Thursday, May 26, 2011

Sembilan lagi diiktiraf SBT (Sekolah Berprestasi Tinggi)

PUTRAJAYA 25 Mei - Kementerian Pelajaran mengiktiraf sembilan lagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) membabitkan tujuh buah sekolah menengah dan dua sekolah kebangsaan di bawah kohort dua kumpulan kedua tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, pertambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan SBT kohort dua sebanyak 32 buah. 

''Sasaran kita ialah 50 buah sekolah mencapai status SBT pada tahun ini, justeru 30 buah lagi perlu dikenalpasti untuk diberi status SBT agar kita setanding negara maju dan merapatkan jurang pendidikan negara.

''Sehubungan itu, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan berhasrat mempertingkatkan pencapaian pelajar secara menyeluruh serta meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti," katanya ketika berucap pada majlis pengiktirafan SBT 2011, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong.
Sekolah-sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Sains (SMS) Sabah; SMS Tuanku Munawir, Negeri Sembilan; SMS Kuala Selangor, Selangor; SMS Kuching, Sarawak: SM Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan; SM Kebangsaan Lembah Bidong, Terengganu dan SMK Agama Naim Lilbanat, Kelantan.Sekolah rendah pula membabitkan Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam, Selangor dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Tung Hua, Sarawak.

SBT ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan selain mempunyai tradisi budaya kerja sangat tinggi, cemerlang dengan modal insan berkembang secara holistik serta mampu bersaing di peringakt antarabangsa.

Rasionalnya ialah ia dapat mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik melalui tahap autonomi yang membolehkan mereka melaksanakan inovasi dalam pengurusan; menghasilkan murid cemerlang dan berpersonaliti unggul dalam bidang diceburi serta membina visi yang memberi inspirasi kepada sekolah lain.
Kementerian Pelajaran sebelum ini menyenaraikan 20 buah SBT dalam kohort satu membabitkan 14 buah sekolah menengah dan enam buah sekolah rendah.

Muhyiddin berkata, kecemerlangan pencapaian pelajar amat penting bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang kompetitif selari dengan wawasan negara untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

''Terdapat SBT yang dilawati negara luar seperti Singapura, Thailand, China, Jepun dan Finland bagi tujuan penanda aras, ini membuktikan sekolah-sekolah kita telah berjaya menarik minat negara lain," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

0 ulasan:

Post a Comment