Tuesday, May 17, 2011

Sempena Hari Guru : Gaji Lebih 7,000 Guru Kanan Naik


KUCHING – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan berita baik buat warga pendidik yang akan menikmati lima kaedah kenaikan pangkat berkuat kuasa 1 Januari depan, dalam usaha menambah baik skim perkhidmatan guru.
Dalam perutusan khas Hari Guru melalui rakaman video yang ditayangkan sempena pelancaran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Ke-40 di Kuching, beliau berkata kerajaan telah memutuskan sedemikian kerana menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru.
Pelancaran sambutan Hari Guru bertema “Guru Penjana Transfromasi Pendidikan Negara” itu di rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan.
Perkhidmatan perguruan adalah satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima kaedah kenaikan pangkat iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP), kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang.
Najib berkata sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan berkenaan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya berdasarkan tempoh perkhidmatan perlu diberi nafas baru.
“Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun,” kata Perdana Menteri.
Katanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.
Kaedah baru kenaikan pangkat diperkenalkan khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) iaitu guru wibawa dan pendeta guru, yang akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan pertamanya, katanya.
Beliau berkata pewujudan lapisan tersebut, termasuk guru biasa, guru kanan, guru wibawa dan pendeta guru, akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.
Melalui konsep guru wibawa dan pendeta guru itu, Najib berkata laluan kerjaya guru dalam PDP akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred DG54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

“Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan,” katanya sambil menambah bahawa mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.
Namun guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan, katanya.
Beliau berkata kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak seratus peratus dengan menambah sejumlah 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep guru wibawa dan pendeta guru.
Kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan, katanya.
Beliau berkata manakala semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah gred DG44 dinaikkan ke gred DG48, akan melibatkan 6,585 jawatan.
Najib berkata semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster turut dinaikkan dari gred DGA32 ke gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.
“Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua pun kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan kerajaan memberi lima kaedah kenaikan pangkat baru di bawah skim perkhidmatan guru dilakukan sepanjang masa dan bukan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau, yang juga Menteri Pelajaran, berkata usaha kerajaan untuk menambahbaik skim perguruan akan diteruskan sebagai kesinambungan kepada keperluan transformai kecemerlangan perkhidmatan berkenaan.
“Boleh kita tekan bahawa perkhidmatan perguruan di negara ini mendapat layanan yang adil,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Guru 2011, peringkat kebangsaan ke-40 di sini hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana memberi tumpuan istimewa kepada profesion perguruan walaupun negara sedang mengawal defisit kewangan.
Katanya pengumuman Najib melalui tayangan rakam video pada majlis bertema “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” itu adalah satu berita yang amat baik bagi warga pendidik. – BERNAMA
 

0 ulasan:

Post a Comment