Monday, January 6, 2014

Kelas Pendidikan Khas Mampu Kembangkan Potensi Pelajar Mengikut Minat - Mary Yap



TAWAU, 6 Jan (Bernama) -- Kelas Pendidikan Khas yang diwujudkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung diyakini mampu mengembangkan bakat dan potensi murid mengikut minat masing-masing, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Chin.

Beliau berkata kelas itu yang bermula Isnin diwujudkan bagi menempatkan pelajar yang memerlukan perhatian khusus mengenai tahap perkembangan pembelajaran di sekolah.

"Ia juga bertujuan untuk mengembangkan bakat dan potensi serta mampu mengurus diri dan menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

"Ia juga penting untuk melahirkan insan yang dapat berdikari, berjaya dalam hidup dan memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara," katanya selepas merasmikan Kelas Pendidikan Khas SMK Balung dekat sini, hari ini.

Beliau berkata dengan adanya kelas itu pelajar dapat mengamalkan tingkah laku dan sikap positif dalam menguruskan kehidupan seharian yang lebih bermakna selain mampu mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam persekolahan untuk digunakan dalam kehidupan mereka.

Sementara itu, Pengetua SMK Balung Matnoor Sima berkata pelajar yang mengikuti kelas itu termasuk mereka yang lemah dari segi pembelajaran dan hiperaktif iaitu kanak-kanak yang aktif dan mempunyai daya tumpuan yang singkat.

"Sebelum ini Kelas Pendidikan Khas seumpama itu telah diwujudkan di SMK Kuhara dan disebabkan ia terletak jauh dari kawasan Balung, Jabatan Pelajaran Sabah telah mengambil inisiatif untuk membuka kelas seperti itu di sini atas keperluan pelajar yang berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment