Wednesday, January 1, 2014

19 Sekolah Terlibat Banjir Di Terengganu Mula Sesi Persekolahan Hari Ini



Yang Berbahgia Dato' Haji Mazlan Mohamad, Pengarah Bahagian
Pengurusan Harian, KPM turut meninjau persekolahan di 
SK Pasir Gajah, Kemaman yang teruk dilanda banjir

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Banjir di Terengganu awal bulan lalu tidak menjejaskan sesi persekolahan apabila semua 19 buah sekolah yang terlibat banjir memulakan sesi persekolahan seperti biasa Rabu.

Pengarah Pelajaran Terengganu Zakaria Husin berkata sekolah yang terlibat dengan banjir telah dibersihkan, sebelum sesi persekolahan bermula.

"Kesemua sekolah tersebut sudah dibersihkan dan kesemua perabot di sekolah yang terjejas sudah diganti. Begitu juga dengan buku teks dan keperluan alat pembelajaran yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri Terengganu, Ghazali Taib melawat seorang murid istimewa di SK Kuala Telemong di sini Rabu.

Zakaria menambah, untuk tahun ini seramai 17,481 murid memasuki Tahun Satu di 350 buah sekolah rendah manakala seramai 21,923 pelajar Tingkatan Satu memulakan sesi persekolahan di 143 buah sekolah menengah.

Dari jumlah itu, seramai 426 pelajar merupakan pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cacat fizikal mengikuti persekolahan aliran kelas perdana pada tahun ini.

Murid pendidikan khas yang mengalami masalah penglihatan dan keperluan khas pula seramai 2,293 (sekolah rendah) dan 1,304 (sekolah menengah).

Zakaria juga memaklumkan bahawa terdapat sebuah sekolah baharu mula beroperasi pada tahun ini, iaitu Sekolah Kebangsaan Tengir dekat Manir di sini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa semua sesi persekolahan termasuk di negeri yang dilanda banjir bermula seperti dijadualkan, iaitu hari ini di Terengganu, Kelantan dan Kedah manakala esok untuk negeri-negeri lain.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menambah sesi persekolahan di Sarawak yang bermula Khamis, boleh ditanguhkan sementara waktu jika keadaan banjir di negeri itu bertambah buruk.

Di ALOR SETAR, Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat memberitahu seramai 33,467 pelajar memasuki Tahun Satu di 543 sekolah rendah di negeri ini iaitu meningkat sebanyak 2,222 pelajar berbanding tahun lepas.

Mansor menambah seramai 27,969 pelajar mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK), 3,842 pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) dan 1,656 pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Beliau berkata pelajar Tingkatan Satu pula seramai 36,328 pelajar mendaftar di 185 buah sekolah iaitu meningkat sebanyak 4,272 pelajar berbanding tahun lepas.

Mansor berkata untuk tahun ini sebuah sekolah rendah dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Laguna, Merbok dalam daerah Kuala Muda, manakala dua sekolah menengah baharu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun dalam daerah Kubang Pasu dan SMK Taman Ria di daerah Kuala Muda.

"Tiga sekolah tersebut mula beroperasi hari ini," katanya kepada pemberita ketika mengiringi Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan melawat SJKT Barathy di sini.

Di KOTA BHARU, seramai 25,672 pelajar Tahun Satu dan 32,910 pelajar Tingkatan Satu memulakan sesi persekolahan di 418 buah sekolah rendah dan 173 buah sekolah menengah.

Pengarah Pelajaran Negeri Hussain Awang berkata sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar memandangkan proses pendaftaran telah diadakan sebelum hari persekolahan dibuka.

"Proses pendaftaran dan pengagihan buku teks telah dibuat dua hari sebelum hari persekolahan, dan ia dapat menjimatkan masa dan tidak mengganggu P&P," katanya.

Seramai 15,525 pelajar prapersekolahan turut memulakan sesi persekolahan hari ini yang melibatkan 655 bilik darjah.

"Pelajar prapersekolahan ini merupakan program kerajaan bagi anak-anak berumur enam tahun yang ibu bapa mereka berpendapatan rendah. Setiap sekolah mempunyai dua atau tiga bilik darjah bagi pelajar prapersekolahan ini," katanya.

Di KUCHING, seramai 465,414 orang pelajar akan memulakan sesi persekolahan mereka di Sarawak bermula esok.

Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Abdillah Adam berkata daripada jumlah itu, 249,209 orang merupakan murid sekolah rendah sementara 216,205 orang lagi merupakan pelajar sekolah menengah.

"Sejumlah 1,265 buah sekolah rendah akan mulai beroperasi esok di Sarawak yang terdiri dari 1,032 buah sekolah kebangsaan, 221 buah sekolah jenis kebangsaan, lapan buah sekolah agama bantuan kerajaan dan empat buah sekolah pendidikan khas," katanya.

Beliau berkata sebanyak 186 buah sekolah menengah juga akan memulakan sesi persekolahan esok.

Di JOHOR BAHRU, seramai 56,265 orang murid Tahun Satu mendaftar di 903 buah sekolah rendah manakala 49,168 pelajar Tingkatan Satu dan 8,316 pelajar Tingkatan Peralihan mendaftar di 271 buah sekolah menengah.

Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A. Ghani berkata sesi persekolahan 2014 di Johor bermula hari ini berikutan cuti hujung minggu telah diubah kepada Jumaat dan Sabtu mulai tahun ini.

-- BERNAMA

0 ulasan:

Post a Comment