Saturday, January 18, 2014
Sembang Sabtu : Berlari datang ke sekolah, berjalan pulang ke rumah
Pada minggu lepas saya dan dua orang kawan dari JPN bersama-sama dengan rakan-rakan dari seluruh negara yang mempunyai sekolah murid orang Asli berkumpul dua hari di Putrajaya membincangkan mengenai pelbagai isu pendidikan orang Asli. Isu besar adalah berkaitan kehadiran, pencapaian dan kesedaran murid dan masyarakat Asli.
Apa yang menarik perhatian saya ialah dakwaan sahabat saya dari Johor yang mengatakan bahawa murid orang Asli di sebuah sekolah Asli di Johor "berlari datang ke sekolah dan berjalan pulang ke rumah". Dalam erti kata yang lain mereka sangat berminat datang ke sekolah dan seakan tidak mahu balik ke rumah. Sungguh luar biasa dalam saat majoriti baik di sekolah manapun bila tiba loceng akhir sekolah biasanya gegak gempita dengan sorakan murid. Seoalah-olah terlepas dari penjara atau kongkongan yang menyiksakan seharian ada murid di sekolah seakan tidak rela hadirnya waktu balik.Menakjubkan.
Seringkali bila kita ketemui kes luar biasa seperti ini apalagi di sekolah Asli yang umumnya jauh dan tersohor dengan keciciran serta peratusan kehadiran rendah kita mencari sebab dan puncanya. Kata sahabat saya faktor dominan adalah guru yang mengajar yang amat kreatif dan enviromen sekolah yang kondusif. Biar sekolah lama atau sekolah kampung dari binaan kayu tetapi kalau kemas, bersih dan ceria ianya mampu menjadi faktor penarik murid untuk berlama-lama di sekolah.
Berdasarkan pengalaman kita yang pernah bergelar murid tentunya kita tiada hujah untuk menolak bahawa salah satu faktor untuk kita datang dan seronok ke sekolah ialah kerana faktor guru. Kita tentunya suka guru yang cantik, hensom dan kemas. Dalam diam bukan sedikit kita berusaha meniru cara guru berpakaian dan sikat rambut. Dan dalam diam kita berazam untuk menjadi guru kerana aura guru kita itu.
Faktor fizikal guru sahaja sudah cukup kuat untuk kita merasa seronok dan "jatuh hati" pada guru kita biarpun mereka sendiri tidak pernah tahu.
Selain dari itu sebagai manusia biasa dan sebagai murid kerdil kita sangat teruja bila guru sebut nama kita. Kita sangat bangga bila guru puji kerjabuat kita. Bila cikgu tanya macam-macam tentang kita dan keluarga kita. Apa lagi bila guru kenal rapat ayah, ibu atau abang dan kakak kita. Lagi melangit rasa bangga dan tersanjungnya kita. Kita rasa seronok, selamat dan bahagia kerana cikgu beri perhatian kepada kita. Kita pun akan sentiasa mencari sebab dan alasan untuk rapat sama ada melakukan kerja sekolah dengan baik, menawar diri ingin menolong atau apa sahaja untuk memenangi hati mereka. Kita sentiasa dahagakan pujian dan perhatian cikgu kesayangan kita.
Bila kita seronok dan selesa dengan guru kita ditambah dengan pengajarannya yang menarik maka kita sangat seronok belajar dan suka datang ke sekolah. Guru yang kreatif dalam pengajaran akan menggunakan pelbagai pendekatan dan bahan bantu. Mereka sentiasa sabar membimbing dan bukannya sebagai pemaksa untuk murid menerima apa yang mereka ajar. Variasi dalam penyampaiannya amat mengkagumkan. Ada yang menggunakan unsur nyanyian, multimedia dan sebagainya yang pasti menyeronokkan. Dalam keseronokan belajar begini guru yang hebat mampu menjentik minda dan menanam nilai-nilai yang berkesan hingga kini masih subur di dalam jiwa kita.
Kita akan seronok dan tidak tertekan bila guru kita mahir dan sangat kompeten dalam pengajarannya, penggunaan peralatan dan bahan bantu mengajar. Kadang-kadang kehebatan guru kita itu seperti keajaiban seperti seorang silap mata. Tidak pernah marah atau "musang" bila kita kurang faham tetapi diperjelas dan diperluas hingga kita sebagai murid merasa sangat istimewa dan disayangi. Keikhlasan mereka terserlah. Kita tentu tidak lupa hingga kini jika ada guru kita masa dulu yang pernah membubuh ubat pada luka kita sebab bukan sahaja mereka sekadar membubuh ubat tetapi nasihat dan semangatnya sentiasa hidup di dalam jiwa kita.
Sesekali kita bertanya berapa ramaikah lagi guru yang mempunyai jiwa guru seumpama ini. Adakah lagi guru yang bukan sahaja mendidik akal untuk jadi cerdik tetapi juga mendidik jiwa menjadi insan yang ehsan. Jiwa yang bersyukur, pengasih dan penyayang. Guru yang jika bertukar diratapi kesedihan bukan sahaja oleh murid-murid, rakan sejawat tetapi juga oleh ibubapa dan masyarakat. Guru yang apabila telah kembali mengadap Rabbi diratapi, jasanya dikenangi dan ilmunya laksana pohon rimbun sepanjang zaman. Atau kita menjadi insan yang tidak di pandang lagi oleh murid, rakan sejawat dan ibubapa kerana sikap dan nilai kita yang tidak selaras dengan gelaran jawatan keramat sebagai "guru" atau "cikgu".
Adakah putaran keadaan menyebabkan kaum guru sudah tidak seronok menjadi guru hingga kesempatan membina keseronokan hilang dengan pelbagai beban tugas yang dilambak di pundak mereka. Atau perubahan-perubahan nilai dalam masyarakat yang tidak lagi melihat guru sebagai insan rujukan segala hal. Hingga segalanya kian menjauh,terpisah dan terasing.
Apapun mahu tidak mahu cabaran kita kaum guru,mencari jalan bagaimana untuk menjadikan murid kita " berlari datang ke sekolah, berjalan pulang ke rumah" dengan kudrat dan kekuatan kendiri kita. Itulah amanah kita sejak berzaman. Tanpa murid tiadalah kita. Tiada kemenjadian murid yang hebat begitu rupa tanpa kemenjadian guru yang luar biasa.Mari kita hayati dan amalkan sepenuhnya konsep "Guru Penyayang". Semoga semasa hidup kita tersanjung, bila tiada sentiasa hidup di jiwa murid kita.,
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Ada tak lagi guru yang sanggup lap hingus pelajarnya..
ReplyDeleteAnonymous...masih ada tapi tidak ramai. saya setuju dgn ayat ini....perubahan-perubahan nilai dalam masyarakat yang tidak lagi melihat guru sebagai insan rujukan segala hal..... blh dikatakan guru sekarang sudah kurang bergaul dgn masyarakat setempat hinggakan kejiranan pun tidak tahu dia seorang guru. ditambah pula kes2 melibatkan guru menyebabkan masyarakat tidak lagi memandang tinggi kpd guru. adalah molek jika guru lelaki terlibat dgn aktif dlm hal kemasyarakatan atau sekurang-kurangnya menjadi ajk masjid atau surau. wallahua'lam.
ReplyDelete