Monday, July 15, 2013

Kerajaan digesa tak lanjut tempoh perjawatan



KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta supaya tidak melanjutkan tempoh perjawatan penjawat awam yang telah mencapai usia persaraan 60 tahun kepada bentuk kontrak terutama di peringkat tertinggi kecuali bagi individu yang mempunyai kebolehan luar biasa, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
  
Anggota Parlimen Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata langkah itu bukan sahaja menyekat peluang kenaikan pangkat penjawat awam lain tetapi bagi memberi peluang kepada orang lain untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.
  
"Mana-mana penjawat awam yang mencecah usia 60 tahun, jangan dipertimbangkan untuk dilantik ke jawatan yang lebih besar.
  
"Apabila sudah bersara, biarlah dia bersara, kita beri (peluang) kepada orang baharu yang berjiwa besar untuk mengangkat martabat kementerian atau mengetuai sesuatu agensi.
  
"Ini harus dilihat oleh kerajaan secara menyeluruh," katanya ketika membahaskan usul penguntukan semula peruntukan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan berikutan penyusunan semula tiga kementerian pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Bung Mokhtar juga meminta kerajaan mempertimbang mewujudkan Kementerian Usahawan bagi membantu golongan usahawan di negara ini.
  
"Pada saya, kementerian yang dicadangkan ini amat diperlukan dan dinanti-nantikan rakyat kerana ini merupakan kementerian yang boleh mereka berpaut dan untuk mengembangkan perniagaan pada masa depan," katanya.  - Bernama


0 ulasan:

Post a Comment