Saturday, January 4, 2014

Sembang Sabtu : Pemimpin mesti ada keberanian

Masalah dan cabaran adalah sebahagian daripada rutin kehidupan. Ianya tidak boleh dipisahkan atau dielak. Ia seperti satu fitrah dan sunnah hukum yang mutlak. Apalagi dalam kepimpinan organisasi. Sama ada organisasi kecil atau besar sama sahaja bentuk dan rencamnya cabaran dan masalah. Ia tetap ada dan datang. Umpama seperti deru arah angin yang kita tidak mampu ubah dan elak tetapi keberanian kita mengubah dan menyesuaikan layar  kita tidak mungkin tenggelam . Demikianlah  kebijaksanaan menyesuaikan takdir dan daya usaha kita mungkin boleh berjaya.

Mudahnya jika ingin sekolah kita maju dan berjaya pemimpin sekolah mesti ada sifat berani. Itulah yang ditekankan oleh Pengarah Pendidikan Negeri, En. Zakaria Husin dalam roadshow bersama-sama Pengetua dan Guru Besar seluruh daerah negeri Terengganu penghujung 2013 lalu. Bahkan kalau kita perhatikan baik dari zaman purbakala hingga kini, pemimpin yang hebat dan berjaya mencipta sejarah dan tamaddun adalah pemimpin yang berani, bukan penakut atau sekadar mencari jalan selamat. Pemimpin macam ini akan lenyap ditelan sejarah tanpa siapapun ingatinya.

Sebagai pemimpin sekolah kita kena berani. Guru Besar kena berani. Guru Penolong Kanan kena berani. Tuan-tuan dilantik oleh kerajaan dengan membawa sekali kuasa-kuasa mengarah, mengurus, memimpin dan mentadbir. Tuan-tuan diberikuasa untuk menyelesaikan masalah bukannya membuat masalah. Selesai masalah dan urus cabaran dengan berani. Banyak isu-isu dan masalah tidak selesai di sekolah kerana Guru Besar tidak  berani buat keputusan, tidak berani mengambil tindakan, tidak berani membuat perubahan, tidak berani menggunakan kuasa-kuasa yang diberi untuk kebaikan.

Ada sesetengah pemimpin sekolah mengadu cikgunya begitu dan begini. Bahkan banyak pihak bercakap tentang cikgu ini. Bila siasatan dimulakan tidak ada satu aduan rasmi atau aviden-aviden yang menunjukkan bahawa peringatan dan tindakan telah diambil oleh pihak sekolah. Peraturan Kelakuan Pegawai Awam 1993 jelas menyatakan  berbagai tindakan boleh diambil tetapi kerana takut, masalah tidak pernah selesai dan menyusahkan banyak pihak. Memberi amaran dan peringatan bertulis atau lisan pun tidak ada macam mana hendak ambil tindakan potong gaji dan sebagaimananya. Lama-lama kelamaan kakitangan menganggap kesalahan "tidak cekap" bukan lagi kesalahan sepertimana hari ini melanggar trafik light merah seperti satu kebiasaan bukan kesalahan.

Begitu juga kita sering mendengar dan menerima aduan tetang guru-guru aktif berpolitik hingga terbawa-bawa ke sekolah. Lihat bila hampir PRU14 akan timbul dengan nyata penyokong-penyokong parti yang turut sama berkempen untuk parti atau memegang jawatan dalam parti dan berkempen dalam sekolah. Apa yang Guru Besar dan GPK buat berdasar PRU13 lalu ? Heheh hanya jadi penonton. Sedangkan dalam peraturan jelas mana-mana kakitangan awam hendak aktif berpolitik mesti mendapat "kebenaran bertulis" daripada Ketua Perkhidmatan. Jika berkempen atau aktif tanpa kebenaran adalah satu kesalahan. Bila dinasihati buat juga jadi dua kesalahan iaitu ingkar perintah Ketua Jabatan. Lakukan prosidur tatatertib. Keluarkan surat tunjuk sebab. Namun sayangnya pistol dan peluru ditangan ada tetapi hanya melihat penyangak berleluasa di depan mata.

Begitu juga dalam melakukan perubahan, Guru Besar kena berani dan sedia menanggung risiko. Saya teringat kata-kata Tuan Haji Ariffin Embong, mantan Pengarah Jabatan Pendidikan dahulu. Katanya "buatlah perubahan dan kebaikan selagi ia tidak  melanggar adat, agama dan bangsa". Oleh itu kita kena buat perubahan. Kalau kita tengok UPSR kita dua tiga tahun tidak berganjak buat perubahan kedudukan guru. Buat rotation. Mungkin guru Tahun 6 itu balik mengajar Tahun 4 dan guru Tahun 3 balik mengajar Tahun 1. Biar bawa tiga tahun projek. Nak tengok KPI mereka pun senang. Pokoknya kena berani. Jangan takut guru protes, jangan takut kerani mogok. Jangan takut buat perubahan lebih baik. PPD dan JPN akan sokong kalau perkara yang dibuat mendatangkan kebaikan.

Kita tidak tahu mengapa sesetengah pemimpin sekolah kita terlalu penakut walhal mereka adalah raja di sekolah. Cuba perhatikan Guru Besar yang memainkan peranan sebagai "raja" yang berani di sekolah. Sekolah mereka maju. UPSR mereka cemerlang dan guru-gurunya apabila keluar membawa budaya hebat ini ke sekolah lain. Sebagai contoh saya beberapakali melaksanakan pemilihan temuduga GPK dan kerap  bertemu guru dari SK Tengku Mahmud, Besut  sama ada dari sekolah itu atau yang telah berpindah ke sekolah lain. Mereka yang telah berpindah berkata mereka melaksanakan perubahan dan tranformasi di sekolah baru berasaskan idea dan pengalaman SK Tengku Mahmud.

Kita berharap Guru Besar kita yang ada dan bakal dilantik mempunyai keberanian jiwa untuk memimpin dan mengurus sekolah. Keberanian bukan bererti kita menekan dan menindas guru tetapi melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dengan memenuhi peraturan perkhidmatan sedia ada selain memberi dorongan dan bimbingan kepada anak buah kita. Justru itu kita perlu sentiasa tingkatkan ilmu dan kemahiran kerana dengan pengetahuan yang mendalam dan kemahiran yang tinggi kita tahu apa yang kita buat dan mudah untuk dicapai.

Sebagai renungan sekali lagi saya perturunkan kata-kata penyair timur tengah terkenal Khalil Gibran yang mengatakan " Raja yang tidak mahu memerintah negara tidak akan maju dan rakyat yang gila-gila mahu jadi raja, negara akan huru-hara". Oleh itu tanya hati kita, kita mahu jadi pemimpin sekolah yang macam mana ? Selamat Tahun Baru 2014. Mulakan azam baru dengan "keberanian".


7 comments:

  1. Bunyi macam seronoknya tuan cakap, biasanya GB yang tanggung semua yang lain-lain tu cuci tangan je. saya tak tahu! Kami tak suruh! Kami kata ikut pekeliling! Lepastu GB tu kena tukar. Saya memang dah agak, inilah cakap-cakap yang dah basi, cuma diulang-ulang semula...dah tak ada benda nak cakapkan?

    ReplyDelete
  2. Setahu aku kalu Guru Besar urus sekolah dengan baik dan betul tak der pulak PPD atau JPN nak tukar jauh kecuali beri sekolah bagus dekat ngan rumah ada le. Kecualila yang lemah, yang baham pitih, yang buat skolah macam sekolah bapak dier. Hok gini bukan aje tukar jauh baik buang terus.Nyusah ke org ramai..,

    ReplyDelete
  3. Kadang-kadang kita faham makna berani dalam skop yang sempit. Kita dah tulis "Keberanian bukan bererti kita menekan dan menindas guru tetapi melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dengan memenuhi peraturan perkhidmatan sedia ada selain memberi dorongan dan bimbingan kepada anak buah kita". Inilah susahnya kalau faham sekerat-sekerat. Apapun catatan di atas adalah pandangan , pemerhatian dan pengalaman pengarang.

    ReplyDelete
  4. Begitu jugalah jpn kena berani bertegas dengan guru yang ditukar.tidak mudah tergoda dengan pujuk rayu.mesti tegas.

    ReplyDelete
  5. Kita sangat setuju bukan sahaja JPN tetapi semua pihak yang bernama pemimpin mesti berani membuat keputusan, berani mempertahankan keputusan, berani melaksanakan keputusan...Mungkin jangka pendek ia menyebabkan kita kurang popular tetapi dlm jangka panjang org hormat dan sanjung prinsip kita...

    ReplyDelete
  6. Keberanian GB memang perlu, kerana dengan keberanian itulah dia akan mengorak langkah lebih panjang dan bergaya. Masalahnya, ada GB yang terlalu berani hingga lupa kepada etika, peraturan dan tanggungjawab. Malas nak bagi contoh sebab ramai yang dah tahu, PPD pun dah tau, tapi macam kebal je sebab tak ada nak ambil tindakan.
    Keberanian yang macam inikah yang perlu ada pada pemimpin? Buat perubahan sampai menindas guru di bawahnya, menyenaraikan tugasan yang tidak perlu, menetapkan target yang mega hebat, dan 'menindas' guru sampai lembik jika target mega itu tidak tercapai?
    Rasanya guru akan jadi tertekan dan lebih tidak bersemangat. Kalau dalam setahun sampai 10 orang guru memohon tukar, JPN atau PPD tidak rasa pelik kah? Tidak rasa guru-guru itu tertekan kah sampai minta dipindahkan? Dalam hal ini, JPN dan PPD juga harus berani untuk menyiasat keadaan pentadbiran GB tersebut dan buat tindakan. Atau...pihak tuan-tuan pun tak berani?

    ReplyDelete
  7. Berani untuk gagal.

    ReplyDelete