Saturday, May 14, 2011

Menjelang Hari Guru 2011 - Khabar Gembira Sempena Sambutan Hari Guru Isnin Ini


KUANTAN - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan khabar gembira buat warga pendidik bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut, sebaliknya berkata: "Insya-Allah, tunggulah...".

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama warga pendidik Pahang di sini Sabtu, Muhyiddin berkata cabaran baru warga pendidik kini amat mencabar dalam usaha kerajaan mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

"Paling utama ialah soal menyediakan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran selari dengan sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020," katanya.

Turut hadir pada majlis yang disertai lebih 2,000 warga pendidik Pahang ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata peranan guru amat penting dalam mendidik anak bangsa bagi mewujudkan modal insan berkualiti pada masa depan.

Katanya kerajaan juga telah menggariskan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang bakal menyediakan 33 juta peluang pekerjaan serta tenaga kerja terlatih dalam semua bidang.

"Terdapat 12 sektor ekonomi perlu diisi dengan tenaga manusia terlatih dan ia merupakan cabaran besar untuk disediakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Dalam konteks menjadi negara maju, kita berhadapan dengan persaingan, kecekapan pengurusan, keupayaan menjana sumber baru dan nilai tambah tinggi yang mana perkara itu berpandukan kepada penyediaan tenaga kerja terlatih," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh akan datang, Kementerian Pelajaran juga akan membantu warga pendidik daripada segi kebajikan guru, perjawatan, peralatan dan infrastruktur bagi membantu meningkatkan kecekapan guru dalam pengajaran.

2 comments:

  1. Bersama2 kita menunggu berita baik pd Hari Guru esok....

    ReplyDelete
  2. Ermm jangan lupa siaran langsung antara jam 3.00 hingga 4.00 petang besok di TV1 dan TV3

    ReplyDelete