Tuesday, July 30, 2013

Menjelang 100 tahun SK Kampung Raja

BESUT - SK Kampung Raja, Besut dengan Kod Sekolah TBA0001 bakal menyambut Jubli Intan atau mencapai usia 100 tahun dalam masa dua tahun lagi. Itulah info yang diberi oleh En. Che Husin Ismail, Guru Besar SK Kampung Raja sewaktu kami mengadakan pemantauan pengurusan sekolah di sekolah berkenaan semalam. Dalam maksud yang tersirat inilah antara sekolah tertua di daerah Besut dan juga di negeri Terengganu.

Beberapa tahun lalu prestasi sekolah ini sangat membanggakan di mana sentiasa berada pada Band 1 dan dicalonkan untuk meraih Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah Berprestasi Tinggi. Namun beberapa aspek atau kreteria mungkin belum memenuhi kehendak penilaian. Kali terakhir mereka juga dicalonkan untuk SKK Fasa 7 tetapi saat-saat akhir digugurkan bersama beberapa buah sekolah di daerah Besut. Kami masih teringat arwah Haji Rosli Abd.Ghani mantan Guru Besar, SK Kampung Raja menghubungi kami sambil menangis kerana kecewa teramat sangat setelah berpenat-lelah berhabis tenaga dan wang tapi saat-saat akhir digugurkan oleh panel penilai atas-atas sebab yang tidak dinyatakan. Rasa kecewa itu mendasari hati dan jiwa para guru hingga Guru Besar baru menyuarakan hasrat untuk ke arah SKK dan SBT mereka menolak secara mentah-mentah.

Walau bagaimanapun dengan kebijaksanaan  Guru Besar dan pasukan pengurusan rasa kecewa itu mulai beransur hilang dan mereka mula bersedia ke arah itu. Kita amat yakin SK Kampung Raja memang mempunyai kekuatan untuk SKK dan seterusnya SBT jika dapat dikelaraikan dengan sempurna oleh Pengurusan Sekolah. Kebolehan En. Che Husin Ismail yang membawa SK Kuala Besut sebelum ini menjuarai 3K Kebangsaan mungkin boleh membantu. Isunya menggapai Sekolah Kecemerlangan tidak akan mampu dicapai jika Guru Besar dan GPK sahaja yang bersungguh-sungguh tetapi memerlukan komitmen dan iltizam semua guru, para ibubapa dan masyarakat.

Kita amat berharap menjelang 100 tahun SK Kampung Raja,  perayaan 100 tahun nanti bukan sekadar diraya kerana usianya mencapai 100 tahun sahaja tetapi juga kerana meraikan SK Kampung Raja menjadi Sekolah Kecemerlangan SKK dan juga SBT. Justru itu gerakkerja mengkelarai, menyusun dan memperkasakan bidang kebitaraan sewajarnya bermula sekarang dengan rapi dan teliti mengikut kehendak dan piawaian SKK yang ada.

Kita berharap pihak PPD Besut dan MGB Besut dibawah pimpinan Tuan Haji Abd. Rahman Sardar, Guru Besar SBT Tengku Mahmud yang berpengalaman luas dalam pengurusan SKK dan SBT dapat membantu SK Kampung Raja ke arah SKK. Jawatankuasa Sekolah Kecemerlangan Negeri akan sentiasa membantu memberi bimbingan dan nasihat teknikal bagi membantu SK Kampung Raja dan sekolah-sekolah lain yang disenarai sebagai sekolah projek Sekolah Kecemerlangan Negeri 2013 hingga 2017.

Kami dari Unit Sekolah Rendah merakamkan setinggi tahniah kepada kepimpinan dan warga SK Kampung Raja yang baru bepindah ke blok bangunan baru beberapa bulan lalu dan berharap dengan semangat dan inovasi baru SK Kampung Raja yang bakal menyambut Jubli Intan benar-benar gemerlap sebagai salah satu Sekolah Kecemerlangan negeri Terengganu.


No comments:

Post a Comment