Wednesday, May 18, 2011

Pasca Hari Guru 2011 - Insentif Guru : Kesatuan Sekerja Kecewa

KUALA LUMPUR 17 MEI : Beberapa kesatuan sekerja perkhidmatan guru mendesak kerajaan meneliti semula insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam, yang disifatkan sebagai tidak memenuhi permintaan dan keperluan utama warga pendidik keseluruhan peringkat.

Desakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) lahir daripada rasa tidak puas hati terhadap insentif yang disifatkan tidak memberi manfaat kepada keseluruhan guru.

Laporan Berita Harian hari ini memetik mereka kecewa kerana enam tuntutan yang dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada pertemuan 28 April lalu tidak diberi perhatian termasuk tuntutan kenaikan gred guru besar di sekolah kurang murid.

Selain itu, tuntutan supaya kerajaan mewujudkan jawatan gred DG40 iaitu gred tertinggi dalam Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD), selain memperluaskan gred DGA38 kepada semua guru besar dan pengelola kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) gagal dilakanakan.

Mereka mendakwa kerajaan juga tidak memberi perhatian terhadap tuntutan gred jawatan pegawai pelajaran daerah di sebanyak 139 PPD membabitkan gred DG52 serta pelaksanaan nisbah seorang guru dengan tujuh murid khususnya bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah.
Dalam pada itu, Presiden NUTP Hashim Adnan berkata insentif yang diberikan tidak membabitkan guru yang mengajar di sekolah rendah dan menengah, walhal permintaan sudah beberapa kali disuarakan sebelum ini.

Dipetik akhbar harian itu, beliau berkata, NUTP kecewa kerana kenaikan gred hanya dikuatkuasakan bermula 1 Januari depan, menyebabkan pengetua dan GPK yang bersara tahun ini tidak dapat menikmati insentif berkenaan.

Yang Dipetua GMGBM Ruslan Madon pula berkata apa yang diperjuangkan gabungan itu sejak empat tahun lalu gagal direalisasikan sedangkan kenaikan gred bagi guru besar sekolah kurang murid jika dilaksanakan hanya membabitkan RM5 juta setahun.

Sementara itu, Presiden KKGLMSM Jamale Paiman memberitahu pihaknya berharap kerajaan mengambil tindakan segera bagi memastikan kebajikan 160,000 PPPLD daripada jumlah keseluruhan 430,000 guru terjamin.

0 ulasan:

Post a Comment