Bila kita bertanya kepada seseorang apakah yang paling bermakna dalam hidup kita ? Mungkin ramai yang berkata keluarga yang bahagia . Mungkin ada yang berkata harta benda dan kemewahan. Ataupun mungkin yang berkata hidup tanpa sebarang tekanan. Jarang yang mengatakan bahawa ia perlukan kesihatan yang baik. Tidak ada gunanya keluarga, harta dan kemewahan kalau nak buka matapun tak dapat. Bawalah buah epal sebesar tempayangpun buat apa kalau liur terasa lecas dan rasa buah epal telah berubah menjadi rasa lain dan tidak sedap lagi.
Majlis Jasamu dikenang beberapa mingu lalu benar- benar menjentik minda saya. Majlis berkenaan bagi meraikan para guru di negeri ini yang telah dan akan bersara pada tahun 2013. Ramai juga yang merungut tidak dijemput tapi ramai juga yang dijemput tidak hadir. Apapun tahniah atas inisiatif JPN dan terima kasih kepada warga pesara dan bakal pesara yang hadir.
Apa yang menarik perhatian saya ialah rupa-rupanya ramai juga yang memilih bersara di bawah 60 tahun. Ada yang memilih bersara 56 tahun dan 58 tahun. Bersara dalam keadaan tubuh sihat, segar bugar dan bertenaga. Oleh kerana majlis berkenaan juga untuk penerima Anugerah Cemerlang kadang kita bertukar sama ada sipolan ini penerima APC ataupun pesara.
Rupa-rupanya mengikut tinjauan ringkas saya kepada rakan-rakan bersara 56 tahun ,mereka melahirkan rasa seronok untuk bersara dalam keadaan sihat dan bertenaga. Mereka seronok tiada lagi tekanan kerja yang menghambat mereka. Apalagi bersara dalam keadaan anak sudah "lepas" dan tiada hutang lebih menyeronokkan lagi. Mereka berpendapat biarlah bersara dalam keadaan yang boleh dinikmati persaraannya serta mahu memberi perhatian untuk cari bekal mati pula.
Sememangnya dalam keadaan sihat dan bertenaga menyeronokkan. Saya menjangka mereka yang bersara 56 atau lebih awal dari 60 tahun mereka yang mempunyai perancangan dan pengurusan kewangan yang berjaya. Apa tidaknya bila ditanya mereka yang mahu bersara 60 tahun walaupun uzur dan menjadi bahan sindiran rakan dan anak buah terpaksa bekerja kerana masih ada tanggungan yang perlu disara seperti anak masih di bangku sekolah, universiti dan sebagainya. Mereka kalau tidak dibebani masalah itu juga mahu bersara awal.
Kadang-kadang ada logiknya bila Cuepec mencadangkan agar mereka yang berada dalam zon persaraan 56 ke atas dibenarkan mengeluarkan sebahagian ganjaran persaraan bagi menampung kos pendidikan anak atau baiki tempat tinggal dan seumpamanya. Berilah peluang mereka manafaatkan sebahagian wang ganjaran sementara mereka masih sihat dan memerlukan. Bila bersara mereka tidak akan susah kerana masih ada baki dan pencen dan anak-anak mereka barangkali sudah memiliki kerjaya. Insentif ini patut difikirkan oleh kerajaan daripada mereka meminjam dengan bank atas pinjaman ganjaran persaraan dengan kadar peratus yang hampir mencecah 7%.
Saya kira insentif ini jika dilaksana akan disambut baik oleh kakitangan awam kerana ada antaranya menanti ganjaran berkenaan untuk baiki rumah, tunaikan haji, kenduri kahwin anak, beli kereta baru dan sebagainya. Sesungguhnya perkara demikian sangat bererti dan bermakna dilakukan sewaktu mereka masih sihat. Biarlah mereka turut merasai sama kemanisan penat lelah mereka di saat mereka sihat dan bertenaga.
Kita dapati juga ada kecenderungan bagi kakitangan awam yang memilih persaraan 60 tahun untuk mohon bersara awal. Apalagi jika mereka sudah tiada lagi beban tanggungan keluarga dan hutang-piutang. Ini juga menunjukkan bahawa mereka memilih untuk bersara dan menikmati persaraan dalam keadaan sihat dan bertenaga. Sihat dan bertenaga adalah elemen terpenting untuk menikmati kebahagian dan keseronokan dalam kehidupan terutama hidup di hari tua bersama-sama anak cucu.
No comments:
Post a Comment