Saturday, July 20, 2013

Sembang Sabtu : Simpati yang menjerat diri

Banyak perkara dalam kehidupan ini kita merasa tidak adil dari sudut pandang kita. Biarpun kadangnya kita sendiri kabur dan kurang jelas tentang maksud adil yang sebenar. Biasanya manusia yang mempunyai darjah ketinggian "emosi" keterlaluan seringkali mengambil tindakan yang bertentangan dengan kewarasan akal dan peraturan. Bagaimanapun mereka seolah merasa satu kepuasan dan kebangggaan kerana kononnya mampu menjadi penyelamat. Walhal kadangnya tanpa disedari sifat keheroan yang membuta tuli boleh membawa padah kepada diri mereka sendiri.

Begitulah yang kita dapati terdapat segelintir Guru Besar sewenang-wenangnya membenarkan murid "menumpang" walaupun telah dinasihat dan dilarang oleh GPK Hem yang telah menerima ilmu dari kursus yang dihadiri. Alasan mereka amat mudah " kesian tengok budak tidak sekolah". Kadang-kadangnya bukan mereka tidak tahu tetapi sengaja menunjukkan keperihatinan dan simpati dengan cara yang salah. Mereka sepatutnya tahu dan jelas bahawa dalam Akta Pendidikan negara tiada istilah menumpang atau belajar di sekolah kerajaan  tanpa didaftarkan. Pelanggaran ini menyebabkan mereka boleh dikenakan panalti RM1,000.00 atau penjara 1 tahun.

Sebagai penjawat awam penjara 1 hari dan denda melebihi satu emolumen mereka bakal kehilangan jawatan dan segala keistimewaan yang dinikmati sebagai penjawat atau kakitangan awam. Mungkin Guru Besar yang membenarkan murid menumpang ini terdiri dari mereka yang kaya  raya maka mereka tidak kisah jika dikenakan tindakan demikian. Mungkin pada yang emosi bahawa peraturan itu nampak "zalim" tapi setiap peraturan dibuat ada hikmah di sebaliknya. Kita tidak akan kata mencuri jika ada saksi cukup hukumnya potong tangan atau denda mencuri RM5,000 sedangkan barang yang dicuri RM20.00 sebagai zalim dan tidak adil. Bahkan membiarkan pencuri itu terlepas tanpa hukuman adalah lebih zalim kerana ia menyebabkan kehidupan masyarakat tidak tenteram bahkan hasil mencuri itu haram dan menggelapkan hati manusia.

Begitulah juga jika Guru Besar membenarkan murid menumpang sama ada anak warganegara, bukan warganegara atau anak tidak sah taraf kerana selagi mereka tidak didaftarkan sebagai murid mereka tidak layak dinamakan "murid". Memberi taraf murid kepada anak-anak yang tidak layak menerima gelaran murid adalah satu kezaliman. Murid "menumpang" atau murid haram ini akan menikmati semua kemudahan yang sama dinikmati oleh murid yang sah. Murid yang didaftar oleh ibubapa dan mereka membayar yuran untuknya. Jika tiada peraturan yang melarang maka sesiapa sahaja boleh masukkan anak ke sekolah.

Kita kadang mengambil tindakan yang pendek akal walhal orang tua selalu berpesan " ingat sebelum kena". Bagaimana jika murid yang tidak sah atau menumpang itu ditimpa musibah seperti kemalangan di sekolah, dirogol ataupun meninggal dunia kerana sesuatu sebab. Adakah Guru Besar akan bertanggungjawab memperakukan bahawa murid itu muridnya? Jika muridnya mana bukti berdaftar bahawa murid itu layak menerima tuntutan insuran takaful?Mana sumber kuasa yang membenarkannya menerima murid berkenaan? Jika tiga persoalan ini tidak dapat dijawab dengan yakin maka berhentikan amalan simpati yang boleh menjerat diri itu.

Sebenarnya banyak amalan simpati tidak kena tempat yang berlaku dalam pengurusan kita di sekolah. Kita kadang kesian atau simpati untuk mengambil tindakan terhadap guru-guru kita yang culas dan tidak cekap walaupun diperuntukkan dalam Tatakelakuan Pegawai Awam 1993 seperti:

“4.(2) Seseorang pegawai tidak   boleh –  (e) kurang cekap  atau kurang berusaha;

Berapa ramai Guru Besar memberi surat tunjuk sebab kepada guru-guru yang tidak cekap atau berusaha seperti lambat siapkan kerja, mengajar cincai, ponteng kelas, prestasi pelajar merudum jatuh dan sebagainya yang menggambarkan ketidakcekapan dan kurangnya usaha ? Kita hanya pandang sebelah mata bahkan sekadar memprotes dengan menceritakan kepada yang lain. Membiarkan itulah satu kezaliman kerana mereka yang rajin bertungkus-lumus tolong "cover" yang lemah ini hingga ada yang stress dan menerima rawatan psiktrik. Kita telah tidak mengambil apa-apa tindakan sama ada kerana simpati, takut atau memang jenis kita yang tidak bertanggungjawab atau lemah.Jangan sampai anak buat kita melihat kita "nothing special".

Begitu juga bila kita menghadapi penjual-penjual pelbagai perniagaan yang masuk ke sekolah kita. Semua penjual sewajarnya mendapat kebenaran Pengarah Pelajaran Negeri  untuk melakukan jualan terutama kepada murid di sekolah kerana Pengarah adalah Pendaftar. Pendek kata jika sampai dekat pondok jaga dan minta surat kebenaran Pengarah kalau tiada jangan benarkan masuk. Ini tidak, kita tidak bagi masuk Guru Besar sekolah B, sekolah D benarkan dan bebas sewenangnya berjualan kepada murid. Semuanya kerana kesian kepada penjual yang merayu dan melutut. Kita tidak terfikir untuk kesian kepada ibubapa dan murid kita yang bersusahpayah mendapatkan wang. Kita mungkin tidak mendengar ibubapa merungut, "Sekolah ni tak de kerja lain..duit,duit,duit ". Walhal duit itu bukan kita minta tapi kerana urusan berlaku di sekolah dan anak balik meminta wang seolah-olah sekolahlah yang minta wang.

Jadikanlah diri kita pengurus sekolah rujukan terbaik dan yang bijak membuat keputusan dan bertimbangan berasaskan ilmu bukannya emosi atau secara it (ikut telintas). Jangan kita kelirukan anak buah kita dengan kuasa kita yang ada dan cara pengurusan cacamarba kerana mereka ingin belajar yang terbaik dari kita. Kita percaya spesis yang simpati melulu kian pupus dan pada masa depan kita harap dengan peningkatan ilmu kepada Guru Besar sedia ada dan proses pemilihan Guru Besar yang begitu ketat perkara asas seperti simpati melulu tidak mengganggu urusan kita membangun pendidikan terbilang.




No comments:

Post a Comment