Sunday, January 12, 2014

Jihad Dalam Pendidikan Perlu Bagi Angkat Martabat Negara - Najib



PEKAN, 11 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata 'jihad' dalam bidang pendidikan dilihat amat penting untuk mengangkat martabat bangsa dan negara bagi mencapai status negara maju.

Beliau berkata ketika ini masyarakat negara ini dilihat belum bermati-matian memburu kejayaan terutama dalam bidang pendidikan bagi membentuk modal insan cemerlang.

Najib berkata di negara tertentu seperti Korea Selatan dan Jepun misalnya, mereka amat menekankan bidang pendidikan bagi melahirkan modal insan yang cemerlang berikutan kekangan sumber hasil bumi.

"Kekurangan kita adalah kesungguhan bermati-matian dalam memburu kejayaan," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecermelangan UPSR dan PMR Parlimen Pekan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pekan di Pekan, Sabtu.

Najib berkata di negara Korea misalnya, rakyatnya begitu menekankan bidang pendidikan dalam usaha melahirkan modal insan berjaya dan akhirnya berjaya menguasai bidang tertentu seperti teknologi maklumat, telekomunikasi dan automotif.

"Rakyat Korea tak ada hasil apa pun, (tiada) setitik minyak pun tapi atas kesungguhan mereka dalam melahirkan modal insan cemerlang, mereka kini menjadi sebuah negara yang maju dalam ekonomi," katanya.

Beliau berkata apa yang penting ialah kecemerlangan pendidikan harus disokong faktor pengurusan sekolah, guru, ibu bapa dan kepimpinan setempat.

Menerusi faktor itu, katanya dapat menggembleng kejayaan dalam bidang pendidikan untuk melahirkan modal insan cemerlang bagi menjayakan visi mencapai negara maju.

Pada majlis itu Najib menyampaikan hadiah wang tunai RM200 setiap seorang sumbangan Yayasan Pahang dan Yayasan Rahah kepada 615 pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR 2013.

--BERNAMA


No comments:

Post a Comment