PUTRAJAYA 9 Julai - Kongres Kesatuan
Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan
mempertimbangkan pemberian bonus dua setengah bulan kepada seluruh penjawat
awam tahun ini.
Presidennya, Datuk Omar Osman
berkata, CUEPACS telah memohon secara rasmi mengenai perkara itu kepada Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini dan berharap permintaan ini
akan dipertimbangkan.
"Melihat pada keadaan ekonomi
semasa sekarang, pada kami permohonan pemberian bonus dua setengah bulan ini
yang telah diputuskan semasa mesyuarat CUEPACS pada dua minggu lepas adalah
sesuai," kata beliau dalam sidang media di sini hari ini.
Omar berkata, pemberian bonus bukan
sahaja khabar gembira buat 1.4 juta penjawat awam bahkan akan turut memberi
kesan langsung kepada ekonomi negara apabila terdapat aliran tunai yang aktif
di dalam negara.
"Namun begitu, saya berharap
jika adanya pengumuman bonus kelak peniaga tidak akan mengambil kesempatan
untuk menaikkan harga barang sesuka hati," katanya.
CUEPACS juga berharap agar skuad
pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan akan terus membantu memantau harga barangan dalam pasaran, kata
beliau.
Pada tahun lepas, kerajaan memberi
bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam dan pemberian bonus tersebut
merupakan yang terbaik pernah diberikan oleh kerajaan setakat ini.
Katanya, bersempena dengan
kedatangan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri nanti semestinyalah
penjawat awam mengharapkan bantuan dalam bentuk bonus daripada kerajaan bagi
meringankan beban kewangan mereka. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment