Sebagaimana yang diriwayatkan
mengenai perilaku Rasulullah s.a.w., bahawa Baginda tidak pernah sama sekali
memukul seorang pun dengan tangannya, melainkan dipukulnya kerana
fisabilillahi Ta’ala. Baginda juga tidak pernah memeram dendam kerana sesuatu
yang dilakukan ke atasnya dirinya sendiri, melainkan bila melihat kehormatan
Allah dicabuli.
Jika Baginda diminta untuk memilih
antara dua perkara, tanpa ragu-ragu lagi Baginda akan memilih yang paling
ringan dan mudah antara keduanya, kecuali jika pada perkara itu ada dosa,
ataupun akan menyebabkan terputusnya perhubungan silaturrahim, maka Baginda
akan menjadi orang yang paling jauh sekali daripadanya.
Tiada pernah seseorang yang datang
kepada Nabi s.a.w., baik ia merdeka atau hamba sahaya ataupun amah (hamba
sahaya perempuan) mengadukan keperluannya, melainkan Baginda akan memenuhi
hajat masing-masing.
Berkata Anas r.a.: Demi Zat yang
mengutusnya dengan kebenaran. Ia (Nabi) tiada pernah berkata padaku dalam
perkara yang tiada diinginnya, mengapa engkau lakukan itu. Dan apabila
isteri-isteri memarahiku atau sesuatu yang aku lakukan, maka ia berkata kepada
mereka: Biarkanlah si Anas itu, dan jangan dimarahi, sebenarnya tiap-tiap
sesuatu itu berlaku menurut ketentuan dan kadar.
Termasuk akhlaknya yang mulia, ialah
memulakan memberi salam kepada sesiapa saja yang ditemuinya. Jika ada orang
yang mengasarinya kerana sesuatu keperluan, ia menyabarkannya sehingga orang
itu memalingkan muka daripada baginda. Bila berjumpa dengan salah seorang
sahabatnya, segera ia akan menghulurkan tangan untuk berjabat tangan. Baginda
tidak pernah bangun atau duduk, melainkan lidahnya sentiasa menyebut nama
Allah.
Seringkali bila sedang sembahyang,
lalu ada tetamu yang datang kerana sesuatu keperluan, maka segeralah ia
meringkaskan sembahyangnya untuk menyambut tetamu seraya bertanya kepadanya:
Apa hajat anda?
Bila baginda berada di dalam sesuatu
majlis antara para sahabatnya tidak pernah dikhususkan satu tempat baginya,
melainkan di mana saja Baginda sampai, di situlah ia duduk. Baginda selalu
menghormati sesiapa saja yang mendatanginya, sehingga terkadang-kadang Baginda
sampai menghamparkan bajunya supaya orang itu duduk di atasnya. Sering pula
Baginda memberikan bantal sandaran kepada orang yang datang, supaya orang itu
bersandar padanya.
Bila di dalam suatu majlis yang
ramai, Baginda menghadapkan wajahnya kepada semua orang, satu lepas satu,
sehingga seolah-olah kesemua majlisnya, pendengarannya, percakapannya,
kehalusan budi pekertinya dan perhatiannya ditumpukan kepada setiap orang yang
duduk bersamanya di dalam majlis itu. Padahal majlis Rasulullah s.a.w. itu
umumnya ialah majlis yang diliputi oleh kesopanan kerendahan diri dan amanah.
Allah telah berfirman di dalam
al-Quran al-Karim:
“Oleh kerana
rahmat Tuhan engkau bersikap lemah lembut terhadap mereka, dan kiranya engkau
berbudi kasar dan berhati bengis, nescaya mereka akan lari dari sekelilingmu.” (Ali-Imran: 159)
Baginda lebih suka memanggil para
sahabatnya dengan nama gelaran masing-masing untuk menghormati mereka akan
memikat hati mereka. Sesiapa yang tidak punya nama gelaran, Baginda memberinya
nama gelaran, lalu ia pun dipanggil dengan gelaran itu. Bukan kaum lelaki saja
yang diberi nama gelaran malah kaum wanita juga, sama ada pernah melahirkan
anak mahupun yang tidak. Bahkan kepada anak-anak kecil pun demikian juga,
sehingga hati anak-anak itu tertarik kepada peribadinya s.a.w.
Baginda Rasulullah s.a.w. adalah
seorang yang amat jarang marahnya, tetapi jika marah paling segera redha pula.
Baginda adalah orang yang berhati belas terhadap orang ramai, paling baik
antara mereka sekalian, dan paling banyak memberikan manfaat kepada seluruh
manusia. Tidak pernah sekalipun terdengar suara yang tinggi dalam semua
majlis-majlisnya.
Apabila bangun dari majlisnya,
Baginda sering membaca :
“Maha Suci engkau wahai Tuhanku
dengan segala kepujian bagiMu, aku menyaksikan bahawasanya tiada tuhan
melainkan Engkau, aku memohon keampunan kepadaMu dan aku bertaubat
kepadaMu.”
No comments:
Post a Comment