan kes penderaan.
  
Timbalan Pengarahnya Hashim Mohd Zin berkata walaupun telah ada garis panduan berhubung perkara itu, jabatan berkenaan mahu pihak sekolah meningkatkan pemantauan terutama jika ada kes ketidakhadiran pelajar yang berpanjangan.
  
"Sebaik mungkin kita minta guru yang berdepan kes seperti ini perlu ke rumah murid yang bermasalah ini untuk mengenal pasti apakah sebenarnya yang mereka hadapi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kem Motivasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013, di sini hari ini.
  
Beliau diminta mengulas mengenai kes penderaan tiga beradik di Gong Badak baru-baru ini yang turut membabitkan seorang murid. Murid terbabit dilapor gagal hadir ke sekolah selama dua bulan.
  
Mengulas lanjut, Hashim berkata mengikut peraturan, pihak sekolah perlu menghantar surat peringatan kepada keluarga atau penjaga selepas tiga hari murid berkenaan tidak hadir dan surat susulan selepas tujuh hari tidak hadir.
  
"Dalam kes ini, guru mungkin agak sukar untuk ke rumah kanak-kanak ini kerana dia tinggal di Gong Badak, tetapi bersekolah di bandar ini," katanya.
  
Mengikut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, kes penderaan kanak-kanak di Terengganu menunjukkan peningkatan daripada 22 kes yang dilaporkan pada 2008 kepada 49 pada 2011. - Bernama


No comments:

Post a Comment