Tuan Haji Ab. Rahman Sardar (Pengerusi MGB Besut)
Guru Besar SBT, SK Tengku Mahmud Besut
di Majlis Temumurni Murid Tahun 6
"Mengapa sampai macam itu"? Tanya saya cuba mencungkil.
"Entahlah encik, dia tidak rapat dengan ibubapa dan masyarakat", jelas Guru Penolong Kanan berkenaan.
"Dengan guru-guru macam mana", saya cuba menyelidik lagi.
"Lebih kurang macam tu lah juga, kurang bersungguh main lepas gitulah", beritahu Guru Penolong Kanan berkaitan.
Itulah sebahagian kecil aduan daripada Guru Penolong Kanan dan guru dari beratus luahan mereka kepada saya mengenai pengurusan mereka. Kalau saya nak cerita tidak tercerita dan kalau nak tulis tidak tertulis. Cukuplah saya ambil satu dua jis untuk dikupas sebagai pemikiran kita bersama. Niat kita sangat mudah dan sangat jelas. Kita mahu menjadi sentiasa lebih baik sesuai dengan saranan hadis Nabi, " Orang yang cemerlang itu, apa yang diusaha dan dicapai hari ini adalah lebih baik dari semalam dan apa yang diusaha dan akan dicapai esok adalah lebih baik dari hari ini".
Berasaskan pngalaman, pemerhatian, perbincangan serta pembacaan isu pokok yang sangat besar dalam pengurusan kita terutama di sekolah ialah masalah komunikasi pengurusan yang berkesan. Komunikasi yang berkesan secara mudahnya ialah bentuk penyampaian dan perhubungan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan menggunakan lisan atau bukan lisan dan memberi kesan atau impak ke arahan perubahan yang lebih positif. Maknanya kalau kita bercakap atau berhubung ada aura untuk orang lain terus mendengar. Orang seronok. Dalam seronok itu kita mempengaruhi kerana tugas utama pemimpin sekolah yang berkesan ialah bagaimana kita boleh mempengaruhi ahli organisasi dan orang lain bersama-sama kita menjayakan wawasan yang kita inginkan.
Bagaimana kita hendak mempengaruhi orang atau ibubapa untuk mengatasi masalah ponteng, keciciran dan lain-lain isu pembelajaran kalau hendak berhubung dengan ibubapapun tidak tahu. Bagaimana kita hendak menjelas atau mempengaruhi ibubapa ataupun guru-guru kita bila bercakappun dengar tak dengar @ telor, tidak bermotivasi dan hampeh kosong tidak berilmiah langsung. Macam mana ibubapa dan guru hendak "respect" kita kalau bertembung asyik hendak lari dan memerap di dalam bilik.
Sewajarnya sebagai pemimpin sekolah kita bukan sahaja dilihat hebat dari segi penampilannya tetapi juga dilihat hebat dari kemahiran dan berilmu dalam perhubungan dan komunikasi dengan ibubapa, masyarakat, para guru dan pelajar kita. Kebijaksanaan dalam komunikasi dan perhubungan ini bukan bakat dan anugerah semata-mata tetapi adalah kemahiran yang boleh dipelajari melalui latihan berterusan. Ianya memerlukan keyakinan diri yang sangat tinggi. Keyakinan diperolehi dengan adanya kemahiran dan ilmu. Sepanjang masa kita berkomunikasi dengan orang kita pimpin tetapi berapa banyak komunikasi kita yang berkualiti dan boleh membawa tranformasi kepada pendengar atau audiennya ?
Banyak medan rasmi dan tidak rasmi yang kita boleh praktik dan pamerkan kehebatan kita untuk mempengaruhi orang yang kita pimpin sama ada ibubapa , guru atau murid. Perhimpunan sekolah, mesyuarat, perjumpaan ibubapa dan ucapan-ucapan majlis rasmi lain adalah medan kita melantunkan pemikiran, idea untuk orang lain berfikir berasaskan fakta dan hujah konkrit bukan ucapan meraban yang menjemukan. Bermakna kita perlu buat persediaan. Kalau perlu pembacaan , bacalah. Perlu tulis dalam teks, tulislah. Jangan anggap kita bijak walhal orang lain muak untuk mendengar kita bercakap kerana pusing-pusing benda dan stail pengucapan yang sama sahaja. Biar bijak untuk membaca bahasa tersirat audien. Jangan syok sendiri. Masa terbuang, duit habis dan tenaga nak mengurus majlis habis tapi habukpun tarak. Tranformasi tidak berlaku malah semakin mati dan basi.
Berasaskan pengalaman belasan tahun sebagai pengurus sekolah komunikasi dan hubungan tidak rasmi adalah medan efektif untuk membawa tranformasi. Misalnya sambil minum bertanya khabar tentang tugas yang diberi, tanya khabar perkembangan anak atau keluarga staf kita yang sakit, berbincang secara santai , bersama-sama staf dalam apa jua aktiviti seperti perkhemahan, mendahulukan diri kita sebagai contoh seperti kutipan derma dan lain-lain lagi antara metodologi sangat efektif dalam pengurusan. Ianya bukan sahaja tidak memberi tekanan tetapi sekaligus merapatkan perhubungan dalam organisasi. Nilai-nilai setia, hormat-menghormati, sayangkan ketua dan tempat kerja akan tumbuh subur dalam jiwa setiap ahli dalam organisasi kita.
Begitu juga bagi mendekatkan diri dengan ibubapa saya tidak segan masuk kampung, berborak dengan masyarakat, minum di kedai di kampung bersama ibubapa, hadir kematian dan kenduri-kendara dan bermacam ruang dan kesempatan adalah pendekatan sangat bermakna menangani isu-isu berkaitan murid seperti keciciran, ponteng, bantuan pelajar dan sebagainya. Di ruang-ruang itulah kita mempengaruhi agar ibubapa bersama menyokong sekolah untuk kecemerlangan pendidikan. Ini tidak, kita mengharapkan sokongan ibubapa tetapi kita tidak pernahpun "mencemar duli" untuk turun ke kampung bertemu dengan ibubapa anak murid kita secara langsung. Begitu juga bila guru kita buat majlis dan jemput kita secara rasmipun kadang kita tidak hadir. Macam mana kita nak harap guru kita hormat dan hargai kita.
Sebenarnya banyak isu ketidakpuasan hati pelanggan kita berkaitrapat dengan caragaya dan stail komunikasi dan perhubungan kita dan penyelesaian masalah berkenaan itu hanya boleh di atasi bila kita tranformasi komunikasi pengurusan kita ke arah yang lebih baik, segar, bertenaga dan bijaksana. Hanya kita yang mampu merubahnya.
Setuju.
ReplyDeleteAda GB yg berckp dan menegur guru/ staf secara tidak profesional. Ucapan kasar spt bodoh dan bengong adalah mkn harian stafnya. Namun bila perkara ini dibawa ke atas PPD hy kata" Nak buat mcm, dia GB yg cemerlang. Mulut je bising tp hati baik".Dia sebenarnya wabak dan pemecah belah warga sekolahnya. Tidak wujud lg iklim sek yg kondusif dan aman jika ada pemimpin seperti ini.