IPOH 17 Mei - Kementerian Pelajaran akan meneliti nasib lebih 2,000 guru besar di sekolah kurang murid yang kebanyakannya bertugas di Sabah dan Sarawak yang dikatakan tidak mengalami kenaikan pangkat walaupun sudah berkhidmat lebih 15 tahun.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, kerajaan sentiasa peka dengan nasib golongan guru di negara ini walau di mana sahaja mereka ditugaskan.
Menurutnya, kajian mengenai kebajikan golongan itu dibuat secara berterusan bagi memastikan nasib mereka terbela dan seterusnya menyumbang dalam proses transformasi pendidikan negara.
“Tidak perlu bimbang kerana selepas ini ada penelitian oleh kerajaan berhubung nasib mereka, malah sentiasa ada penambahbaikan untuk memartabatkan profesion perguruan,” katanya sempena program sambutan Hari Guru di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini hari ini.
Beliau mengulas keluhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengenai nasib guru besar terlibat yang tidak mengalami kenaikan pangkat walaupun sudah berkhidmat lebih 15 tahun.
Menurut Abd. Ghafar, mereka tidak perlu risau kerana kementerian sentiasa berusaha mencari mekanisme terbaik untuk menghargai jasa, kerja keras dan pengorbanan yang dicurahkan.
“Kalau diteliti pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, ia menggambarkan keprihatinan itu dan sudah pasti akan ada penambahbaikan dari semasa ke semasa.
“Guru tidak perlu gusar mengenai pemberian insentif yang dikatakan tidak menyeluruh kerana aspek itu sentiasa diteliti,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment