Monday, July 22, 2013

Pengorbanan dan Perjuangan : Abang besarkan 4 adik selepas kematian ibu bapa



KOTA BHARU 21 Julai - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Menjadi tonggak keluarga bukanlah mudah, terlalu banyak liku yang perlu dilalui untuk meneruskan kehidupan.
Itulah cabaran yang terpaksa digalas oleh Muhammad Zulhairie Zainuddin, 17, dari Kampung Chekok dekat sini bagi membesarkan empat adiknya yang masih kecil dan bersekolah selepas kehilangan kedua-dua orang tuanya.

Menurut, Muhammad Zulhairi, ibunya Norsasibah Mat Adam telah kembali ke rahmatullah tiga tahun lalu pada usia 33 tahun manakala ayah, Zainuddin Napi, 42, yang menjadi sumber kekuatannya telah dipanggil menghadap Ilahi tiga bulan lalu.

Muhammad Zulhairi berkata, dia kini memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi membesarkan serta memastikan empat adiknya berusia antara 7 hingga 15 tahun mendapat pendidikan sempurna bagi menjamin masa depan mereka.

"Walaupun agak berat, demi melihat adik-adik membesar dengan penuh kasih sayang dan pelajaran yang secukupnya, saya akan gagahkan kudrat untuk menunaikan amanah ini dengan sebaik mungkin.

"Selepas ibu meninggal, saya mengambil keputusan berhenti sekolah bagi membantu arwah ayah menyara keluarga bagi membesarkan adik-adik yang masih kecil. 

"Walaupun berat untuk membuat keputusan itu, saya terpaksa demi adik-adik," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa, Penyampaian Baju dan Duit Raya oleh ahli perniagaan terkemuka, Datuk Seri Sunny Ung di pusat beli-belah KB Mall, di sini semalam.

Muhammad Zulhairie, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Panji di sini, telah berhenti sekolah semasa di tingkatan satu lagi selepas kematian ibunya bagi membantu arwah bapanya membesarkan empat adiknya itu.

Dia kini bekerja di sebuah kedai makan dengan gaji sebanyak RM25 sehari.
Seramai 250 anak-anak yatim dari empat buah rumah anak yatim dari seluruh negeri dan kawasan sekitar telah diraikan pada majlis tersebut.

Muhammad Zulhairie memberitahu, sumbangan tersebut amat bermakna buat dia dan empat adik beradiknya selepas kali terakhir merasai kemeriahan membuat persiapan hari raya dua tahun lalu.

"Ini merupakan baju raya baharu buat kami sekeluarga selepas dua tahun tidak berpeluang membelinya disebabkan oleh kekangan sumber kewangan.

"Harapan saya, agar sumbangan baju baharu ini dapat menggembirakan adik-adik yang masih kecil untuk turut sama merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri nanti," ujarnya.

Artikel Penuh:  Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment